Thursday, November 06, 2008

santau jin

Publication : BM
Edition :
Date : 14/05/2006
Page Number : 10
Headline : Manusia berilmu boleh kawal, tangkap jin
Words : 645
Byline : Oleh Nasron Sira Rahim
Text :


KEBELAKANGAN ini, ramai mendakwa menjumpai objek aneh berbentuk lembaga
kecil ketika menjejaki kawasan hutan, pantai dan sungai sehingga
menimbulkan teka-teki mengenai bahan yang ditemui itu.
Adakah objek itu jin, bahan untuk sihir atau sekadar barang biasa yang
dibuang sebagai sampah.
Objek dan bahan asing itu dibuang atau ditanam di kawasan jauh dari
penempatan manusia selain keadaan alam semulajadinya masih belum dicemari
arus kemodenan - di hutan, sungai dan laut.
Kronologi penemuan objek misteri itu bermula apabila patung sebesar
bayi yang lengkap dikapan dengan kain putih dijumpai di bawah pokok di
kaki Gunung Jerai, Kedah pada Ogos tahun lalu.
Ketika ditemui, patung plastik itu dibungkus rapi dengan kain putih dan
diikat pada kaki dan kepalanya seperti mayat yang dikapan. Bahagian
badannya dipenuhi cucukan jarum peniti, paku selain lilitan tali nilon
berwarna-warni pada kaki dan tangan.
Februari lalu pula, seorang pencari barang terpakai menemui botol
berisi patung kecil di Pantai Padang Balak, Pahang dan berita penemuan
itu menggemparkan penduduk sekitar yang menganggap objek yang kemudiannya
dipamerkan di Muzium Sultan Abu Bakar itu adalah `toyol'.
Objek hitam itu `dikurung' di dalam botol, bermata merah, dibungkus
dalam kain hitam yang dililit benang kuning dan hitam serta kelihatan
masih baru. Sejak itu, beberapa pihak lagi mendakwa menemui objek pelik
yang hampir sama di merata tempat di negara ini.
Pensyarah Fakulti Pengajian Islam, Dr Ideris Endut, berkata kemungkinan
objek ditanam dan dibuang itu adalah jin yang dipasung atau bahan
digunakan dalam amalan sihir.
Ini disebabkan dalam amalan perbomohan tradisional, makhluk halus atau
jin yang mengganggu manusia akan ditangkap pengamal bidang itu sebelum
dibuang ke hutan, sungai atau lautan.
Beliau berkata, tujuan tindakan itu untuk mengembalikan makhluk itu ke
penempatan asalnya, dengan harapan tidak lagi mengganggu manusia sebaik
kembali ke kawasan masing-masing.
"Kebanyakan mereka tinggal di kawasan hutan, sungai dan laut yang jauh
daripada manusia," katanya.
Dr Ideris berkata, sebelum manusia pertama iaitu Nabi Adam AS
diciptakan, Allah SWT terlebih dulu menciptakan jin seperti firman-Nya
dalam ayat ke 26 dan 27 daripada surah Al-Hijr:
"Dan sesungguhnya Kami menciptakan manusia daripada tanah liat kering
kontang yang berasal daripada lumpur hitam yang dibentuk dan Kami
ciptakan Jin sebelum diciptakan manusia daripada api yang sangat panas."
Katanya, berbanding manusia; jin adalah makhluk yang terlebih dulu
wujud dan menghuni bumi. Mereka mendiami planet itu dalam keadaannya yang
asal - hutan tebal yang mengalir sungai dikelilingi alam semula jadi
masih belum dicemari.
Hanya selepas kewujudan manusia, barulah alam semula jadi itu diteroka
menyebabkan habitat asal jin semakin mengecil sehingga mereka memasuki
kawasan manusia. Disebabkan itulah, jin yang memasuki dan melakukan
gangguan di kawasan manusia akan kembali dibuang ke hutan, laut atau
sungai jika mereka ditangkap.
Katanya, manusia berkemampuan mengawal dan menangkap jin dan begitu juga
sebaliknya kerana dua makhluk itu sebenarnya memiliki tujuan hidup sama
iaitu sama ada menuruti perintah Allah SWT atau mengingkari-Nya.
Ini berdasarkan firman Allah SWT: "Dan tidak Aku ciptakan jin
dan manusia kecuali untuk beribadat kepada-Ku," (Adz-Dzariyaat: 56).
Beliau berkata, jin yang rendah ilmunya akan kalah dan dikawal manusia.
Ia akan mengikuti perintah manusia termasuk dikurung di dalam balang kaca
atau buah kelapa kerana ia takut dicederakan manusia.
Selain itu, objek aneh yang dijumpai di kawasan hutan, sungai dan
lautan itu juga mungkin adalah barang digunakan dalam aktiviti sihir.
Malah dalam penemuan di Gunung Jerai, patung yang dijumpai menyamai
kaedah digunakan dalam upacara voodoo iaitu sejenis amalan ilmu hitam
yang popular di Afrika.
Dr Ideris berkata, aktiviti sihir terbahagi kepada dua iaitu secara
lahiriah dan bukan lahiriah. Sihir berbentuk bukan lahiriah membabitkan
gangguan jin manakala sihir lahiriah pula membabitkan jin dan benda
kotor, najis, barang diharamkan syariat selain yang memudaratkan manusia.
Antara barang berkenaan adalah darah, rambut, serbuk kaca, miang buluh
dan jarum yang digunakan dalam sihir seperti santau supaya ia dapat
membahayakan kesihatan manusia malah terdapat kes sehingga pesakit
terbabit menemui ajal.
"Bagaimanapun, manusia yang berilmu dapat mematahkan sihir berkenaan
dan menundukkan jin yang diarahkan untuk tujuan itu," katanya.
(END)

0 Comments:

Post a Comment

<< Home