Sunday, March 04, 2007

ajaran sesat nordin puteh

nasron70

Jejak - ajaran sesat Nordin Puteh

Oleh Nasron Sira Rahim

“IMAM Mahadi lahir di Malaysia!” Itulah kata-kata songsang pernah diucapkan Mohd Nordin Puteh, seorang daripada pengasas ajaran sesat yang pernah menggemparkan sensitiviti serta menaikkan kemarahan umat Islam negara ini sekitar 1996.
Meneliti ucapan lelaki itu seperti dilaporkan akhbar, tidak menghairankan jika ada pembaca menggelengkan kepala kekesalan. Dan mungkin pembaca itu juga akan beristighfar panjang mengenangkan betapa berani sekali lelaki itu mempermain-mainkan Islam dengan mengakui kononnya dialah ‘Imam Mahadi’ dan dilantik sewaktu berusia 29 tahun.
Tidak itu saja, dia juga mendakwa pernah bertemu Nabi Muhammad SAW dalam mimpinya dan nabi kononnya merestui serta membenarkan ajaran yang dibawa olehnya.
Penyelewengan tidak saja di sudut akidah tetapi juga syariat antaranya umat Islam ketika berpuasa dibenarkan makan dan minum selagi tidak mengubah niat berpuasa selain makna solat ialah mematikan diri iaitu tiada pergerakan badan atau apa-apa pergerakan lain. Banyak lagi ajaran songsang dikemukakan Mohd Nordin.
Entah apa tujuan lelaki itu, entah apa yang ada dalam pemikirannya? Bagaimana seorang yang dilahirkan Islam, tiba-tiba saja boleh menentang Allah SWT? Mungkin itulah persoalan demi persoalan yang bermain di minda kebanyakan pembaca tadi.
Lebih menghairankan adalah dipercayai kira-kira 90 umat Islam mempercayai kata-kata lelaki itu dan menjadi pengikutnya walaupun Majlis Fatwa pada 1995 sudah memutuskan ajaran Mohd Nordin adalah menyeleweng dan pengikutnya dikehendaki bertaubat.
Titik tamat bagi segala aktiviti songsang Mohd Nordin bermula apabila rumahnya di Hulu Klang, Selangor diserbu penguat kuasa Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) pada malam 30 Mac 1996 selepas Jais memantau aktiviti kumpulan berkenaan sejak dua tahun sebelum itu.
“Ketua, 6 pengikut ajaran sesat ditahan.” Demikian tajuk laporan Berita Harian pada keesokan harinya yang melaporkan penahanan lelaki itu bersama enam pengikutnya.
Dilaporkan, serbuan lima penguat kuasa itu turut merampas beberapa barang digunakan dalam ajaran berkenaan termasuk ijazah ‘Iman Mahadi’, al-Quran, kitab, tasbih, peta bertajuk Imam Mahadi, pita video mengenai Imam Mahadi dan keratan akhbar mengenai dirinya.
Kurang 24 jam selepas ditahan, Nordin dihadapkan ke Mahkamah Rendah Syariah Gombak atas kesalahan mengajar agama Islam kepada orang ramai tanpa tauliah seterusnya kes ajaran sesat yang dipeloporinya mula mendapat perhatian media.
Berikut adalah rentetan tajuk akhbar serta ringkasan perkembangan kes (termasuk perlakuan pelik yang ditonjolkannya) sepanjang perbicaraan dijalankan:

“Lelaki mengaku Imam Mahdi didakwa,” (Berita Harian, 2 April 1996): Mahkamah memerintahkan Mohd Nordin, 56 tahun (ketika itu) direman lapan hari sehingga 8 April mengikut Seksyen 105 Kanun Acara Jenayah. Ketika dibawa ke mahkamah, tertuduh mengenakan pakaian serba putih tidak langsung mengelakkan dirinya daripada sasaran jurugambar sebaliknya membenarkan gambarnya diambil.

“Nordin tidak mengaku salah,” (Berita Harian, 9 April 1996): Mohd Nordin mengaku tidak bersalah atas tuduhan mengajar agama kepada orang ramai tanpa tauliah. Hakim menetapkan 6 Mei untuk perbicaraan dan mengenakan ikat jamin RM500 dengan seorang penjamin. Adik Mohd Nordin, membayar wang jaminan itu.
Laporan Harian Metro pula melaporkan Mohd Nordin hanya berkaki ayam ketika dibawa ke mahkamah selain berpakaian serba putih dari songkok, kain serban, baju dan seluar.

“Nordin langsungkan nikah batin: Saksi,” (Berita Harian, 7 Mei 1996): Mahkamah diberitahu Mohd Nordin yang mengaku sebagai Imam Mahdi boleh melangsungkan upacara nikah batin selain menyampaikan ajaran bertentangan dengan amalan biasa masyarakat Islam negara ini.
Saksi turut memberitahu yang Mohd Nordin menyampaikan ajaran bertentangan antaranya dibenarkan makan ketika berpuasa asalkan ada niat untuk berpuasa; oleh itu, boleh dan diizinkan berpuasa selama setahun.
Dibenarkan untuk tidak bersembahyang selagi belum disucikan Imam Mahadi. Mohd Nordin mengaku dialah Imam Mahadi untuk kurun ke-15.
Mohd Nordin boleh melakukan upacara nikah batin dan pasangan perlu pergi ke jabatan agama untuk mendapat surat pengiktirafan selepas itu. Takrif sembahyang pula ialah seseorang tidak perlu melakukan sebarang pergerakan iaitu hanya perlu mematikan diri sahaja.
Harian Metro pula melaporkan Mohd Nordin menggemparkan orang ramai apabila melilit badannya dengan rantai dan menggantung dua poster di belakang dan depannya, ketika tiba di perkarangan mahkamah sebelum perbicaraan dimulakan.

“Mahkamah bebas ‘Imam Mahadi’,” (Berita Harian, 11 Jun 1996): Mohd Nordin dibebaskan Mahkamah Rendah Syariah Gombak selepas didapati tidak bersalah atas tuduhan mengajar tanpa tauliah berikutan ‘kecacatan’ pada pertuduhan.
Dilaporkan, Nordin dituduh mengajar agama Islam bukan orang ramai tanpa mendapat kebenaran bertulis daripada Kadi Daerah tetapi jawatan kadi itu sudah dimansuhkan mengikut undang-undang baru mengenai agama Islam di Selangor.
Harian Metro turut melaporkan yang Mohd Nordin sebelum itu di pekarangan mahkamah kira-kira jam 9.25 pagi sambil memegang bendera hitam berbintang putih dan bendera Malaysia.

HEADING:

KELEGAAN Mohd Nordin yang berjabat tangan dengan rakan dan saudara mara selepas kesnya digugurkan mahkamah akibat kecacatan pertuduhan, tidak lama apabila dia sekali lagi ditahan dan didakwa kerana mengajar orang ramai ilmu bertentangan dengan Islam selain mengeluarkan fatwa ajaran sesat.
Bagaimanapun, seperti juga aksi pelik yang pernah ditonjolkan lelaki itu sebelum ini, Mohd Nordin sekali lagi membuat ‘kejutan’ apabila enggan melantik peguam bela sebaliknya dia sendiri ingin menjadi ‘peguam bela’ untuk dirinya.
Perbicaraan pada 25 Februari 1997 sekali lagi mendedahkan ajaran songsang Mohd Nordin apabila Mahkamah Syariah Gombak Timur diberitahu saksi yang lelaki itu mendakwa badannya bercahaya di waktu malam tetapi apabila diminta membuktikannya, dia gagal dengan alasan demam.
Mohd Nordin juga mengaku di hadapan saksi yang juga penguat kuasa Jais, kononnya dia adalah Imam Mahadi kurun ke-15 yang dilantik sewaktu berusia 29 tahun dan turut mendakwa bertemu Nabi Muhammad dalam mimpi dan nabi merestui dan membenarkan ajaran dibawa olehnya.
Mengenai puasa, Mohd Nordin mendakwa sewaktu berpuasa, jika terdapat niat untuk makan, walaupun tidak makan, puasa akan terbatal.
Lelaki itu turut mendakwa sembahyang tidak perlu kecuali sesudah seseorang itu ‘berbaiah’ (ada perjanjian) dengannya manakala bagi nikah batin pula, dia mendakwa bahawa pasangan yang hendak bernikah, wajib berjumpa dengannya untuk ‘berbaiah’ sebelum ke pejabat agama untuk nikah seperti biasa.
Perbicaraan selepas itu memperdengarkan beberapa lagi dakwaan songsang Mohd Nordin antaranya dia mengaku menerima ijazah dari langit pada 1988 ketika berkhalwat di sebuah gua selama enam tahun.
Mohd Nordin juga mendakwa mempunyai ramai pengikut dan memiliki lapan tanda sebagai bukti kononnya dia Imam Mahadi antaranya hidung mancung, cara berjalan membongkok-bongkok, kulit berseri kemerah-merahan, keningnya melengkung dan memakai baju berwarna putih berbelah dada. Dia juga mendakwa dapat mengeluarkan cahaya seperti bintang dari tubuhnya dan dinamakan cahaya atas cahaya.
Ajaran sesat diasaskannya membenarkan pengikut tidak kira lelaki atau perempuan berpeluk dan setiap pengikutnya diberi air jampi. Mohd Nordin juga pernah mencabar ulama dan mengajar ilmu syariat, tarikat, hakikat dan makrifat.
Sepanjang perbicaraan juga, Mohd Nordin menunjukkan perlakuan pelik apabila merayu mahkamah supaya segera menjatuhkan hukuman kepadanya dan dia tidak sabar-sabar untuk dihukum.
Akhirnya, pada 23 Jun 1997, Mahkamah Syariah Gombak Timur mendapati dia bersalah dan menjatuhkan hukuman didenda RM1,800 atau penjara lima bulan.
Mohd Nordin kemudian memberitahu mahkamah yang dia tidak akan membayar denda itu dan memilih untuk dipenjarakan.
Sebelum itu, ketika diberi peluang membuat rayuan, Mohd Nordin untuk kali terakhir, melakukan sesuatu yang pelik apabila berharap Allah akan mengampunkan dosa-dosa orang yang mendakwanya.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home