| KUALA LUMPUR: Kekurangan pakar optik di negara ini yang dianggap berada pada tahap kritikal memberi dorongan kepada England Optical Group Sdn Bhd (EOG) untuk mengambil inisiatif dan menaja biasiswa bernilai RM600,000 kepada 10 pelajar bagi mengikuti bidang itu, tahun ini. Pengurus Sumber Manusia EOG, Eric Yap, berkata berbanding jumlah penduduk di negara ini, jumlah pakar optik adalah sedikit dan usaha perlu dilakukan bagi menyeimbangkan jumlah berkenaan. Beliau berkata, selain itu, ada juga di kalangan pengamal optik yang tidak diiktiraf oleh kerajaan walaupun mereka mempunyai kemahiran dalam bidang berkenaan berikutan tidak memiliki kelayakan akademik yang disyaratkan. Katanya, antara faktor yang dipercayai menyumbang kepada kekurangan pakar optik di negara ini adalah kurangnya institusi pengajian tinggi tempatan yang menawarkan pengajian berkenaan. Setakat ini, hanya Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Institut Optopreneur, kendalian EOG yang menawarkan kursus di bidang optikal. "Menyedari kurangnya pakar optik, kami menawarkan biasiswa kepada pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang mendapat keputusan cemerlang untuk mengikuti pengajian diploma profesional di Institut Optopreneur yang ditubuhkan pada 2002. Beliau berkata demikian selepas menyampaikan replika cek biasiswa kepada wakil Yayasan Pendidikan MCA Bandar Tun Razak, Chiew Lian Keng, sempena Kempen Pemeriksaan Mata Percuma dan Derma Darah di Pusat Perkhidmatan Datuk Tan Chai Ho, Cheras, di sini, baru-baru ini. EOG yang ditubuhkan pada 1980 kini memiliki 150 cawangan perniagaan termasuk di luar negara iaitu 20 cawangan di China, tiga di Kemboja dan satu di Singapura selain menubuhkan Institut Optopreneur bagi melatih lebih ramai usahawan dan pakar optik. Eric berkata, program pengajian yang ditawarkan di Institut Optopreneur adalah Fellow of British Diepensing Opticans (FBDO) yang dijalankan secara bersama dengan Persatuan Pakar Optik British dan program itu turut diiktiraf Lembaga Akreditasi Negara (LAN). Beliau berkata, selain pengajian diploma optik selama empat tahun, semua pelajar yang ditaja biasiswa itu juga akan ditawarkan peluang pekerjaan bersama EOG selepas menamatkan pengajian malah mereka turut dibantu menubuhkan perniagaan optik sendiri jika berminat. "Kami turut menawarkan pinjaman serta membantu pelajar kami berurusan dengan institusi kewangan bagi mendapatkan modal permulaan perniagaan dan sehingga kini, lebih 40 cawangan diusahakan secara francais oleh usahawan termasuk pelajar kami," katanya. FAKTA NOMBOR 1:14,000 Nisbah pakar optik dengan penduduk negara ini. 1,400 Pakar optik yang diiktiraf di negara ini. (END) |
0 Comments:
Post a Comment
<< Home