Wednesday, March 07, 2007

barang lama Ahadiat

nasron76

Dekor - rumah Ahadiat

Oleh Nasron Sira Rahim

AHADIAT Akashah Khairuddin Akashah memiliki satu tabiat unik, dia melihat sesetengah barang lama yang dianggap orang lain sebagai sampah lantaran sudah rosak atau buruk, dari satu sudut pandangan yang berlainan daripada masyarakat biasa.
Perabot yang sudah rosak, alat elektronik yang sudah tidak lagi boleh digunakan atau kepingan papan pintu yang terkopak, baginya adalah sesuatu khazanah menarik dan amat berharga!
Justeru, jangan hairan jika anda melihat penulis novel prolifik itu mengusung sesuatu dari tempat pembuangan sampah kerana barang buangan yang dikutipnya itu sebenarnya menjadi warisan sejarah yang tidak disedari dan dihargai ramai.
“Ia bukan barang antik tetapi barang ini adalah barang lama yang digunakan masyarakat sekitar 1950-an, 1970-an.
“Barang ini bukan klasik tetapi barang lama yang ada nilai sentimental dan nostalgianya tersendiri kerana ia sudah tidak ada dimana-mana lagi kecuali sesetengah tempat seperti di rumah saya,” katanya yang diiktiraf Malaysia Book of Record sebagai penulis paling banyak menghasilkan novel.
Melihat barang lama berkenaan sebagai barang seni yang sudah tidak lagi dihasilkan dimana-mana, Ahadiat memenuhi apa saja barang lama yang dijumpainya di seluruh kawasan banglo kediamannya di Gombak, Selangor.
Di celah perabot ada mesin kira-kira besar yang digunakan sekitar 1980-an dulu, di atas rak tersusun pelbagai jenis bentuk botol kaca malah sesetengahnya botol minuman ringan lama yang sudah sukar ditemui.
Di tengah ruang jalan kelihatan lesung kaki besar yang dibuat daripada kayu bagi menumbuk besar dan sebagainya. Berjalan lagi, akan ditemui pula mesin membuat getah keping. Di satu sudut ada kukur kelapa yang fungsinya kini sudah diganti dengan mesin pengukur elektrik.
Kebanyakan perabot dan almari di ruang rumahnya berasal dari zaman nenek kita dulu termasuklah almari menyimpan makan yang sudah ‘pupus’ ketika ini. Kipas angin siling yang berputar di ruang tamu serta sofa besi di rumahnya mengimbau kenangan zaman Pop Yeh-yeh.
Lebih ‘berseni’ adalah pintu besar yang sudah terkopak dan rosak diubahsuai lelaki itu secara kreatif sehingga menjadi meja makan!
“Semua perabot lama ini ada yang diambil di rumah arwah datuk dan saudara saya, takut sayang jika perabot lama ini dibuang lalu saya ambil; sesetengah barang lama lain kawan-kawan beri dan ada juga yang saya ambil dari tempat buangan sampah.
“Saya tak akan beli kerana bagi saya jika beli, maknanya barang itu ada nilai harganya tetapi jika saya dapatkannya tanpa mengeluarkan sebarang kos, barang itu adalah barang yang tidak dapat dinilai.
“Kawan-kawan tahu minat saya mengumpul barang lama. Kadang-kadang mereka beritahu yang mereka ada barang lama dan tanya saya berminat tak? Saya cakap jangan tanya, hantar saja (ke rumah saya). Mereka tahu, jika barang simpan di rumah saya, pasti selamat,” katanya.
Ada barang lama yang diperolehnya dalam keadaan sedikit rosak dan Ahadiat akan memperbaiki semula tetapi dia tidak akan mengecat barang itu bagi mengekalkan ciri-ciri ‘lama dimakan waktu’ yang dilalui barang berkenaan.
Di sana-sini penuh dengan barang lama, anda sebut saja - kebanyakannya ada sehingga banglo besar digelar ‘Pesta Taman’ itu tidak ubah seperti muzium yang mengumpulkan barang dari tahun 1950an hingga 1980-an.
“Barang baru yang ada pun cuma barang elektrik yang tidak lagi wujud pada zaman itu seperti televisyen teknologi baru yang mampu menampung Astro, peti sejuk dan sistem ‘teater-rumah’; jika barang elektrik lama masih boleh dibaiki dan digunakan seperti kipas siling ini (di ruang tamu), saya akan baiki dan terus gunakan,” katanya.
Beliau berkata, ramai tidak menyedari betapa barang lama ini sesuatu yang berharga sehingga ada yang sanggup membuangnya sebagai sampah. Tetapi beliau yakin, 100 atau 200 tahun dari sekarang, barang lama ini akan dikaji dan menjadi rujukan generasi akan datang.
Analogi penulis berkenaan tentang bagaimana barang lamanya akan dijadikan subjek kajian pada masa akan datang adalah sama seperti bagaimana masyarakat sekarang sibuk mengkaji batu yang suatu ketika dulu digunakan orang purba sebagai pisau untuk melapah daging.
“Saya tidak akan menjual barang lama yang saya sudah kumpulkan dan saya rasa saya akan membuat wasiat supaya anak-anak saya tidak menjualnya pada masa akan datang,” katanya.
Mengenang kembali segala barang lama yang dikumpulnya itu, Ahadiat merasakan kepuasan tatkala teringatkan wajah-wajah gembira yang terlukis di riak muka pak cik, mak cik yang bertandang ke rumahnya.
“Mereka kata, sebaik masuk ke rumah saya dan terlihat pelbagai barang lama, mereka terkenangkan nostalgia zaman remaja mereka kerana barang yang ada di rumah saya semuanya barang yang mereka digunakan ketika muda-muda dulu tetapi sudah tidak ada di mana-mana lagi sekarang,” katanya.

tamat.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home