Thursday, November 06, 2008

kubur di dasar tasik pedu

Publication : BM

Edition :

Date : 07/05/2006

Page Number : 10

Headline : Kubur lama di Tasik Pedu

Words : 554

Byline : Oleh Nasron Sira Rahim

Text :


DI sebalik ketenangan air di Empangan Tasik Pedu, Kedah yang dalamnya
kira-kira 60 meter, tidak siapa menyangka di dasar tasik berkeluasan 52
kilometer persegi itu `tersembunyi' ratusan kubur lama dan batu nisan
yang masih teguh.
Bagaimanapun, rahsia yang menyelubungi tasik itu sejak kira-kira 30
tahun lalu terbongkar Ogos tahun lalu apabila kemarau panjang di negeri
di utara tanah air itu secara tidak langsung turut mengeringkan air tasik
berkenaan.
Keadaan itu menyebabkan paras air tasik buatan itu mula berkurangan dan
beberapa kawasan yang dulunya ditenggelami air, mula menjadi daratan.
Ketika itulah, apabila hari mulai dihimpit kegelapan, sekumpulan
pemancing yang memasuki kawasan tasik itu secara tidak sengaja menjumpai
kawasan kubur usang berkenaan.
Pada mulanya, kumpulan itu yang dikatakan baru sudah memancing, mencari
batu untuk dijadikan pelapik memasak untuk makan malam.
Ketika mencari batu, mereka kehairanan apabila mendapati banyak batu di
kawasan berkenaan dan selepas meneliti cara susunan batu itu, mereka
terkejut kawasan berehat mereka pada waktu Maghrib itu adalah kubur!
Kawasan kubur itu dipercayai berusia lebih 200 tahun dan ia tidak
kelihatan sebelum ini berikutan paras air empangan itu tidak pernah susut
seperti tahun lalu.
Ketika air empangan penuh, kawasan perkuburan seluas 0.8 hektar yang
terletak di bahagian barat daya dan kira-kira satu kilometer dari tebing
tasik, akan ditenggelami air kira-kira 45 meter.
Ketika ditemui, kebanyakan kubur masih dalam bentuk asal malah
kedua-dua batu nisan masih teguh berdiri. Saiz kubur pula adalah pelbagai
dan kemungkinan kawasan kubur itu menempatkan jenazah golongan dewasa dan
kanak-kanak.
Kubur lama itu dipercayai wujud berikutan adanya penempatan di kawasan
berkenaan sebelum Empangan Tasik Pedu mula dibina pada 1963; penempatan
itu dikenali sebagai Kampung Mong Gajah dan dikelilingi hutan tebal.
Penemuan itu mengejutkan penduduk setempat dan susulan daripada itu,
Majlis Agama Islam Kedah (Maik) membuat tinjauan lanjut dan mendapati
kira-kira 380 kubur orang Islam di tapak perkuburan lama itu.
Bagaimanapun, jumlah itu tidak termasuk kubur yang tidak ditemui kerana
ditenggelami air di kawasan lain sekitar tasik. Kawasan lain itu termasuk
di lokasi tasik paling dalam dan berdekatan pintu pelepasan air empangan.
Pada mulanya, Maik mengambil keputusan untuk memindahkan kawasan
perkuburan berkenaan ke suatu lokasi lain tetapi selepas itu, cadangan
ber kenaan dibatalkan.
Juruteknik Kanan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada) - Empangan
Pedu, Mustafa Mat, berkata kawasan perkuburan itu akan kelihatan selama
kira-kira tiga bulan, bermula setiap September kerana pada waktu itu,
kawasan di Kedah kemarau.
Air dari Empangan Pedu digunakan untuk membekalkan air ke kawasan sawah
sekitar Kedah.
Beliau berkata, ketika empangan itu mula dibina pada 1963, kawasan
sekitar tasik itu hanyalah hutan dan tiada penempatan manusia. Semua
penempatan penduduk sekitar empangan dipercayai mula ditinggalkan pada
1948.
Ahli Jawatankuasa Persatuan Pencinta Alam Kedah, Kamarudin Said,
berkata kawasan berkenaan dipercayai mula di tinggalkan penduduk
berikutan ia adalah `kawasan hitam' iaitu lokasi sasaran komunis pada
suatu ketika dulu.
Beliau berkata, menurut cerita beberapa orang lama yang ditemuinya,
penempatan di kawasan itu pada asalnya diteroka lima beradik dari
Pattani, Thailand lebih 100 tahun lalu.
"Lima beradik itu adalah Pedu, Gube, Laso, Labo serta Gulau dan nama
kawasan sekitar Empangan Pedu dinamakan sempena nama mereka.
Bagaimanapun, beberapa penempatan seperti Pedu, Labo dan Laso kini sudah
lama ditinggalkan.
"Pada zaman dulu, orang Islam dari Pattani yang ingin menunaikan haji
akan melalui kawasan ini untuk ke Pulau Pinang. Dari Pulau Pinang, mereka
menaiki kapal laut ke Makkah," katanya.
(END)

0 Comments:

Post a Comment

<< Home