Thursday, July 27, 2006

crop circle

nasron27

Misteri - lingkaran aneh

Susunan Nasron Sira Rahim

KEJADIAN lingkaran aneh yang kebanyakannya berlaku di kawasan ladang gandum kini sudah berusia hampir 360 tahun tetapi walaupun sudah melangkaui lebih lima generasi, fenomena aneh itu dilaporkan terus berlaku sehingga kini.
Hari demi hari, pelbagai pihak di seluruh dunia melaporkan penemuan corak bulatan pelik dengan diameter seluas lebih 18 meter itu seolah-olah ia tidak akan berkesudahan sejak lingkaran pertama dikatakan ditemui di ladang gandum di England pada 1647.
Ia muncul di merata tempat termasuk di Russia, Amerika Syarikat, Australia, Eropah dan Asia serta dikatakan berlaku dalam tempoh semalaman.
Bentuk yang terhasil pula amat menarik, kompleks dan berseni sehingga tidak memungkinkan ia dihasil dalam tempoh kurang 24 jam malah dilakukan pula pada waktu malam. Corak berkenaan bagaimanapun paling jelas jika dilihat dari udara.
Laman web www.cropcircleconnector.com melaporkan antara kejadian terbaru berlaku pada 25 Julai lalu di ladang jagung Arreton, Isle of Wight, England apabila tiga lingkaran kelihatan selepas berlakunya ribut di kawasan itu.
Mengikut beberapa artikel mengenai kejadian aneh itu, lingkaran aneh atau dikenali sebagai ‘crop circle’ paling kerap didapati pada musim panas. Selain berbentuk bulatan, pada 1994, muncul pula bentuk menyerupai kala jengking, lebah dan bunga.
Ketika segelintir pemerhati menganggap ia sebagai misteri alam akibat aktiviti paranormal, ada pula pihak tertentu yang tampil menyatakan bahawa mereka bertanggungjawab menghasilkan lingkaran berkenaan.
Jika difikirkan secara logik, sememangnya tidak mustahil corak berkenaan dicipta manusia tetapi adakah pengakuan berkenaan menyelesaikan misteri berusia hampir 360 tahun itu? Selain pengakuan itu, ramai juga penyelidik tampil menerangkan kejadian berkenaan mengikut penjelasan saintifik yang mengaitkannya dengan kesan elektromagnetik bumi.
Justeru, persoalan baru yang timbul adalah adakah keseluruhan lingkaran aneh yang kini melebihi puluhan ribu penemuan itu sememangnya rekaan manusia? Atau adakah lingkaran aneh terawal sememangnya berlaku secara paranormal tetapi selepas popular, ia kemudiannya ditiru ramai pihak?
Berikut adalah antara teori dan pandangan yang diperoleh dari internet mengenai kejadian aneh itu.

- GELOMBANG MIKRO
Seorang peneliti dari Russia menerangkan bahawa jika batang gandum dimasukkan ke dalam ketuhar pembakar dan kemudiannya kemudian ditambahkan dengan segelas air, maka akan muncul pemandangan berupa lingkaran aneh yang biasa dilihat di ladang gandum iaitu batang gandum mulai rebah dan melengkung.
Bagaimanapun, peneliti itu belum menemui punca pancaran gelombang mikro yang besar sehingga mampu menghasilkan lingkaran aneh di kawasan ladang yang luas. Seorang peneliti lain pula menjelaskan bahawa gelombang mikro yang besar mungkin berpunca dari sambaran petir.

- PERBUATAN MANUSIA
Golongan skeptikal menganggap lingkaran aneh itu hanyalah perbuatan manusia. Seorang pengkaji lingkaran aneh yang meneliti fenomena itu selama 17 tahun menyatakan bahawa 80 peratus lingkaran dihasilkan oleh manusia.
Malah beberapa pihak juga tampil mendedahkan kepada media bahawa mereka mampu menghasilkan lingkaran berkenaan. Antara langkah digunakan pihak terbabit adalah melukis reka bentuk yang ingin dihasilkan terlebih dulu.
Ketika gandum di ladang hampir matang, mereka memacakkan paku sebagai pusat bulatan, melingkari permukaan tanah dengan tali sehingga terhasil sebuah lingkaran.

- MEDAN MAGNETIK
Walaupun ada pihak tertentu yang mengaku menghasilkan lingkaran aneh berkenaan, beberapa pihak lain percaya bahawa ada antara lingkaran itu terhasil secara paranormal dan tidak mampu dihasilkan manusia.
Ia disebabkan struktur gambar lingkaran aneh itu tidak saja rumit, memiliki ukuran yang besar serta menghasilkan reka corak yang indah yang tidak mungkin dapat dihasilkan manusia dalam tempoh semalaman tambahan pula ketika waktu malam.
Malah, penyelidik yang mengkaji fenomena itu selama 17 tahun membuat kenyataan bahawa hanya 80 peratus lingkaran aneh itu dihasilkan manusia. Ini bermakna lingkaran aneh sebanyak 20 peratus lagi tidak dapat dibuktikan bahawa ia adalah rekaan dan mungkin terhasil akibat fenomena paranormal.
Antara teori mengenai fenomena paranormal yang menyebabkan lingkaran aneh itu adalah ia berpunca daripada kesan medan magnetik bumi yang memiliki daya gerak luar biasa serta menghasilkan arus elektrik sehingga mampu merebahkan tanaman berkenaan.
Seorang pengkaji dari Amerika Syarikat yang meneliti lebih 130 lingkaran di ladang gandum mendapati bahawa 90 peratus daripada kawasan kejadian berada hampir dengan alat transformer yang berhubung dengan kabel elektrik serta kawasan pengairan.
Penjelasannya adalah ion elektrik dari tanah di bahagian dasar ladang gandum menghasilkan ion negatif, manakala transformer yang dihubungkan dengan kabel elektrik itu menghasilkan ion positif.
Selepas elektrik negatif dan positif bertembung, ia menghasilkan tenaga magnetik yang merebahkan gandum lalu membentuk lingkaran aneh.
Bagaimanapun, pengkaji terbabit tidak dapat menerangkan bagaimana lingkaran itu mampu menghasilkan corak menarik dan berseni.

- PUTING BELIUNG
Seorang penyelidik lain dari Amerika Syarikat mendapati bahawa kebanyakan lingkaran aneh berlaku kira-kira 70 kilometer dari kaki gunung dan lokasi seperti itu didapati mudah sekali berlakunya puting beliung.
Bagaimanapun, seperti teori pertembungan ion positif dan negatif, pengkaji terbabit juga tidak dapat menerangkan bagaimana lingkaran itu mampu menghasilkan corak menarik, kompleks dan berseni.

- MAKHLUK ASING
Ramai juga yang beranggapan bahawa lingkaran aneh yang besar, kompleks serta dihasilkan dalam tempoh semalaman saja berpunca daripada aktiviti makhluk asing.
Malah seorang jurugambar mendakwa dia melihat cahaya ganjil di ladang gandum, cahaya itu berterbangan antara dua lingkaran aneh pada 1990.

- KUASA ANEH
Sebahagian daripada pemerhati pula percaya bahawa di sebalik lingkaran aneh itu, terdapat berbagai kekuatan dari alam ghaib, sama seperti kejadian pada Segi Tiga Bermuda. Mungkinkah kejadian lingkaran aneh itu dihasilkan oleh jin?

tamat.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home