Friday, March 02, 2007

ajaran sesat nordin puteh

nasron70

Jejak - ajaran sesat Nordin Puteh (seseorang ikuti kes dalam akhbar)

Oleh Nasron Sira Rahim

“IMAM Mahadi lahir di Malaysia!” Itulah kata-kata songsang yang pernah diucapkan Mohd Nordin Puteh selepas dibebaskan Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur/Hulu Selangor, pada 10 Jun 1996.
Meneliti ucapan lelaki itu seperti dilaporkan akhbar menyebabkan seorang pembaca menggelengkan kepala kekesalan.
“Sesat, memang sesat,” getus hati kecil pembaca itu mengenangkan betapa bercanggahnya pelbagai dakwaan lelaki terbabit dengan ajaran Islam.
Mohd Nordin didakwa menyebarkan ajaran sesat yang antara lain mengaku kononnya dialah ‘Imam Mahadi’ kurun ke-15 yang dilantik sewaktu berumur 29 tahun. Lelaki itu juga mendakwa bertemu Nabi Muhammad SAW dalam mimpinya dan nabi merestui dan membenarkan ajaran yang dibawa olehnya.
Pembaca itu meneruskan bacaan laporan akhbar berkenaan: keputusan membebaskan Nordin itu dibuat hakim syarie selepas mendapati tuduhan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) terhadap lelaki berkenaan bercanggah dengan undang-undang yang ada ketika itu.
Dilaporkan, Nordin dituduh mengajar atau menerangkan pengajaran agama Islam bukan kepada ahli keluarga, tanpa mendapat kebenaran bertulis daripada Kadi Daerah, antara jam 8 dan 9.40 malam, 30 Mac 1996 di sebuah rumah di Lembah Keramat.
Bagaimanapun, mahkamah mendapati jawatan kadi tidak lagi wujud di Selangor mengikut Enakmen Pentadbiran Perundangan Islam Selangor 1989, sedangkan tuduhan dibuat mengikut Undang-Undang Pentadbiran Agama Islam Selangor 3/1952 (pindaan 1983).
Sehubungan itu, hakim mendapati terdapat ‘kecacatan’ pada pertuduhan dan bertindak membebaskan Nordin.
Pembaca itu kemudian meneruskan bacaan dan tersenyum mengenangkan pada hari itu juga, Nordin tiba di pekarangan mahkamah kira-kira jam 9.25 pagi sambil memegang bendera hitam berbintang putih dan bendera Malaysia. Sebelum itu, pelbagai lagi aksi pelik ditonjolkan Nordin setiap kali hadir di mahkamah.
Fikiran pembaca itu kemudian mengenangkan rentetan peristiwa membabitkan kes Nordin seperti dilaporkan akhbar sejak hari pertama dia ditahan.
“Ketua, 6 pengikut ajaran sesat ditahan.” Demikian tajuk laporan Berita Harian pada 1 April 1996 yang melaporkan penahanan Nordin serta enam pengikutnya oleh Jais selepas badan penguat kuasa itu berusaha menjejaki aktiviti kumpulan berkenaan sejak dua tahun sebelum itu.
Dalam serbuan yang dianggotai oleh lima pegawai penguatkuasa itu, Jais turut merampas beberapa barangan yang diguna dalam ajaran berkenaan termasuk ijazah Iman Mahadi, al-Quran, kitab, tasbih, peta bertajuk Imam Mahadi, pita video mengenai Imam Mahadi dan
keratan akhbar mengenai dirinya.
Kurang 24 jam selepas ditahan, Nordin dihadapkan ke mahkamah syariah dan kes ajaran sesat yang dipeloporinya mula mendapat perhatian media. Berikut adalah rentetan tajuk akhbar serta ringkasan perkembangan kes mengenainya:
“Lelaki mengaku Imam Mahdi didakwa,” (Berita Harian, 2 April 1996): Mahkamah memerintahkan Nordin, 56 tahun (ketika itu) direman lapan hari sehingga 8 April mengikut Seksyen 105 Kanun Acara Jenayah.
Ketika dibawa ke mahkamah, tertuduh yang mengenakan pakaian serba putih tidak langsung cuba mengelakkan dirinya daripada sasaran jurugambar sebaliknya membenarkan gambarnya diambil.
“Nordin tidak mengaku salah,” (Berita Harian, 9 April 1996): Nordin mengaku tidak bersalah atas tuduhan mengajar agama kepada orang ramai tanpa tauliah. Hakim menetapkan 6 Mei untuk perbicaraan dan mengenakan ikat jamin RM500 dengan seorang penjamin. Adik Mohd Nordin, membayar wang jaminan itu.
Laporan Harian Metro pula melaporkan Mohd Nordin hanya berkaki ayam ketika dibawa ke mahkamah selain berpakaian serba putih dari songkok, kain serban, baju dan seluar.
“Nordin langsungkan nikah batin: Saksi,” (Berita Harian, 7 Mei 1996): Mahkamah Rendah Syariah Gombak diberitahu Mohd Nordin yang mengaku sebagai Imam Mahdi boleh melangsungkan
upacara pernikahan batin selain menyampaikan ajaran bertentangan dengan amalan biasa masyarakat Islam.
Saksi turut memberitahu yang Mohd Nordin menyampaikan empat ajaran bertentangan dengan amalan biasa masyarakat Islam negara ini antaranya dibenarkan makan ketika berpuasa asalkan ada niat untuk berpuasa. Oleh itu, boleh dan diizinkan berpuasa selama setahun.
Dibenarkan untuk tidak bersembahyang selagi belum disucikan Imam Mahadi. Dia (Mohd Nordin) mengaku Imam Mahadi untuk kurun ke-15.
Mohd Nordin boleh melakukan upacara nikah batin dan pasangan perlu pergi ke jabatan agama untuk mendapat surat pengiktirafan selepas itu. Takrif sembahyang pula ialah seseorang tidak perlu melakukan sebarang pergerakan iaitu hanya perlu mematikan diri sahaja.
Harian Metro pula melaporkan Mohd Nordin menggemparkan orang ramai apabila melilit badannya dengan rantai dan menggantung dua poster di belakang dan depannya, ketika tiba di perkarangan mahkamah sebelum perbicaraan dimulakan.

“Mahkamah bebas ‘Imam Mahadi’,” (Berita Harian, 11 Jun 1996): Mohd Nordin dibebaskan Mahkamah Rendah Syariah Gombak selepas didapati tidak bersalah atas tuduhan mengajar tanpa tauliah berikutan ‘kecacatan’ pada pertuduhan.
Bagaimanapun Nordin akan kembali didakwa atas kesalahan lain antaranya mengeluarkan fatwa ajaran sesat, melanggar perintah Agama Islam) dan melanggar hukum agama.

HEADING:

KELEGAAN Mohd Nordin yang berjabat tangan dengan rakan dan saudara mara selepas kesnya digugurkan mahkamah akibat kecacatan pertuduhan, tidak lama apabila dia sekali lagi ditahan dan didakwa kerana mengajar orang ramai ilmu bertentangan dengan Islam selain mengeluarkan fatwa ajaran sesat.
Perbicaraan pada 25 Februari 1997 sekali lagi mendedahkan ajaran songsang Nordin apabila Mahkamah Syariah Gombak Timur diberitahu yang Mohd Nordin mendakwa badannya bercahaya di waktu malam tetapi apabila diminta membuktikannya, gagal dengan alasan dia demam.
Pegawai penguatkuasa Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), Mohd Akmal Senin ketika memberi keterangan berkata: "Kebetulan kami datang ke rumahnya di waktu siang, jadi kami tidak dapat melihat cahaya di badannya. Bagaimanapun, apabila kami datang pada sebelah malamnya untuk berjumpa Mohd Nordin Puteh di rumahnya, dia mengatakan dia demam apabila ditanya mengenai cahaya di badannya yang tidak kelihatan.”
Mohd Nordin juga mengaku di hadapan penguat kuasa Jais yang dia adalah Imam Mahadi kurun ke-15 yang dilantik sewaktu berumur 29 tahun dan turut mendakwa bertemu Nabi Muhammad dalam mimpinya dan nabi merestui dan membenarkan ajaran yang dibawa olehnya.
Mohd Akmal berkata, sewaktu mereka bertiga menyamar untuk belajar agama dengan Nordin antara ajaran yang didakwa oleh Nordin ialah mengenai berpuasa, sembahyang, nikah batin dan turut mendakwa akan mati pada tahun 2003.
Mengenai puasa, Mohd Akmal berkata guru agama itu mendakwa sewaktu berpuasa jika terdapat niat untuk makan, walaupun tidak makan, puasa akan terbatal.
Nordin turut mendakwa sembahyang tidak perlu kecuali sesudah seseorang itu "berbaiah" (ada perjanjian) dengannya (Nordin) manakala bagi nikah batin pula, dia mendakwa bahawa pasangan yang hendak bernikah, wajib berjumpa dengannya untuk "berbaiah" sebelum berjumpa dengan pejabat agama untuk nikah seperti biasa.
Nordin yang tidak diwakili oleh peguam syarie, menyoal sendiri Mohd Akmal bagaimana Mohd Akmal boleh menyatakan dia mengajar ilmu yang salah. Mohd Akmal menjawab bahawa Nordin sendiri yang mengakuinya.
Perbicaraan selepas itu memperdengarkan beberapa lagi dakwaan songsang Mohd Nordin antaranya dia mengaku menerima ijazah dari langit pada 1988 ketika berkhalwat di sebuah gua selama enam tahun.
Mohd Nordin juga mendakwa mempunyai ramai pengikut dan memiliki lapan tanda sebagai bukti kononnya dia Imam Mahadi antaranya hidung mancung, cara berjalan membongkok-bongkok, kulit berseri kemerah-merahan, keningnya melengkung dan memakai baju berwarna putih berbelah dada. Dia juga mendakwa dapat mengeluarkan cahaya seperti bintang dari tubuhnya dan dinamakan cahaya atas cahaya.
Ajaran sesat diasaskannya membenarkan pengikut tidak kira lelaki atau perempuan berpeluk dan setiap pengikutnya diberi air jampi. Mohd Nordin juga pernah mencabar ulama dan mengajar ilmu syariat, tarikat, hakikat dan makrifat.
Majlis Fatwa yang bersidang pada 26 Ogos 1995 memutuskan bahawa ajaran Mohd Nordin adalah menyeleweng dan pengikutnya dikehendaki bertaubat. Fatwa itu diisytiharkan dalam Warta Kerajaan pada 28 September, 1995.
Sepanjang perbicaraan juga, Mohd Nordin menunjukkan perlakuan pelik apabila merayu mahkamah supaya segera menjatuhkan hukuman kepadanya dan dia tidak sabar-sabar untuk dihukum.
Akhirnya, pada 23 Jun 1997, Mahkamah Syariah Gombak Timur mendapati dia bersalah dan menjatuhkan hukuman didenda RM1,800 atau penjara lima bulan.
Mohd Nordin kemudian memberitahu mahkamah yang dia tidak akan membayar denda itu dan memilih untuk dipenjarakan.
Sebelum itu, ketika diberi peluang membuat rayuan, Mohd Nordin sekali lagi melakukan sesuatu yang pelik apabila sebaliknya berharap Allah akan mengampunkan dosa-dosa orang yang mendakwanya.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home