Friday, September 29, 2006

raksasa laut

nasron22

Misteri - raksasa dasar laut

Oleh Nasron Sira Rahim

DALAM kegelapan dasar lautan, tersembunyi pelbagai rahsia dan misteri alam yang masih belum dirungkai manusia lantaran teknologi sedia ada ketika ini tidak mampu membawa penyelidik sedalam itu.

Justeru, mungkinkah dasar laut menjadi habitat hidupan aneh dan momokan mengenai raksasa laut yang sering dipandang remeh sebagai fiksyen sebenarnya memang wujud tapi tersembunyi di sebalik kegelapan kawasan itu? Selagi manusia gagal menjejakkan diri ke kawasan paling dalam di lautan, selagi itulah persoalan berkenaan terus menjadi misteri yang terkunci rapi.

Kewujudan raksasa laut sememangnya tidak mustahil berikutan dua pertiga daripada planet Bumi adalah kawasan perairan dan lautan. Sedangkan spesies di daratan sendiri masih belum ditemui semuanya, inikan pula spesies lautan yang lebih luas.

Masih banyak spesies hidupan daratan yang belum direkodkan malah kewujudan Bigfoot sebagai spesies hidupan daratan masih menjadi misteri.

Pensyarah Fakulti Bioteknologi dan Biomolekul Universiti Putra Malaysia (FBB-UPM), Prof Madya Dr Shuhaimi Napis, berkata berbanding daratan, lautan menyimpan rahsia dan misteri kehidupan yang lebih besar.

Malah setiap tahun, saintis menemui kira-kira 170 spesies baru ikan dan kira-kira 1,700 haiwan dan tumbuhan lautan. Sehingga 2003, Bancian Hidupan Laut (CoML) merekodkan anggaran masing-masing 15,000 spesies ikan dan 214,000 spesies haiwan dan tumbuhan laut. Saintis percaya terdapat hampir dua bilion spesies haiwan dan tumbuhan di lautan.

“Terdapat banyak spesies yang pelik dan aneh tersembunyi di lautan dalam malah ada antara spesies ini yang rupanya menakutkan seumpama hantu dan raksasa serta memiliki ciri hidupan yang unik.

“Terdapat pelbagai spesies daripada paling kecil hinggalah bersaiz gergasi antaranya ‘diatoms’, ‘microalgae’ dan ‘geoduck’. Semua spesies unik ini membuktikan kekuasaan Allah SWT,” katanya.

Kisah mengenai raksasa laut yang ternampak oleh pelaut sebelum ini tidak pernah dipandang dengan serius kerana kebanyakan masyarakat pasti menyangka bahawa ia adalah khayalan dan rekaan semata-mata.

Siapa yang akan mengangguk bagi mengiyakan kenyataan seseorang yang mengaku melihat raksasa, naga atau ikan duyung tanpa sebarang bukti?

Begitulah yang kebanyakannya berlaku dalam kes terserempak dengan raksasa laut. Persoalan yang timbul adalah sama ada individu itu benar-benar mereka cerita atau makhluk itu memang benar-benar timbul di hadapan mata mereka dengan sekejap sebelum kembali ke habitat asalnya yang sememangnya masih gagal dijumpai manusia.

Dalam filem fiksyen, digambarkan raksasa laut sebagai makhluk ganas yang mengancam manusia tetapi selagi makhluk itu masih belum dijumpai, pelbagai misteri kejadian dan ciri-ciri hidupan mereka masih kekal misteri.

Sekitar 2002, penduduk di Kanada gempar apabila hidupan yang menyerupai sotong kurita dan spesies ‘mollusca’ sepanjang 15 meter dijumpai terdampar di tepi pantai. Treler terpaksa digunakan untuk memindahkan hidupan raksasa itu.

Hidupan itu dibawa ke pusat kajian dan penyelidik yang mengkaji organnya mendapati ia adalah spesies hidupan yang tidak pernah dijumpai dan direkodkan sebelum ini! Penerokaan ke dasar laut bernilai puluhan juta ringgit sebelum ini gagal menjumpai hidupan itu.

Pada 1955, sebuah buku dihasilkan di Kanada mengumpul cerita misteri daripada pelaut. Antaranya, sebuah kapal yang berlayar berlanggar sesuatu yang aneh.

Selepas bergerak jauh, krew kapal melihat satu objek terapung dan mereka mendekatinya. Pelaut, John Squires kemudian bersandar di papan untuk mengait benda itu tetapi setelah pengait besi menyentuh benda besar seperti obor-obor dan hidupan ‘cephalopoda’ itu, sesunggut besar ke luar daripada objek itu.

Wajahnya segera menjadi pucat dan dia ketakutan sehingga terjatuh di dek. Dua rakan membawanya ke dalam kabin dan dia tidak keluar dari bilik itu sehingga tiba di pelabuhan. Pelaut itu dikatakan tidak pernah ke laut lagi selepas itu.19

Sekitar 2003, penyelidik Jepun melakukan eksperimen di Teluk Suruga yang dikenali sebagai tempat paling dalam di samudera dunia. Mereka meletakkan sebuah bekas berisi umpan berbau di dasar teluk dan video kamera diletakkan di bekas itu.

Bau dari umpan menarik sekelompok jerung yang tinggal di kedalaman laut. Kemudian penyelidik melihat sesuatu yang luar biasa yang membuatkan mereka tergamam tidak dapat berkata-kata di kawasan pada kedalaman kira-kira 1,500 meter itu.

Kumpulan ikan jerung itu lari ke segala penjuru dan penyelidik melihat raksasa yang sangat besar dengan panjang lebih 60 meter di layar skrin sedang bergerak dengan lambat menjauhi kamera video.

Pastinya misteri paling menarik mengenai raksasa laut datangnya daripada Tasik Loch, Scotland apabila sekumpulan penduduk mendakwa melihat raksasa misteri seperti dinosour air dikenali ‘plesiosaurus’ timbul dari dalam tasik itu. Misteri itu seakan-akan menyamai mitos naga di Tasik Chini di negara kita.

Dengan kemajuan teknologi maju sedikit demi sedikit, adalah tidak mustahil misteri hidupan raksasa lautan dalam yang menyembunyikan diri sejak jutaan tahun lalu akan terbongkar pada masa depan. Tetapi sehingga tibanya saat itu, kewujudan raksasa laut seperti didakwa segelintir individu di serata dunia akan kekal sebagai misteri.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home