| PERNAHKAH anda memakan emping padi? Empeng padi adalah antara makanan tradisional yang semakin dilupai masyarakat terutamanya generasi muda pada masa kini. Emping padi suatu ketika dahulu lebih dikenali di kawasan perkampungan yang masyarakatnya mengamalkan sektor ekonomi berteraskan usaha sawah padi dan makanan tradisi itu lazimnya dinikmati selepas musim menuai. Sudah menjadi rutin harian bagi generasi terdahulu untuk menikmati emping padi ketika menikmati minum petang bersama keluarga selain disediakan dalam setiap jamuan keraian. Bagaimanapun, makanan tradisi itu kini jarang disediakan dan semakin dilupai masyarakat umum selaras dengan perkembangan teknologi moden dalam proses penuaian padi. Tidak ramai generasi baru yang mengetahui kaedah menyediakan emping padi dan jika warisan berharga terbabit tidak dipelihara, kemungkinan besar ianya akan dilupakan dan luput daripada ingatan masyarakat kita. Menyedari hakikat itu, sekitar 50 golongan veteran dari Kampung Kebor Besar, Kuala Terengganu, sepakat menghidup dan memperkenalkan tradisi makanan berkenaan kepada golongan muda di kampung itu. Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) kampung berkenaan, Salleh Adam, 53, berkata mereka kini cuba memperkenalkan kaedah menyediakan emping padi kepada golongan muda yang belum pernah merasai atau mengenali makanan tradisi itu sebelum ini. "Kami khuatir makanan tradisi ini semakin dilupai masyarakat seperti makanan `lokli' yang kini tidak lagi disediakan. Golongan muda nyata tidak tahu mengenai kewujudan makanan itu walaupun suatu ketika dahulu barat makanan rutin bagi kami," katanya. Beliau berkata, program itu baru diadakan pada tahun ini dan kemungkinan ianya akan dijadikan program tahunan kampung berkenaan sebagai inisiatif mengelakkan makanan tradisi itu terus luput ditelan masa. "Antara faktor emping padi tidak lagi dihasilkan kini adalah wujudnya jentera menuai padi yang akan menuai setiap pohon padi tanpa mengira padi berkenaan rosak atau tidak. "Pada zaman dahulu, kami terpaksa mengetam setiap padi dalam proses penuaian dan hanya akan menuai padi yang masih elok manakala padi yang rosak dan ditenggelami air akan dibiarkan. "Selepas habis menuai padi yang elok tadi, padi rosak kerana ditenggelami air selama dua hingga tiga bulan itu akan dituai untuk dijadikan emping," katanya. Beliau berkata, berbanding dahulu, untuk menyediakan emping padi kini, padi terlebih dahulu akan direndam dalam air selama lebih tiga hari supaya padi berkenaan menjadi lembut. Selepas itu, padi berkenaan akan digoreng tanpa minyak sebelum ditumbuk dengan menggunakan lesong kayu yang dicipta khas sehingga hancur dan menjadi emping. Sebelum dimakan, emping padi berkenaan akan ditampi untuk dibuang kulit serta habuk yang hancur dan bercampur dengan isi emping ketika ditumbuk dengan lesung kayu tadi. Salleh berkata, emping padi lazimnya dimakan bersama kelapa muda yang dikisar serta dicampurkan dengan garam dan gula selain kuah serawa yang dihasilkan menerusi adunan santan kelapa, madu, gula dan telur. "Selain memperkenalkan makanan tradisi ini kepada generasi baru, program yang diadakan turut mengeratkan ukhuwah sesama pelbagai lapisan penduduk yang datang menghulurkan pertolongan," katanya. Katanya lagi, hal ini secara tidak langsung membuktikan program yang diamalkan masyarakat terdahulu membuahkan muafakat seterusnya membolehkan mereka hidup dalam keadaan aman dan damai. Sebagai contoh, katanya, untuk proses menumbuk empeng ianya selalu dilakukan lebih daripada dua orang menyebabkan ramai penduduk yang terbabit. (END) |
0 Comments:
Post a Comment
<< Home