manusia homo floresiensis
Misteri - Misteri makhluk Edo Gogo
Oleh Nasron Sira Rahim
SUATU ketika dulu, di sebuah wilayah misteri yang terasing, dipercayai wujud sejenis spesies manusia aneh yang keadaan fizikalnya berlainan sekali daripada manusia normal yang hidup ketika ini.
Tidak seperti manusia biasa, jasad spesies manusia aneh itu adalah kerdil sehinggakan kalangan dewasa dalam kelompok mereka hanyalah setinggi kanak-kanak berusia lima tahun.
Mereka memiliki lengan lebih panjang, tulang alis lebih tebal, dahi yang miring, tidak mempunyai dagu dan rahang bawahnya diisi gigi-gigi besar tumpul.
Gigi depannya lebih kecil seperti gigi manusia moden, lubang mata spesies manusia ini besar dan bulat manakala tulang pinggul mirip kera. Otak mereka pula hanyalah sepertiga daripada otak manusia sekarang.
Walaupun fizikal spesies manusia aneh ini berbeza daripada jasad manusia yang wujud ketika ini iaitu `Homo Sapiens', perilaku mereka mirip manusia moden.
Mereka menggunakan api untuk memasak dan memburu sejenis gajah primitif yang hidup di wilayah itu dikenali Stegodon. Keupayaan berfikir dan kebijaksanaan mereka terserlah apabila dengan jasad kecil mereka itu, mereka mampu memikirkan taktik untuk menewaskan Stegdon yang seberat 1,000 kilogram.
Manusia aneh itu wujud pada zaman purba dan kebijaksanaan mereka menyebabkan spesies itu mampu menghasilkan beberapa peralatan batu seperti pisau batu dan peralatan rumah lain. Antara makanan kumpulan manusia itu adalah ikan, katak, ular, kura-kura dan burung.
Kewujudan mereka terus `tersembunyi' di wilayah terasing di Kepulauan Flores, Indonesia itu selama entah beberapa lama sehinggalah pada suatu hari, secara tiba-tiba spesies manusia aneh itu lesap terus di muka bumi ini.
Entah apa puncanya, kewujudan spesies manusia aneh itu terus pupus dan tidak dapat lagi ditemui di mana-mana sehingga kini. Ia terus kekal menjadi misteri dalam lipatan sejarah perabadan manusia.
Melewati masa, tamadun dunia bangun dan jatuh silih berganti, peradaban manusia berubah pantas dari primitif ke dunia serba teknologi dan pisau batu yang digunakan pada zaman purba diganti dengan pemotong laser.
Seorang orang tua di Flores masih teringat-ingat legenda setempat yang diceritakan dari generasi ke generasi sehingga ke zaman moden yang didiaminya ketika ini.
“Di kepulauan kita ini, ada makhluk-makhluk kerdil beredar selama berabad-abad, suatu ketika dulu. Mereka dinamakan Ebu Gogo, manusia kerdil berbulu yang tingginya hanya satu meter.
“Ebu Gogo berkomunikasi sesamanya dalam bahasa yang terdengar seperti menggumam dan mampu menirukan ucapan manusia seperti halnya burung kakak tua,” demikianlah antara maklumat makhluk legenda yang diceritakan kepadanya dan anak-anak watan Flores secara turun-temurun.
Lelaki tua itu masih tertanya-tanya, wujud lagikah Ebu Gogo seperti diceritakan legenda masyarakatnya? Jika ya, mengapa makhluk itu tidak lagi ditemui? Jika sudah pupus, apa yang menyebabkan mereka pupus? Dia terus tertanya-tanya.
Tahun 2003, penyelidik Universiti New England, New South Wales, Australia, mengerut dahi kehairanan tatkala menemui tulang belulang aneh ketika menjalankan kerja-kerja arkeologi di gua Liang Bua di Flores. Yakin mereka tulang yang dijumpai bersama fosil tikus raksasa, komodo dan gajah kecil itu adalah rangka manusia tetapi anehnya, ia bersaiz kecil sedikit.
“Mungkin ini rangka kanak-kanak purba,” mungkin begitulah fikir mereka pada awalnya tetapi kajian lanjutan mendapati ia bukanlah rangka kanak-kanak sebaliknya ia rangka spesies manusia aneh yang wujud suatu ketika dulu tetapi sudah pupus ketika ini!
Selepas ribuan tahun kekal sebagai rahsia yang tidak diketahui sesiapa, akhirnya kewujudan spesies manusia aneh itu yang kemudian dikenali dengan nama saintifik sebagai `Homo Floresiensis' mula terbongkar.
Tanda-tanya di kalangan cerita legenda Ebu Gogo mula terjawab malah penemuan rangka penting itu mengejutkan kalangan palaeontologist (penyelidik bidang fosil) seluruh dunia.
Penemuan spesies manusia aneh itu mengembalikan imaginasi terhadap banyak cerita fantasi mengenai kepelbagaian spesies manusia di dunia ini, tidak terhad kepada manusia berjenis Homo Sapiens saja.
Antaranya filem Hollywood, Lord of The Rings yang diadaptasi daripada novel dengan judul sama, turut memaparkan wujud tiga lagi spesies manusia iaitu Elf (telinga yang tirus, memiliki penglihatan dan pendengaran yang kuat), Dwarf (bertubuh gagah tapi pendek) dan Hobbit (bertubuh kerdil) selain manusia biasa.
Ia mungkin sekadar imaginasi penulis novel itu, JRR Tolkien, saja tetapi penemuan penyelidik Universiti New England itu menyebabkan ramai pihak menggelarkan Homo Floresiensis sebagai Hobbit lantaran fizikal spesies manusia itu yang kerdil menyamai gambaran Hobbit.
Justeru, adakah kepelbagaian spesies manusia sebagaimana ikan yang terdiri daripada pelbagai jenis dan spesies, bukan sekadar khayalan?
Kajian lanjutan mendapati rangka yang ditemui pada September 2003 itu milik perempuan, tingginya tika berdiri tegak kira-kira satu meter dan beratnya hanya 25 kilogram. Ia dianggarkan berusia sekitar 30 tahun ketika meninggal dunia.
Seterusnya fosil rangka spesies manusia aneh itu bersama peralatan batu mereka ditemui berterusan dan antara penemuan tulang belulang terbaru dipercayai milik sembilan jasad Homo Floresiensis.
Penemuan rangka sembilan Homo Floresiensis itu bagaimanapun berusia 15,000 tahun, membuktikan jarak masa antara fosil pertama dan fosil terbaru adalah 3,000 tahun.
Dengan kata lain, kumpulan spesies manusia kerdil itu wujud dan membiak di Flores selama 3,000 tahun! Mereka dipercayai terus hidup terasing di pulau itu dalam tempoh waktu yang amat lama!
Seterusnya penemuan menatijahkan pelbagai teori mengenai kewujudan Homo Floresiensis. Ada mengatakan mereka pada asalnya bersaiz sama seperti manusia biasa tetapi ketika tiba di kepulauan Flores, keadaan alam mengubah mereka menjadi kerdil, sama seperti kebanyakan haiwan lain di pulau itu yang turut memiliki saiz kecil.
Sesetengah lain menyangkal teori berkenaan dengan menyatakan bahawa Homo Floresiensis sememangnya spesies manusia yang dijadikan Tuhan dalam keadaannya yang kecil.
Satu lagi misteri membingungkan yang menyelubungi penemuan fosil Homo Floresiensis adalah mengapa mereka pupus? Dan benarkah mereka pupus atau mereka sekadar meninggalkan kepulauan Flores dan berhijrah ke wilayah lain?
Mungkinkah mereka masih wujud ketika ini tetapi bersembunyi di satu wilayah asing yang belum ditemui manusia moden, sama seperti ketika mereka tersembunyi di kepulauan Flores selama ribuan tahun, suatu ketika dulu?
Terdapat teori menyatakan masyarakat Homo Floresiensis pupus disebabkan lava gunung berapi yang melanda keseluruhan pulau itu tetapi punca sebenar kepupusan atau keghaiban mereka dari dunia ini, tiada siapa yang tahu.
Masih banyak persoalan yang masih belum terjawab mengenai kewujudan Homo Floresiensis atau Edo Gogo; mengapa mereka hanya wujud di Flores saja? tiadakah spesies mereka di tempat lain di peta dunia? Bagaimana corak sosial dan kehidupan mereka?
Dan jawapan bagi semua soalan itu, masih menjadi misteri.
Tamat.


0 Comments:
Post a Comment
<< Home