Thursday, November 06, 2008

news aids

Publication : BH

Edition :

Date : 11/07/2005

Page Number : 06

Headline : Kerajaan beri penjelasan terperinci kepada ulama

Words : 307

Byline : Oleh Nasron Sira Rahim

Text :


KUALA LUMPUR: Golongan ulama akan diberi penjelasan terperinci mengenai
situasi dan fakta sebenar gejala Aids di negara ini bagi menghindari
salah faham terhadap program kerajaan membekalkan kondom dan jarum
suntikan percuma kepada 130,000 penagih, Oktober ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Abdullah Md Zin, berkata
kerajaan yakin pendekatan itu akan difahami ulama dan tokoh agama selepas
sesi penerangan kepada mereka di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya
(PICC), akhir bulan ini.
Beliau berkata, menerusi sesi berkenaan, kerajaan akan menerangkan
kepada golongan itu mengenai keadaan sebenar berasaskan fakta mengenai
penyakit Aids di negara ini sehingga perlunya pendekatan itu dilaksanakan.
Katanya, pada sesi itu juga, ulama dan tokoh agama yang masih tidak
jelas mengenai cadangan yang diperkenalkan itu boleh mengemukakan
sebarang persoalan kepada ahli panel supaya mereka benar-benar memahami
hasrat kerajaan itu.
"Apabila mendapat penjelasan sebenar dengan angka, kedudukan kritikal
dan kebaikan program ini yang dijalankan secara terkawal dan pendekatan
digunakan, saya percaya ulama kita akan faham," katanya ketika ditemui
pada Majlis Perasmian Penutup Bengkel Pelaksanaan Islam Hadhari Peringkat
Umno Bahagian Seluruh Malaysia, di sini, kelmarin.
Beliau berkata, antara pihak yang akan menghadiri sesi penerangan itu
adalah Mufti, Yang Dipertua Majlis Agama Islam serta Pengarah Jabatan
Agama Islam, Pegawai Agama dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim),
Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Yayasan Dakwah Islam Malaysia
(Yadim), pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan tokoh agama.
"Cadangan ini adalah kawalan daripada merebaknya penyakit kepada orang
lain seperti isteri dan anak. Pemberian adalah terkawal dan bukan diberi
sewenang-wenangnya dan ini adalah antara penjelasan yang akan diberikan,"
katanya.
Abdullah berkata, panel yang akan memberi penjelasan dan berdialog
dengan peserta terdiri daripada pakar dan doktor dalam bidang kawalan
penyakit, HIV/Aids, dadah dan pengkaji permasalahan berkenaan.
(END)

0 Comments:

Post a Comment

<< Home