| KUALA LUMPUR: Kajian Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mendapati pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris menyebabkan peratusan pelajar yang mendapat kejayaan cemerlang dalam subjek Bahasa Melayu semakin menurun. Pensyarah Kanan Jabatan Seni Bina, Fakulti Kejuruteraan UKM, Dr Azami Zaharim, berkata kajian Institut Alam dan Tamadun Melayu (Atma) tahun ini mendapati kesan penukaran bahasa pengajaran itu menyebabkan penurunan jumlah pelajar cemerlang dalam Bahasa Melayu, Sains, Matematik dan Bahasa Inggeris lebih 50 peratus. "Kajian itu membabitkan 8,000 pelajar di seluruh negara yang menduduki Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dalam bahasa Melayu pada 2002 dengan prestasi mereka pada 2004, selepas mempelajari subjek itu dalam bahasa Inggeris," katanya ketika membentangkan kertas kerja 'Islam dan Matematik: Antara Imej dan Realiti' pada Seminar Islam Hadhari-Pengenalan Semula dan Penguasaan Cabang Ilmu Asas di Kalangan Umat Islam, di Dewan Besar Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), di sini, semalam. Kajian dilakukan Prof Madya Dr Nor Hashimah Jalaluddin itu turut menunjukkan hanya pelajar bandar, sekolah menengah, bukan Melayu, keluarga berada dan elit tidak menghadapi masalah itu. Kajian itu turut menyebut bilangan golongan itu bagaimanapun hanya 20 peratus daripada jumlah keseluruhan pelajar di seluruh negara. Dr Azami berkata, berdasarkan kajian yang dilakukan sebelum ini, orang Melayu sebenarnya berpotensi menjadi bangsa maju dan menjadi ahli pemikir, saintis, ahli matematik dan ahli muzik. Katanya, ini kerana orang Melayu dikatakan memiliki akal yang bijak, kreatif, rasional dan mampu melahirkan idea abstrak dan berasaskan konsep. Malah, orang Melayu boleh berfikir secara holistik atau sintesis. (END) |
0 Comments:
Post a Comment
<< Home