Pondok Pak Ya terbakar
nasron69
Jejak - 27 terbakar hidup-hidup
- Pondok Pak Ya catat tragedi hitam ragut nyawa pelajar 13 hingga 16 tahun
Oleh Nasron Sira Rahim
PAGI cerah. Angin menyisir lembut mengutus kedamaian mengelilingi persekitaran kawasan itu. Bening suasana menatijahkan ketenangan yang amat dalam di lubuk jiwanya.
Dia masih berteleku di pinggiran pusara yang sudah menjangkau usia lebih 10 tahun itu. Diam dia tidak bersuara, sekadar merenung kosong ke tanah kubur yang mengandungi jasad insan yang sudah tiada.
Tangannya memegang surah Yaasin yang baru usai disedekahkan kepada 27 arwah yang ditanam dalam kubur di situ. Kini, selepas selesai mengalunkan bacaan ayat suci jantung al-Quran, dia hanya duduk merenung jauh ke dalam diri. Sesekali kesayuan menusuk jiwa rasa tatkala mengenangkan kejadian silam.
Setia dia mengingati kenangan pahit yang terpahat di sebalik timbunan tanah pusara itu. Walaupun kejadian itu sudah 17 tahun berlalu dan mungkin sudah dilupai kebanyakan orang, layar fikirnya seolah-olah masih terbayangkan rentetan tragedi berkenaan.
“Kebakaran di Pondok Pak Ya: 27 pelajar terkorban.” Begitulah tajuk utama akhbar Berita Harian bertarikh 23 September 1989 yang melaporkan mengenai tragedi sedih dan menyayat hati itu.
Sebak membenih di dadanya. Yakin dia yang tiada siapa antara pelajar berkenaan menyangka yang tragedi itu akan berlaku, tetapi ketentuan Illahi adalah pasti dan pemergian mereka yang diharap selaku para syuhada tidak dia kesali.
Dua puluh tujuh pelajar perempuan berusia 13 hingga 16 tahun itu terkorban dalam kebakaran yang berlaku di asrama mereka di Sekolah Agama Rakyat Taufiqiah al-Halimiah, sehari sebelum berita itu dilaporkan. Sekolah yang lebih dikenali penduduk setempat sebagai ‘Madrasah Pondok Pak Ya’ di Kampung Padang Lumat, Yan, Kedah itu terbakar kira-kira jam 2.30 pagi.
Tragedi kebakaran dianggap terbesar di Kedah ketika itu menyebabkan lapan blok asrama perempuan, hangus. Tragedi dipercayai bermula di blok E yang menempatkan 87 pelajar perempuan sebelum merebak cepat ke tujuh blok asrama lain ketika semua pelajar dipercayai sedang tidur.
Raungan kesakitan dan riuh-rendah menyebabkan pelajar yang lena mula sedar daripada tidur. Sebaik terjaga dan menyedari kebakaran semakin marak, kekalutan segera berlaku dengan semua pelajar berjumlah kira-kira 600 orang bergegas menyerbu pintu keluar asrama bagi menyelamatkan diri.
Bagaimanapun, pintu kecil bagi menampung serbuan lebih 50 pelajar di setiap blok menyebabkan ada pelajar tercedera dan gagal meloloskan diri. Jeritan panik dan keperitan dibaham bahang api kedengaran di mana-mana, asap tebal semakin menyesakkan nafas.
Menyedari nyawa bakal melayang jika terus terperangkap dalam blok asrama yang semuanya berkeluasan 18 meter panjang dan enam meter lebar, ada antara pelajar nekad terjun dari tingkap sehingga seorang daripada mereka cedera akibat patah pinggang.
Ketika tiga jentera bomba dari Sungai Petani, Guar Chempedak, Alor Star tiba bersama lebih 50 anggota beberapa minit kemudian, lapan blok asrama diperbuat daripada kayu dan papan itu sudah ditelan api. Orang ramai mula memenuhi sekitar sekolah, suasana cemas mulai terasa dengan keriuhan dan jeritan kesakitan terus kedengaran.
Lima belas minit kemudian, kebakaran berjaya dikawal bomba. Api mula padam disimbah semburan air. Walaupun suasana terkawal, jeritan kesakitan terus kedengaran. Kelihatan ramai pelajar memenuhi luar kawasan kebakaran. Debaran nyaris maut dan rentung masih menghentak dada masing-masing.
Dalam aura cemas masih memenuhi ruang atmosfera Madrasah Pondok Pak Ya, tanda-tanya masih membelenggu minda setiap pihak yang ada di situ - lapan pelajar cedera dan melecur, tetapi persoalan yang masih merunsingkan adalah adakah pelajar yang maut dalam kebakaran itu?
Jam menunjukkan 7.30 pagi apabila seorang penduduk menemui mayat pertama pelajar yang terperangkap di asrama blok E. Suasana sayu mula memenuhi kawasan sekitar; pihak yang terbabit mula sedar, ada yang terkorban dalam tragedi itu. Pihak pengurusan sekolah mengadakan majlis bacaan doa di surau sekolah, bermohon moga-moga Allah SWT mempermudahkan segala-galanya.
Empat jam kemudian, 26 mayat lain ditemui menjadikan angka korban dicatat sebagai ‘27 mangsa’. Semua yang terkorban dijumpai terperangkap di blok E, blok yang mula-mula sekali terbakar. Sesetengah mayat ditemui bertindih dan berdakap antara satu sama lain dalam keadaan ngeri dan rentung.
Semua jasad pelajar kelas persediaan hingga tingkatan tiga yang terkorban itu dibalut plastik hitam dan dibawa menggunakan Land Rover ke Balai Polis Guar Chempedak sebelum ke Hospital Alor Setar untuk bedah siasat.
Pengebumian jenazah dilakukan malam itu juga di tanah perkuburan Islam Kampung Padang Lumat. Semua jenazah dimasukkan dalam tiga keranda panjang yang setiap satu memuatkan sembilan jenazah.
Suasana sedih menyelubungi tanah perkuburan itu dengan kira-kira 5,000 penduduk termasuk waris dan saudara pelajar hadir bagi mengiringi perjalanan terakhir semua remaja itu di alam dunia ini.
Sebak menguasai dadanya tatkala mengenangkan kejadian itu. Dia kembali mengangkat pandangan yang sejak tadi tertunduk memandang tanah pusara. Telapak tangannya kemudian diraup ke muka bagi mengusir kegalauan di jiwa.
Memang semua pelajar perempuan itu masih terlalu muda dan mentah mengenal dunia ketika mereka dijemput pulang ke alam baqa. Tetapi ia tidak perlu dikesali kerana segala yang terjadi itu takdir Allah. Ajal bertandang tidak mengira tua atau muda, cuma diharapkan ia menjemput ketika kita berkeadaan husnul khatimah (mati dalam kebaikan) dan bukannya suul khatimah (mati dalam maksiat).
“Sekurang-kurangnya semua pelajar itu mati dalam syahid kecil,” fikirnya tatkala mengenangkan sabda Rasulullah SAW: “Para syuhada ada tujuh: mati terbunuh di jalan Allah, kerana penyakit taun adalah syahid, mati tenggelam adalah syahid, kerana busung lapar adalah syahid, kerana penyakit perut keracunan adalah syahid, kerana terbakar adalah syahid, mati kerana tertimpa runtuhan adalah syahid serta wanita mati pada saat mengandung adalah syahid,” (Riwayat Imam Malik, Abu Daud, An-Nasa'i, Ibnu Majah dan Ahmad).
Kemudian dia bangun dan melangkah menjauhi pusara itu. Pelajar terbabit sudah kembali ke alam baqa tetapi mereka yang hidup perlu meneruskan hidup selaku hamba Allah di bumi-Nya ini. Seketika dia berhenti melangkah dan menoleh memandang pusara itu, dalam diam, hatinya berbisik: “Al-Fatihah.”
Heading: Lilin, dapur, dan pelita disyaki punca kebakaran
TIGA punca yang berkemungkinan besar menjadi pencetus kebakaran lapan blok asrama Sekolah Agama Rakyat Taufiqiah Al-Khairiah Al-Halimiah adalah api lilin, dapur minyak tanah dan pelita yang kemudian menyambar bahan mudah bakar.
Sekolah yang dibina pada 1941 itu memiliki 3,100 pelajar termasuk lelaki dan kebakaran blok asrama itu menyebabkan kerugian dianggarkan lebih RM1.5 juta.
Siasatan awal polis ketika itu juga menolak pengaruh khianat selain kerosakan elektrik kerana bekalan kuasa elektrik di asrama itu dipadamkan selepas tengah malam.
Kebakaran itu juga menyebabkan kerajaan mewujudkan satu Suruhanjaya Diraja Siasatan Keselamatan Sekolah di Malaysia yang menjalankan siasatan dan memeriksa keselamatan sekolah swasta lain bagi mengelakkan tragedi itu berulang.
Sementara itu, siasatan awal bomba mengesahkan yang reka bentuk pelan sesetengah bangunan sekolah terbabit termasuk blok asrama tidak mendapat kelulusan pihak berkuasa serta tidak sesuai diduduki.
Ia juga tidak mementingkan ciri-ciri keselamatan apabila turut membenarkan peralatan memasak termasuk dapur diletakkan dalam asrama sekali gus mengundang bahaya kepada penghuninya.
Antara pemerhatian bomba mengenai faktor yang menyebabkan kebakaran itu mampu merebak cepat adalah: pembinaan semua asrama dua tingkat itu hanya menggunakan batu setinggi 0.9 meter manakala bahagian lain adalah papan dan kayu.
Blok asrama hanya memiliki satu pintu keluar; bumbung lapan blok asrama berkenaan bersambung antara satu sama lain; tong gas dan dapur minyak tanah diletakkan di dalam asrama selain pakaian (yang menjadi bahan mudah bakar) disidai dalam asrama.
Bomba juga mendapati antara 30 hingga 40 dapur minyak tanah yang sensitif dengan api ditempatkan di setiap blok asrama berkenaan manakala alat pemadam api di sekolah sudah tamat tempoh dan tidak lagi dapat digunakan.
FAKTA
Urutan tragedi#2.30 pagi - kepercayaan dipercayai bermula di blok E asrama yang menempatkan 87 pelajar perempuan sebelum merebak cepat ke tujuh asrama lain iaitu blok A, B, C, D, F, G dan H.#2.39 pagi - pihak sekolah yang menyedari kebakaran menghubungi Balai Bomba Guar Chempedak.#2.45 pagi - bomba tiba di tempat kejadian.#3 pagi - api dapat dikawal daripada merebak ke rumah dan bangunan berhampiran.#7.30 pagi - seorang penduduk menemui mayat pertama pelajar.#8.10 pagi - pengetua sekolah, Haji Manan Haji Yahya membuat pengumuman menerusi Radio Malaysia Alor Star.# 9 pagi hingga 11 pagi - 26 mayat lain ditemui.# 11 pagi - mayat dibawa ke Balai Polis Guar Chempedak.# 2.15 petang - semua mayat tiba di Hospital Alor Star untuk dibedah siasat. # Pengebumian jenazah dilakukan pada malamnya di tanah perkuburan Islam Kampung Padang Lumat.

0 Comments:
Post a Comment
<< Home