Thursday, November 06, 2008

zakat

ublication : BM

Edition :

Date : 23/04/2006

Page Number : 15

Headline : Zakat uji tahap kejujuran umat

Words : 696

Byline : Oleh Nasron Sira Rahim

Text :


KETIKA Umar Ibnu Khatab bertanya kepada Abu Bakar as-Siddiq mengenai
tindakan yang akan dikenakan terhadap umat Islam yang tidak lagi mahu
mengamalkan ibadat zakat selepas kewafatan Rasulullah SAW, Khalifah
ar-Rashyidin pertama itu berkata:
"Demi Allah, saya akan terus memerangi orang yang memisahkan antara
solat dan zakat, kerana zakat hak atas harta. Demi Allah, seandainya
mereka enggan membayar seutas tali yang dulunya dibayarkan kepada
Rasulullah SAW, saya akan memerangi mereka kerananya."
Meneliti keputusan tegas itu, umat Islam dapat menggambarkan pentingnya
ibadat zakat dalam Islam sehinggakan mereka yang mengingkarinya akan
diperangi habis-habisan.
Tindakan itu disebabkan menunaikan zakat adalah antara Rukun Islam yang
diwajibkan kepada sesiapa yang mengaku sebagai Islam dan mengingkari
ibadat itu bererti individu itu terkeluar daripada agama berkenaan.
Ketua Unit Syariah dan Penerangan Khas, Pusat Pungutan Zakat Majlis
Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP), Ahmad Shukri Yusoff; berkata
walaupun ibadat itu diwajibkan kepada umat Islam, masih ada umat Islam
tidak membayar zakat.
Katanya, jika seseorang itu sekadar tidak mahu membayar zakat, dia
melakukan dosa besar tetapi jika berpandangan zakat itu tidak perlu
ditunaikan malah mempersendakan hukum Allah itu, dia terkeluar daripada
Islam.
Di sebalik menunaikan arahan Allah itu, ramai memberi alasan seperti
tidak cukup wang dan banyak hutang malah ada tidak mengambil tahu
langsung mengenai ibadat itu seolah-olah ia bukan perkara wajib bagi
mereka.
Ahmad Shukri berkata, maklumat mengenai perlu membayar zakat terlalu
kerap didedahkan sama ada dalam bentuk ceramah, penerangan dan media
tetapi masih ada umat Islam memberi alasan tidak mengetahui kaedah
membayarnya.
"Jika kita jujur kepada agama, alasan tidak cukup wang untuk membayar
zakat tidak menghalang kita untuk menunaikan kewajipan terhadap Allah,
malah jumlah yang harus dikeluarkan zakat adalah sedikit iaitu 2.5
peratus daripada jumlah harta.
"Jumlah itu tidak banyak dan zakat pula tidak termasuk dalam aset
seperti rumah dan kereta. Sebagai contoh, jika kita simpan wang dalam
akaun amanah, faedahnya lebih 2.5 peratus tetapi zakat hanya 2.5
peratus," katanya.
Beliau berkata, kini ada pelbagai kaedah membayar zakat iaitu menerusi
kaunter zakat, potongan gaji atau bayaran menerusi akaun bank secara
on-line.
"Apabila membayar zakat, kita mendapat potongan daripada jumlah cukai
pendapatan. Ramai yang sanggup membayar cukai pendapatan, tetapi tidak
membayar zakat," katanya.
Zakat adalah antara ujian bagi menentukan sama ada seseorang itu lebih
menyayangi harta dunia daripada menunaikan perintah Allah.
Ahmad Shukri berkata, naluri manusia memang cintakan harta dan tidak
salah bersikap demikian selagi harta itu tidak menghalang mereka daripada
menunaikan kewajipan kepada agama.
"Cinta sejati hanyalah kepada Allah; manusia harus menyedari bahawa
kehidupan ini sementara dan harta tidak dibawa ke kubur," katanya.
Kebanyakan dalil al-Quran mengenai kewajipan zakat sering digabungkan
dengan solat antaranya seperti surah an-Nur, ayat ke-56: "Dan dirikanlah
oleh kamu solat serta keluarkan zakat dan taatlah kepada Rasul supaya
kamu beroleh rahmat."
Antara penjelasan bagi ibadat itu adalah kewajipan membelanjakan harta
ke jalan Allah (infak) adalah sama pentingnya dengan solat.
"Kita harus ada kesedaran untuk mengamalkan agama, jika mengatakan gaji
tak cukup, ramai tidak cukup, tapi dalam tidak cukup gaji itu, kita masih
hidup dengan pelbagai nikmat Allah; dapat makan dan minum. Sebagai tanda
syukur kepada Allah, tunaikan kewajipan ditetapkan-Nya," katanya.
Katanya, zakat juga mendorong umat Islam untuk berusaha mencari harta
bagi membolehkan mereka menunaikan Rukun Islam dan bukan setakat
menerimanya tapi berusaha untuk keluar daripada kepompong kemiskinan.
"Ia adalah motivasi supaya selepas berjaya mengumpul harta, kita akan
mengembangkan pula duit itu jika tidak ia akan habis kerana membayar
zakat saja. Jadi, paling kurang usaha kita untuk mengembangkan harta itu
harus mendapat pulangan minimum 2.5 peratus.
Beliau berkata, apabila menunaikan perintah Allah dan membayar zakat,
seseorang itu akan memperoleh kenikmatan rohani, berasa tenang, seronok
dan bergembira menjalani kehidupan kerana hidupnya diberkati Allah.
Tanpa menunaikan zakat, seseorang itu masih berhutang dengan Allah SWT
dan jika diteliti keadaan semasa, mereka yang tidak dibayar hutang kepada
pihak pemberi hutang ketika di dunia akan dikenakan tindakan, maka begitu
jugalah Allah.
"(Selain balasan neraka) ada juga balasan yang Allah tunjukkan di dunia
lagi jika melanggar perintah-Nya dan tidak membayar zakat, contohnya
hidup seseorang tidak tenang, keluarga tidak bahagia dan tertekan. Kita
boleh fikirkan penyebabnya," katanya.
(END)

0 Comments:

Post a Comment

<< Home