Hikayat dugong Si Tenang
nasron75
Jejak - Dugong Si Tenang
Oleh Nasron Sira Rahim
AGAK lama ia terperangkap di kawasan itu. Jasadnya dibelit jaring, ia cuba menggerakkan kedua-dua sirip dan mengibas ekor sekerap mungkin tetapi tetap tidak berjaya melepaskan diri.
Sebentar tadi ia mungkin tersesat jauh daripada ibunya. Ia masih bayi, justeru tidak tahu arah mana untuk kembali ke habitat mereka. Lalu ia hanya berenang tanpa arah yang pasti dan ketika itulah ia terperangkap di jaring berkenaan. Lama terperangkap, tubuhnya semakin lemah, kesakitan akibat luka di leher masih terasa peritnya.
Masa terus berlalu entah berapa lama apabila tiba-tiba dirasakan jaring itu diangkat. Seterusnya suara-suara aneh kedengaran dan dalam keadaan lemah, ia dibawa timbul ke permukaan laut berhampiran Pantai Sungai Cupak, Pasir Gudang, Johor.
Langit pada pagi 25 Januari 1999 sudah cerah, dua manusia itu memandangnya dengan aneh seolah-olah tidak pernah melihat makhluk sepertinya sebelum ini. Kemudian jaring menahan udang yang terbelit di jasadnya dirungkai satu persatu.
Selesai merungkai jaring, ia diangkat dan dibawa ke sebuah rumah rakit oleh dua manusia berkenaan iaitu Atan Husin, 50, dan anaknya, Roslan, 25 tahun.
Di situ, luka pada lehernya yang dipercayai manusia berkenaan akibat terkena kipas kapal, dirawat dengan teliti. Sesudah rawat, ia dipindahkan pula ke kelong ternakan kupang milik keluarga itu untuk dijaga sehingga sembuh.
Meniti hari dalam jagaan Atan dan keluarganya, hubungan mereka semakin rapat sehingga membenihkan kasih sayang walaupun mereka dua spesies berbeza. Ia terus dipelihara dengan penuh prihatin seolah-olah ia adalah ahli keluarga kepada Atan.
Dugong. Begitulah manusia menggelar spesies makhluk sepertinya. Sesekali manusia memanggil mereka sebagai ‘lembu laut’.
Si Tenang. Itu pula gelaran diberikan Atan kepadanya. Ia terus hidup dan dijaga dalam kelong milik keluarga itu bagai menatang minyak yang penuh. Sayang sekali keluarga itu kepadanya.
Menunggu lukanya sembuh, makanan diberikan kepadanya setiap hari. Pernah sekali keluarga itu memberinya makanan berdarah tetapi sebaik menjamah, segera ia termuntah. Ia tidak makan makanan seperti itu, dugong hanya makan rumpai laut.
Tiba-tiba, sekitar sebulan selepas itu, dari dalam kelong berkenaan ia melihat ramai orang memandang ke arahnya, hampir berderet di tepi tebing sangkar seolah-olah mereka melihat makhluk pelik.
Tidak saja pada hari itu, keesokannya juga sama dan begitu juga hari-hari seterusnya; beribu orang berduyun mahu melihat rupa dan fizikalnya yang berukuran 1.5 meter panjang dan berat 30 kilogram.
Mungkin ia tidak mengetahui yang penemuannya oleh Atan sudah menjadi berita besar dan menggemparkan seluruh Malaysia. Pada mulanya, orang tersalah anggap kononnya ia adalah ikan duyung.
Tetapi walaupun ramai melihat dan mendapati ia bukanlah makhluk bertubuh manusia dan berekor ikan, ia tetap menjadi tumpuan kerana kata mereka, dugong atau lembu laut adalah spesies hidupan yang jarang dijumpai dan semakin pupus.
Malah, dugong tidak pernah kelihatan di perairan Semenanjung Malaysia sebelum dirinya, ia adalah dugong pertama! Kali terakhir spesies itu dilaporkan kelihatan adalah di perairan Sabah, 25 tahun lalu.
Lebih menarik perhatian ramai adalah apabila timbul dakwaan kononnya air mata dugong
cukup mujarab sebagai ubat peningkat tenaga batin. Justeru, masyarakat dari seluruh negeri termasuk Singapura ‘menyerbu’ kelong Atan untuk melihatnya.
Tidak saja untuk melihat malah ramai juga pihak cuba mendapatkannya; Underwater World Langkawi, akuarium swasta di Pahang malah pernah seorang warga Singapura ingin membelinya dengan nilai S$30,000 (kira-kira RM65,200) tetapi Atan tidak mahu menyerahkannya. Atan sekeluarga sayang kepadanya.
Hari demi hari, ia masih berenang-renang dalam kelong milik Atan tanpa mempedulikan orang ramai yang datang melihatnya. Sesekali ia bermesra dengan lelaki itu dan Atan akan memeluk dan menciumnya dengan penuh kasih sayang.
Sehinggalah suatu hari, suasana yang ceria di rumah rakit itu sejak penemuannya kira-kira 43 hari lalu, mula bertukar muram. Cuaca cerah tiba-tiba bertukar mendung, seketika kemudian, hujan turun.
Dalam keadaan hujan lebat, Atan dan beberapa ahli keluarganya kemudian masuk ke dalam kelong itu, bermain-main seketika dengannya. Entah mengapa, tiba-tiba Roslan pengsan dan terpaksa diusung keluar dari sangkar itu.
Kemudian Atan bersama beberapa anak lelaki itu membawanya keluar menggunakan bot kira-kira 50 meter dari kelong itu dan di situ, mereka melepaskannya kembali ke laut luas selepas 43 hari memupuk kasih sayang antara dua makhluk Tuhan.
Ia mungkin tidak mengerti, tetapi Atan terpaksa melepaskannya dengan juraian air mata selepas menerima surat arahan disampaikan Jabatan Perikanan, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) serta polis yang melarang lelaki itu memeliharanya dan perlu segera melepaskan ia kembali ke laut.
Pihak berkuasa itu bimbangkan keselamatannya lantaran ia masih bayi dan memerlukan penyusuan daripada ibunya berusia dua tahun. Mereka khuatir kesihatan dan tumbesarannya terjejas jika terus dikurung di kelong Atan tanpa mendapatkan penyusuan daripada ibunya.
Si Tenang berenang-renang di laut luas dan suasana sedih menyelubungi kelong Atan. Seketika kemudian, ia hilang dalam lautan ketika Atan bersama keluarganya menitiskan air mata mengenangkan perpisahan itu.
Dilepaskan ke lautan luas, ia masih berenang tanpa arah yang pasti. Sebagai bayi, ia tidak tahu ke mana untuk dituju bagi mencari ibu bapa dan kumpulan habitatnya. Begitulah keadaannya selama beberapa jam.
Akhirnya dalam kekeliruan itu, tiba-tiba dirinya terasa lemah. Semakin lama, semakin berlarutan dan akhirnya, ketika keseorangan dalam lautan luas itu, ia tidak lagi dapat bernafas. Si Tenang akhirnya menemui ajal.
HEADING:
SEBAIK bayi dugong, ‘Si Tenang’ dijumpai mati kurang 40 jam selepas ia kembali dilepaskan ke laut, sesuatu yang aneh mula berlaku di perairan Johor sehingga menimbulkan tanda tanya dan misteri menggerunkan di kalangan penduduk negara ini.
Beberapa hari selepas jasad kaku Si Tenang dijumpai terapung pada pagi 10 Mac 1999 dan tidak jauh daripada tempat ia dilepaskan, seekor demi seekor dugong dijumpai mati dan terapung tanpa diketahui puncanya.
Timbul kehairanan yang tidak terungkai di minda kebanyakan pihak tatkala memikirkan sebelum ini, spesies hidupan mamalia itu tidak pernah dijumpai di semenanjung negara ini.
Si Tenang adalah dugong pertama yang ditemui di perairan Semenanjung Malaysia tapi ia menemui ajal selepas 43 hari dijumpai.
Ketika emosi sedih melanda rakyat seluruh negara berikutan kematian bayi dugong itu, fenomena pelik mula berlaku apabila seekor demi seekor spesies sama menonjolkan diri masing-masing tapi dalam keadaan tidak lagi bernyawa!
Apa punca kematian semua dugong terbabit? Dari mana munculnya hidupan akuatik itu? Tanda tanya tidak terpecahkan itu terus berlegar-legar sepanjang kejadian itu berterusan.
Terdapat pendapat yang kumpulan mamalia itu berkemungkinan membunuh diri beramai-ramai selepas kematian Si Tenang seolah-olah makhluk itu memiliki perasaan dan sentuhan emosi yang amat mendalam apabila mengenangkan seekor daripada ahli keluarga mereka terbunuh.
Ia bermula seekor bangkai seekor dugong dewasa seberat kira-kira 100 kilogram ditemui terapung di perairan sempadan Malaysia-Singapura, kira-kira empat hari selepas Si Tenang dijumpai mati.
Berdasarkan bau busuk dan kulit badan yang sudah menggelupas, dugong dewasa itu dipercayai mati sejak empat hari lalu, iaitu pada hari sama Si tenang menemui ajal.
Penemuan mengejutkan itu tidak berhenti di situ saja apabila pada 17 Mac tahun sama, seekor lagi dugong jantan dewasa sepanjang 2.16 meter dan seberat 150 kilogram ditemui mati dan terapung, kira-kira 10 batu nautika dari Pelabuhan Pasir Gudang.
Berdasarkan keadaan bangkai dugong itu yang masih segar dan belum berbau, mamalia itu dipercayai baru mati. Ujian DNA dijalankan Universiti Nasional Singapura kemudian mengesahkan dugong itu adalah bapa Si Tenang.
Sehari selepas penemuan bangkai bapa Si Tenang, seekor lagi dugong dewasa dilaporkan dijumpai mati terapung-apung menjadikan jumlahnya empat ekor dalam tempoh kurang 10 hari. Menurut laporan, berdasarkan keadaan bangkai mamalia berkenaan yang sudah membengkak dan busuk, ia dipercayai sudah mati selama beberapa hari.
Ketika jasad Si Tenang mula diawet di Zoo Melaka, bangkai dugong kelima ditemui
mati tersangkut di celah kayu kelong seorang nelayan di Teluk Sengat, muara Sungai Johor, pada 24 Mac 1999.
Seterusnya kematian dugong selain laporan penemuan spesies itu berenang-renang di perairan negara ini dilaporkan berterusan. Terbaru, dugong seberat kira-kira 100 kilogram ditemui mati di Pulau Langkawi, 24 Januari lalu.
Kejadian itu sekali gus menimbulkan persoalan apakah perairan itu masih mempunyai banyak dugong, sedangkan spesies itu dikatakan sudah hampir pupus malah tidak pernah ditemui di kawasan itu sebelum ini.
Kematian demi kematian membabitkan spesies itu kemudian membuka lembaran baru apabila beberapa pihak mula tampil untuk mengkaji kemungkinan perairan negara ini sudah dihuni dan menjadi habitat dugong.
Enam tahun kemudian iaitu pada Mei 2005, kajian Pusat Penyelidikan Maritim Universiti Malaya (UMMReC) sekitar Sungai Johor, Desaru, Pulau Sibu dan Pulau Tinggi menemui bukti wujudnya habitat dugong di Johor selain adanya kesan ragut pada rumpai laut yang menjadi makanan mereka.
Sehingga kini, misteri bagaimana dugong yang dikatakan tidak pernah wujud di negara ini tiba-tiba saja banyak ditemui selepas kematian Si Tenang masih belum terungkai.
Dan punca kematian semua spesies itu di Johor, tertulis dalam laporan Berita Harian pada 12 Mac 2002:
“KUALA LUMPUR, Isnin - Kerja-kerja penambakan laut di Selat Tebrau oleh Singapura, dipercayai antara faktor utama yang mengancam kehidupan dugong, mamalia yang semakin pupus, selain penyu dan hidupan akuatik lain.”
FAKTA
Dugong
- Kumpulan mamalia berjenis ‘Sirenia’ dan nama saintifiknya ‘Dugong dugon’.
- Legenda ikan duyung dikatakan bermula daripada dugong apabila pelayar zaman dulu tersalah anggap dugong yang berenang sebagai manusia berekor ikan.
- Ia turut dipanggil lembu laut kerana cara pemakanannya yang hanya memakan tumbuhan yang terdapat di dasar laut khususnya rumpai laut dengan kadar makanan 25 kilogram sehari.
- Rupa dugong seakan-akan kepala gajah, tidak boleh menahan nafas terlalu lama di dalam air terutamanya apabila melakukan pergerakan pantas.
- Boleh membesar sehingga tiga meter panjang dan berat sehingga 400 kilogram, memiliki penglihatan terbatas namun mampu mengesan tumbuhan laut menggunakan bulu halus sensitif di badannya.
- Dugong jantan dewasa serta sesetengah dugong betina tua memiliki gading untuk mempertahankan diri, ia juga mengeluarkan bunyi untuk berhubung antara satu sama lain dan menyalak sekuat 1.2 kilohertz bagi mengusir haiwan lain.
- Berenang seperti ikan paus dan menggunakan ekor serta mengangkat bahagian hadapannya untuk mengimbangi serta membuat pusingan. Pergerakannya agak lambat dan berhati-hati.
- Banyak ditemui di Afrika Barat, Kepulauan Carribean, Amerika dan Australia.
- Dugong boleh hidup sehingga 70 tahun. Dugong betina tidak akan ada anak sehinggalah berusia 10-17 tahun, proses mengandung 13 bulan dan melahirkan seekor anak satu masa.

0 Comments:
Post a Comment
<< Home