Thursday, November 23, 2006

pelacur kanak-kanak

nasron4

News pelacur kanak-kanak

FAKTA
Kajian pelacur kanak-kanak membabitkan 63 responden antara sembilan hingga 18 tahun.
- lebih 80 peratus daripada mereka: tidak bersekolah, mangsa penderaan (fizikal, emosi dan seksual seperti rogol dan cabul), memendam kemarahan, pernah melarikan diri dari rumah.
- lebih 70 peratus : mangsa perceraian ibu bapa, keganasan rumah tangga, terdedah kepada seks oleh orang yang mereka kenali, menjalankan aktiviti pelacuran dengan kawalan pihak tertentu.
- lebih 60 peratus: mengambil alkohol dan dadah sebagai cara melupakan penderaan ketika pelacuran, tidak menggunakan alat pencegah hamil ketika melayan pelanggan.
- antara 40 hingga 60 peratus: mengaku melayan enam hingga 10 lelaki setiap hari, melacur setiap hari.

Oleh Nasron Sira Rahim
Gambar oleh Hairul Anuar

KUALA LUMPUR: Kajian Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang dikeluarkan pada tahun ini mendedahkan wujudnya lebih 4,000 pelacur kanak-kanak di negara ini.
Lebih memeranjatkan adalah kajian dilakukan pensyarah Fakulti Sains Sosial dan Kemanusian UKM, Lukman @ Zawawi Muhammad itu turut mendedahkan ada antara kanak-kanak itu mula terbabit dalam kegiatan terbabit seawal usia sembilan tahun.
Lukman berkata, kajian bertajuk ‘Kanak-kanak Dalam Pelacuran’ yang dilakukannya di seluruh negara selama lima tahun itu mendapati terdapat aktiviti pelacuran yang diwarisi sesebuah keluarga selama tiga generasi iaitu daripada nenek kepada ibu seterusnya kepada anaknya, sejak sebelum merdeka.
Malah, katanya, lebih menyedihkan apabila ada kes yang dijumpainya membabitkan seorang ibu menyuruh anak perempuannya berusia 11 tahun melakukan hubungan seks kali pertama bersama teman lelakinya di hadapan pelacur wanita itu.
“Statistik Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) melaporkan seramai 4,315 kes kanak-kanak berusia bawah 18 tahun terbabit dalam pelacuran antara 1995 hingga 1999. Itu adalah jumlah yang diselamatkan dan mereka yang gagal diselamatkan dipercayai lebih ramai lagi,” katanya.
“Kebanyakan kisah yang didengari daripada pelacur kanak-kanak ini adalah kisah sedih, mereka tidak meminta untuk menjadi pelacur tetapi dipaksa pihak tertentu termasuk ibu mereka yang sememangnya seorang pelacur.
“Pernah saya menangis selama dua hari dan tidak dapat melakukan apa-apa kerja mendengar kisah daripada pelacur kanak-kanak ini,” katanya kepada Berita Minggu.
Beliau berkata, antara kisah sedih berkenaan adalah seorang pelacur membenarkan teman lelakinya merogol anak perempuannya di hadapan pelacur itu manakala pelacur itu hanya tersenyum melihat perlakuan lelaki terbabit terhadap anaknya yang berusia 11 tahun itu.
Lukman turut kesal apabila ada masyarakat yang memandang hina terhadap golongan itu tanpa cuba memahami dan membantu mereka malah tiada pelacur kanak-kanak yang meminta untuk dijadikan pelacur.
“Kajian saya juga mendapati kebanyakan kanak-kanak yang terbabit dalam pelacuran bukanlah daripada mereka yang miskin tetapi berada dalam keluarga sederhana yang mana ibu dan bapa mereka memiliki pekerjaan stabil di bandar.
“Kajian juga mendapati kebanyakan mereka tidak lagi bersekolah, tercicir daripada sistem persekolahan dan meninggalkan alam persekolahan pada usia antara 12 dan 15 tahun. Ada antara mereka melacur dengan bayaran serendah RM10,” katanya.
Katanya, punca utama yang mendorong kepada kegiatan itu adalah kepincangan dalam keluarga bermasalah antaranya kurangnya kesedaran tanggungjawab ibu bapa untuk mendidik anak mereka dengan penuh kasih sayang dan menghabiskan lebih masa dengan mereka.
Sebaliknya, ibu bapa terbabit sering bertengkar dan berlaku keganasan rumah tangga sehingga menyebabkan kanak-kanak ini menjadi mangsa. Ada antara pelacur kanak-kanak ini ditampar, ditumbuk, diterajang, dirogol dan diberi dadah.
“Kanak-kanak ini membesar dengan psikologi tidak normal kerana sejak kecil terdedah dengan tontonan terhadap perlakuan negatif antaranya daripada ibu bapa yang bercerai, keganasan rumah tangga, penderaan termasuk penderaan seksual.
“Kerosakan psikologi dihadapi kanak-kanak ini menyebabkan berlakunya kelumpuhan psikologi dan mereka cenderung melakukan aktiviti dan tingkah laku yang merosakkan diri mereka sendiri sepanjang membesar,” katanya.

tamat.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home