Monday, March 05, 2007

siapa Imam Mahadi?

nasron74

Misteri - Imam Mahadi

Oleh Nasron Sira Rahim

PADA hari-hari terakhir sebelum Bumi dihancurkan (kiamat), kerosakan dan kemusnahan berlaku di mana-mana; pembunuhan demi pembunuhan berterusan tanpa henti, keruntuhan akhlak dan kekejaman berjalan seiring putaran waktu.
Muncul makhluk kejam digelar Dajal dan dengan pelbagai kekuatan sihirnya, dia mengaku sebagai Tuhan. Lalu di bawah pengaruhnya, ramai manusia syirik dan terlalu jauh meninggalkan petunjuk agama.
Ajaran Allah SWT diingkari secara terang-terangan, solat dan zakat diabaikan, arak menjadi minuman kegemaran, zina dan pembunuhan pula menjadi satu keseronokan.
Terlalu sedikit umat Islam yang berpegang teguh kepada keimanan dan suruhan Allah SWT ketika itu. Kemungkaran, kezaliman dan kesesatan mencapai kemuncak muktamadnya sehingga pelbagai usaha dilakukan golongan beriman tidak lagi mampu mengubah apa-apa.
Penindasan dan kekufuran terus bermaharajalela tetapi golongan mukmin itu tidak berputus asa dalam menadah kedua belah tangan untuk terus mengharapkan pertolongan Allah SWT.
Lalu ketika itulah Allah menunaikan janji-Nya dan seorang penyelamat diturunkan. Penyelamat itu adalah lelaki yang berasal dari keturunan Rasulullah SAW menerusi salasilah cucu Baginda, Hussain bin Ali; namanya sama seperti Baginda akhlaknya mulia seperti Nabi Muhammad SAW.
Penyelamat itu akan memimpin pengikutnya memerangi kezaliman dan kejahatan yang diketuai Dajal, seterusnya mengembalikan kesyumulan Islam baik dari segi politik, sosial dan kehidupan ke seluruh dunia.
Dalam usahanya itu, beliau akan berpadu tenaga dengan seorang Rasul sebelum Nabi Muhammad SAW seperti sabda Baginda: “Berpalinglah Imam Mahadi dan sesungguhnya sudah turunlah Isa bin Maryam. Nabi Isa itu seolah-olah menitis air dari rambutnya. Mahadi berkata kepada Nabi Isa: ‘Majulah ke depan untuk mengimami orang ramai ini.’ Isa bin Maryam berkata: ‘Bukankah sudah diiqamatkan solat bagimu?’ Kemudian Nabi Isa pun solat di belakang seorang lelaki dari keturunanku,” (Riwayat Tabrani).
Pensyarah Jabatan Akidah dan Pemikiran Islam, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (API-UM), Profesor Madya Dr Wan Zailan Kamaruddin Wan Ali, berkata kehadiran penyelamat digelar Imam Mahadi (pemberi petunjuk ke arah kebenaran) itu melengkapkan tanda besar sebelum berlakunya kiamat seperti sabda Baginda:
“Belum lagi terjadi kiamat sehingga bumi ini dipenuhi kezaliman dan permusuhan. Kemudian lahirlah daripada keturunanku atau dari keluargaku orang yang memenuhi dunia dengan keadilan dan kedamaian. Dunia dipenuhi keadilan seperti dipenuhi kezaliman dan permusuhan sebelumnya,” (Riwayat Ahmad).
Beliau berkata, kemunculan Imam Mahadi adalah sesuatu yang pasti dalam ajaran Islam malah terdapat kira-kira 6,000 hadis termasuk hadis kuat yang meriwayatkan mengenainya. Kepercayaan mengenai kemunculan Imam Mahadi adalah sebahagian daripada doktrin Islam tetapi ‘isi kandungannya’ berbeza antara golongan Sunnah dan Syiah.
Katanya, membicarakan mengenai kisah atau perwatakan Imam Mahadi adalah sesuatu yang sukar sekali lantaran ia adalah isu yang sentiasa menimbulkan konflik terutama membabitkan permasalahan mazhab Syiah dan Ahli Sunnah wal Jamaah (Sunnah).
Katanya, penjelasan mengenai Imam Mahadi lebih banyak dalam ajaran Syiah berbanding ahli Sunnah. Sunnah tidak menentukan identiti sebenar Imam Mahadi melainkan nama asalnya sama nama Nabi Muhammad SAW, beliau daripada keturunan Rasulullah, hidungnya mancung dan dahinya luas dan tugasnya membawa kebenaran dan keadilan untuk mengganti kezaliman dan kerosakan penghuni bumi pada akhir zaman.
“Syiah pula menakrifkan Imam Mahadi menerusi konsep ‘Imam 12’ di mana Imam Mahadi adalah generasi ke-12 daripada keturunan Rasulullah SAW menerusi cucu Baginda, Hussain bin Ali,” katanya.
Syiah berpendapat Imam Mahadi sudah dilahirkan pada 869 Masihi (era pemerintahan Abasiyah) iaitu Muhammad bin al-Hasan al-'Askari. Tokoh itu disembunyikan daripada musuh selepas bapanya meninggal dunia ketika beliau berusia kira-kira empat tahun.
Seterusnya Imam ke-12 itu dikatakan dighaibkan Allah SWT dari penglihatan manusia dan akan kembali dijelmakan untuk memerangi Dajal dan kemungkaran pada akhir zaman.
Konsep ghaibnya Imam Mahadi daripada pandangan manusia adalah tidak bertentangan dengan Islam dan hukum alam kerana jin juga tidak mampu dilihat manusia. Usia Imam Mahadi yang panjang serta mampu hidup ribuan tahun sehingga dijelmakan pada akhir zaman juga tidak mustahil kerana pemuda Ashabul Kahfi seperti diceritakan al-Quran mampu hidup ratusan tahun, dengan izin Allah.
Sesetengah sarjana percaya Imam Mahadi masih berada di dunia ini tapi tidak dilihat manusia, beliau dighaibkan Allah untuk meninjau dan mengkaji bagaimana kezaliman berleluasa di dunia ini melewati waktu seterusnya membuat persediaan mental dan fizikal untuk menghadapinya.
Allah mampu menghapuskan kezaliman dengan hanya berkata ‘kun fayakun’ (jadi, maka jadilah). Akan tetapi Allah akan mengembalikan keadilan dan menghapuskan kemungkaran pada akhir zaman secara semula jadi iaitu dengan peperangan seperti Rasulullah berperang menentang kezaliman. Justeru, untuk memerangi kemungkaran akhir zaman yang hebat dengan pelbagai senjata pemusnah termasuk nuklear, Imam Mahadi perlu membuat persediaan.
Dr Wan Zailan bagaimanapun berkata, membincangkan persoalan siapakah Imam Mahadi pasti akan mencetuskan isu perbezaan mazhab yang tidak berkesudahan, justeru kaedah terbaik adalah dengan meninjau falsafah kewujudannya dalam Islam.
“Imam Mahadi adalah inspirasi golongan tertindas yang keadilan akhirnya akan menang dan mengatasi kezaliman, cuma umat Islam tidak boleh berputus asa dalam mengharapkan pertolongan Allah SWT dan harus berusaha bersungguh-sungguh.
“Imam Mahadi tidak akan muncul pada waktu kini kerana umat Islam masih belum berusaha bersungguh-sungguh menangani kezaliman; banyak perkara mungkar berlaku tetapi umat Islam masih tidak berbuat apa-apa melainkan mendiamkan diri. Selepas berusaha bersungguh-sungguh dan tidak berputus asa, barulah Allah mengutuskan Imam Mahadi sebagai bantuan,” katanya.
Dalam membincangkan isu ini juga, apa yang menyedihkan adalah ramai sekali pihak yang berani mempermainkan Islam dengan cuba membawa ajaran sesat dengan mengakui kononnya dialah ‘Imam Mahadi’; selepas seorang, seorang lagi tampil dengan pembohongan itu tidak saja di Malaysia tetapi di seluruh dunia.
Bagi mengelakkan pengaruh sesat golongan ini, seorang pengkaji Imam Mahadi pernah menulis: “Dia (Imam Mahadi) tidak sibuk mendakwakan dirinya Imam Mahadi dan mengajak manusia supaya mengikutnya. Mengikut riwayat, dia sendiri pun tidak tahu yang dirinya Imam Mahadi (yang dinyatakan Allah) dan tidak suka dilantik atau dibai’at orang sebagai al-Imam, tidak suka disanjung orang.”
Mengikut keterangan pengkaji itu lagi, manusia ketika itu dengan sendirinya akan melantik tokoh itu untuk memimpin mereka memerangi kejahatan tanpa perlu tokoh itu berkempen dan mendakwa dirinya Imam Mahadi malah masyarakat juga tidak mengetahui yang tokoh yang dilantik mereka itulah Imam Mahadi.
Justeru, jika ada seseorang yang hadir ketika ini dan mengaku pula yang dia itulah ‘Imam Mahadi’, nescaya orang itu membawa ajaran sesat!

tamat.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home