Thursday, November 06, 2008

kaji mukjizat al-quran

Publication : BH

Edition :

Date : 08/08/2005

Page Number : 12

Headline : Manusia patut kaji khazanah mukjizat al-Quran

Words : 733

Byline : Oleh Nasron Sira Rahim

Text :


SAINS bukan suatu yang asing dalam Islam kerana kajian saintifik terhadap
al-Quran mendapati kitab wahyu itu mengandungi pelbagai ilmu sains yang
disampaikan secara tersurat atau memerlukan kajian mendalam.
Lebih menakjubkan, ilmu itu disampaikan pada abad keenam, iaitu ketika
manusia masih jahil dan terasing dengan bidang sains.
Bagaimanapun, kajian yang dilakukan selepas abad ke-19 mendapati fakta
saintifik dalam al-Quran itu terbukti benar.
Felo Kanan Pusat Sains dan Teknologi Institut Kefahaman Islam Malaysia
(IKIM), Shaikh Mohd Saifuddeen Shaikh Mohd Salleh, berkata sebagai
contoh, ayat pertama hingga kelima daripada surah al-Alaq dikatakan
memiliki fakta sains melangkaui tahap pemikiran manusia ketika ia
diturunkan.
Allah berfirman menerusi surah itu bermaksud: "Bacalah (wahai Muhammad
SAW) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk). Dia
menciptakan manusia daripada sebuku darah beku. Bacalah dan Tuhanmu Maha
Pemurah. Yang mengajarkan manusia melalui pena dan tulisan. Dia
mengajarkan manusia apa yang tidak diketahui."
Katanya, wahyu pertama itu tidak saja sebagai watikah pelantikan
Muhammad sebagai Rasulullah, malah mengandungi maklumat sains dalam
bidang biologi mengenai proses awal kejadian manusia.
Selain surah berkenaan, fakta sains lain yang ditemui dalam al-Quran
adalah semua cakerawala bergerak secara terapung (surah Yasin, ayat 40),
bumi bergerak (surah an-Naml, ayat 88) dan pokok menghasilkan bahan bakar
(surah Yasin, ayat 80).
Fakta lain termasuk atom adalah benda terkecil (surah Yunus, ayat 61)
dan semakin tinggi semakin sukar bernafas (surah al-An'aam, ayat 125),
semua makhluk berpasangan (surah adz-Dzaariyaat, ayat 49), proses
kejadian manusia (surah al-Mu'minuun), kegunaan besi (surah al-Hadiid,
ayat 25) dan langit yang terkawal (surah al-Anbia', ayat 32).
Shaikh Mohd Saifuddeen berkata, bagi umat Islam, penjelasan mengenai
proses alam tabii sudah diberi secara tersurat atau tersirat menerusi
al-Quran dan manusia hanya perlu mengkaji khazanah mukjizat berkenaan.
"Sejak azali dulu, manusia sentiasa berusaha memahami alam tabii yang
didiami sehingga membawa kepada perkembangan ilmu yang dikenali sebagai
sains," katanya dalam perbincangan kertas kerjanya bertajuk Sumbangan
Tamadun Islam Dalam Perkembangan Ilmu yang dibentangkan pada Seminar
Islah Hadhari-Pengenalan Semula dan Penguasaan Cabang Ilmu Asas Di
Kalangan Umat Islam di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Beliau bagaimanapun berkata, umat Islam kini lebih terpengaruh dengan
falsafah sains berasaskan acuan Barat yang meletakkan keagungan kepada
sains dan teknologi itu sendiri seolah-olah menafikan wujudnya Tuhan yang
mencipta segala-galanya.
Antara pandangan yang berjaya mempengaruhi pemikiran mengenai falsafah
sains itu adalah pandangan kumpulan positivisme logikal. Mereka
mewujudkan satu idealisme mengagungkan ahli sains sehingga ingin
membuktikan keupayaan manusia untuk mengenali dan memahami alam tanpa
wahyu.
Bagaimanapun, ada juga di kalangan ahli sains Barat yang menyangkal
pendapat berkenaan seperti pakar bedah Perancis tersohor, Maurice
Bucaille yang memberikan ulasan bahawa wujud keharmonian antara Islam dan
sains, tiada konflik, paradoks atau pertentangan.
Pengarah Pusat Perhubungan Korporat dan Antarabangsa, Kolej Universiti
Teknikal Kebangsaan Malaysia (KUTKM), Prof Madya Dr Mohd Ridzuan Nordin,
pula berkata pada zaman kegemilangan tamadun Islam, saintis Islam banyak
memberi sumbangan terhadap pengembangan ilmu.
Menerusi kertas kerja bertajuk Perkembangan Ilmu Sains Asas Dalam
Tamadun Islam, beliau berkata, antara sumbangan saintis Islam yang amat
bermakna dalam bidang ilmu sains asas adalah pendekatan membuat
pemerhatian, pengukuran dan melakukan uji kaji.
Katanya, antara nama tokoh yang berjasa pada zaman itu ialah Jabir Ibn
Haiyan yang terbabit dalam perubatan dan kimia, Muhammad Musa
Al-Khawarizmi (matematik, astronomi dan geografi) dan Yaqub Ibn Ishaq
Al-Kindi (falsafah, fizik, optik, perubatan, matematik dan metalurgi).
"Pengembangan pesat ilmu sains asas dalam tamadun Islam didorong oleh
minat saintis Islam mendalami proses ciptaan alam oleh Allah.
"Pengkaji al-Quran tidak dapat lari daripada memikirkan dan menyelidik
mengenai fenomena yang diterangkan al-Quran," katanya.
Beliau bagaimanapun berkata, prestasi umat Islam dalam bidang ilmu
sains asas berlaku selepas mereka mula leka dengan kehidupan serta
keimanan mula lemah.
Sumbangan tamadun Islam terhadap bidang sains berlaku semasa
prakebangkitan Eropah. Sejak itu, sumbangan saintis Islam adalah terhad
malah sumbangan saintis Islam dalam kurun ke-20 dan 21 boleh dipersoalkan.
Sehingga kini, hanya dua saintis Islam mendapat Hadiah Nobel iaitu Dr
Abdus Salam dari Pakistan dalam bidang fizik pada 1979 dan Dr Ahman
Zewail dari Mesir dalam bidang kimia pada 1999.
Bagi mengubah keadaan ini, katanya, umat Islam perlu memahami faktor
yang menyebabkan berlakunya kelemahan dalam bidang itu antaranya
kurangnya penerapan budaya sains dan teknologi, penguasaan bahasa yang
terhad serta kurangnya minat untuk membiayai inisiatif sains dan
teknologi.
(END

0 Comments:

Post a Comment

<< Home