| KEMAKMURAN dan kemajuan sesebuah negara turut bergantung kepada pembentukan kerajaan yang adil dan beramanah dalam menunaikan tanggungjawab terhadap rakyat. Dengan dua prinsip itu, rakyat akan hidup dalam keadaan sejahtera serta negara semakin maju berikutan keadaan huru-hara serta ketegangan dapat dielakkan. Bagi memperjelaskan persoalan itu, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) mengadakan Seminar Islam Hadhari - Kefahaman Mengenai Kerajaan Adil dan Beramanah di Dewan Besar IKIM, Kuala Lumpur, baru-baru ini. Pengerusi IKIM, Tan Sri Ahmad Sarji Abdul Hamid, ketika merasmikan seminar itu, berkata antara ciri kerajaan adil dan beramanah adalah sentiasa mengutamakan perpaduan dan kesejahteraan hidup rakyatnya. "Sesebuah kerajaan bertanggungjawab menjamin keamanan, menegakkan keadilan, memupuk keharmonian, memajukan ekonomi, meningkatkan taraf hidup serta memerangi penyelewengan, penipuan dan penindasan," katanya. Pada seminar dua hari itu, Pengerusi Eksekutif Yayasan Ilmuwan, Dr Khairul Azmi Mohamad, dalam kertas kerjanya Konsep Praktikaliti Keadilan dan Amanah Dalam Pemerintahan Berkerajaan menyatakan konsep kerajaan adil dan beramanah dinyatakan dalam al-Quran melalui firman-Nya pada ayat ke-58, surah an-Nisa bermaksud: "Sesungguhnya Allah memerintahkan kamu untuk menunaikan amanah kepada mereka yang berhak menerimanya dan apabila kamu menghukum antara manusia, hendaklah kamu menghukumnya dengan adil." Berbeza dengan makhluk Allah lain yang menolak amanah, manusia sanggup menerimanya walaupun menyedari amanah itu mungkin tidak mampu dilaksanakan. Hal itu dijelaskan dalam firman-Nya bermaksud: "Sesungguhnya Kami (Allah) menyerahkan amanah kepada langit dan bumi serta gunung-ganang, maka mereka enggan memikulnya serta bimbang tidak dapat menyempurnakannya dan manusia sanggup memikulnya, sesungguhnya manusia itu zalim dan jahil." (Surah al-Ahzab, ayat 72) Manusia seharusnya sedar bahawa amanah yang dipikul memiliki kesan besar terhadap prestasi diri mereka untuk memperoleh keberkatan hidup di dunia dan akhirat. Malah, akibat tidak menunaikan amanah, Rasulullah SAW dipertontonkan gelagat segolongan manusia yang terus menghimpun dan mengangkat kayu api, tetapi tidak terdaya memikulnya ketika peristiwa Israk Mikraj. Rasulullah bersabda bermaksud: "Setiap kamu adalah pemimpin dan setiap kamu akan ditanya mengenai amanah kepemimpinan berkenaan." Dalam hadis lain, Baginda bersabda bermaksud: "Apabila amanah disia-siakan, maka tunggulah kiamat (kehancuran)." Nabi Muhammad seterusnya ditanya: "Bagaimanakah dikatakan amanah itu disia-siakan?" Jawab Baginda: "Jika satu urusan itu diserahkan kepada orang yang tidak berkelayakan maka nantilah kiamat." Menerusi hadis itu, maka seharusnya amanah diserahkan kepada mereka yang mampu menunaikannya. Hal ini secara tidak langsung memenuhi konsep keadilan iaitu meletakkan sesuatu kena pada tempatnya. Konsep keadilan itu dijelaskan menerusi surah an-Nahl, ayat 90 bermaksud: "Sesungguhnya Allah memerintahkan kamu berlaku adil dan berbuat kebaikan." Firman-Nya lagi bermaksud: "Berlaku adillah kamu kerana ia menghampirkan kamu kepada taqwa." (Surah al-Maidah, ayat 8). Setiausaha Jawatankuasa Induk Islam Hadhari Jabatan Perdana Menteri, Prof Madya Dr Ismail Bakar, dalam kertas kerjanya Pendekatan Islam Hadhari Dalam Pentadbiran, Pengurusan dan Perkhidmatan Kerajaan Adil dan Beramanah, pula berkata: "Keputusan yang adil dapat diterima manusia dengan tenang, tetapi keputusan sebaliknya menyebabkan manusia memprotes atau menentangnya." Katanya, jika ada pemimpin atau kerajaan yang tidak melaksanakan keadilan kepada rakyat, mereka akan ditentang dan fenomena ini menyebabkan keselamatan masyarakat dan keharmonian negara tergugat serta terancam. Apabila keadilan ditegakkan, ia membawa maksud pemerintah dan rakyat saling membantu antara satu sama lain. Pemerintah berusaha memenuhi keperluan rakyat, sementara rakyat pula mematuhi arahan pemerintah. Kerajaan yang menjalankan keadilan dengan penuh beramanah akan memperoleh sokongan padu rakyatnya, seterusnya keharmonian dan kesejahteraan negara tercapai. Tokoh falsafah dan pemikir Islam terkenal, al-Farabi membahagikan keadilan kepada dua iaitu keadilan Allah dan sosial. Katanya, keadilan Allah melambangkan ketertiban, keagungannya dan kesempurnaan ciptaan Ilahi. Keadilan sosial pula berkaitan konsep keadilan yang diterapkan dalam perancangan dan pembinaan negara. Al-Farabi menjelaskan negara terbaik mengamalkan keadilan secara sempurna dalam seluruh kegiatan seharian dan bagi merealisasikan tujuan itu, masyarakat perlu bantu-membantu, hidup berharmoni dan bersefahaman. Penerapan konsep keadilan dan amanah secara telus dalam kerajaan bertujuan mencapai matlamat sebenar politik dan kenegaraan dalam Islam iaitu meraih keredaan Allah serta memperoleh kebahagiaan dunia dan akhirat. Apabila kepemimpinan sesebuah negara mengambil matlamat itu sebagai landasan kerja dan tindakan mereka, maka negara berkenaan akan mencapai taraf Baldatun Toyyibah wa Rabbun Ghafur (negara yang beroleh kemakmuran dan keampunan Allah). (END) |
0 Comments:
Post a Comment
<< Home