| KESEJAHTERAAN sosial menjadi matlamat utama hidup bermasyarakat dalam sebuah negara. Ia mungkin difahami sebagai kehidupan masyarakat yang memenuhi keperluan asasi, persekitaran hidup bersih dan selamat. Kesejahteraan sosial juga mencakupi pentadbiran cekap dan peka terhadap masalah penduduk. Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Prof Mohd Kamal Hassan ketika memberikan pandangan mengenai perkara itu dari kaca mata Islam berkata : "Bagi umat Islam, kesejahteraan individu, masyarakat dan negara dalam maknanya yang mutlak dan hakiki hanya dicapai apabila manusia memenuhi secara holistik semua tuntutan dirinya dan masyarakat. "Ia merangkumi aspek rohani, emosi, intelek dan jasad serta berpandukan ajaran dan ketentuan Allah dengan matlamat mendapatkan kebaikan di dunia dan akhirat." Beliau dalam ucaptama Seminar Kebangsaan Islam Hadhari dan Pembangunan Sosial: Pemantapan Strategi Ke Arah Pembangunan dan Kesejahteraan Sosial anjuran Institut Sosial Malaysia, baru-baru ini seterusnya berkata: "Bagi mencapai kesejahteraan sosial, manusia perlu menjaga hubungan dengan Allah serta hubungan sesama manusia menerusi keimanan dan amal soleh. "Negara kini dilanda pelbagai gejala sosial serius dan kerajaan mengimbang serta mengintegrasikan dasar pembangunan ekonomi dengan dasar pembangunan sosial bagi mengatasinya. "Bagi tujuan itu juga, negara memperkenalkan Dasar Sosial Negara sebagai matlamat, sementara prinsip Islam Hadhari sebagai pendekatan mencapai hasrat kesejahteraan sosial." Jelasnya, kesejahteraan sosial juga dicapai apabila keluarga sejahtera melahirkan generasi cemerlang serta mampu mentadbir dan memakmurkan negara dengan memanfaat sumber alam bagi kehidupan berkualiti. Pengarah Bahagian Dakwah, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Othman Mustapha, pula berkata daripada perspektif Islam, keluarga sejahtera menguruskan kehidupan berteraskan ajaran Islam. Mereka tidak mengabaikan pembangunan kebendaan, penguasaan ilmu, kesihatan berkualiti dan mengamalkan akhlak baik. Bagaimanapun, katanya, usaha itu dihalang pelbagai cabaran seperti persekitaran tidak baik akibat gejala sosial sedia ada, kemudahan asas terbatas dan kemiskinan sehingga mendorong berlakunya jenayah berasaskan kewangan. Tahap penguasaan teknologi dan pengurusan keluarga rendah dan sikap masyarakat yang enggan berubah ke arah pembaikan turut menghalang usaha itu. Prof Chamhuri Siwar dari Universiti Kebangsaan Malaysia ketika memperkatakan mengenai kemiskinan dalam Islam berkata, antara ciri golongan miskin adalah memiliki saiz keluarga dan tanggungan besar serta sebahagiannya menyewa rumah atau mendirikan setinggan. Katanya, kebanyakan golongan itu berusia lanjut serta memiliki taraf pendidikan rendah. Islam, katanya, menyediakan kaedah membasmi kemiskinan dan kesaksamaan antaranya menghapuskan penumpuan pemilikan seperti firman Allah bermaksud: "...supaya harta itu jangan hanya beredar antara orang kaya di kalangan kamu..." (Surah Al-Hasyar, ayat 7). Islam menegaskan harta kekayaan dan sumber asli adalah hak milik mutlak Allah. Negara dan orang ramai hanya pengurus sumber serta harta terbabit dan ia perlu diagihkan untuk dikongsi bersama. Pelaksanaan zakat dan sedekah secara telus mampu membasmi kemiskinan. Ia juga kaedah pengagihan kemakmuran berkesan dan produktif. (END) |
0 Comments:
Post a Comment
<< Home