cerpen- paranormal
MALAM sudah lama ditutupi kanvas hitam. Segala ruang pandangan terhalang dan kemampuan retina meninjau sekeliling, terjejas. Dingin mula menusuk ke sumsum tulang.
Berbekalkan cahaya lampu suluh yang hampir ditelan kegelapan, dia melangkah meredah semak samun. Sesekali kakinya tersilap arah lalu memijak lopak. Dia tidak menghiraukannya dan terus melangkah.
Lima minit berjalan, jaluran cahaya lampu suluhnya menerangi sebahagian bangunan agam di tengah ladang kelapa sawit itu. Dia berhenti seketika dan memandang banglo usang itu. Debaran menghentak ruang dada.
Dengan lafaz bismillah dan ditemani ayatul kursi, dia kembali melangkah melepasi pintu pagar yang sudah dihuni karat. Jam menunjukkan hampir 2.30 pagi. Dari jauh kedengaran lolongan anjing liar.
“Minta maaf Encik Arif, saya tidak sanggup,” penjelasan daripada pembantu penyelidik di fakultinya menyebabkan dia melangkah keseorangan menuju ke pintu utama banglo berkenaan.
Sudah ramai yang ditemui tetapi tiada siapa sanggup menemaninya menjalankan penyelidikan itu; sedangkan dia kini semakin terdesak untuk menyiapkan kajian kes itu berikutan tarikh viva tesisnya kurang seminggu lagi.
“Tidak mengapalah… saya faham,” benar dia memahami ketakutan yang terselindung di sebalik kaca mata pembantu penyelidik berkenaan. Siapa sanggup melakukan kerja gila itu?
Dia sendiri pada mulanya tidak sanggup tetapi demi menyiapkan laporan tesis sarjananya yang sudah 70 peratus siap itu, dia akhirnya akur untuk melangkah melepasi pintu utama banglo yang sememangnya sudah terbuka.
“Tanpa kajian itu, tesis awak tidak lengkap dan saya tidak akan terima. Awak memilih membuat tajuk berkenaan, jadi awak sudahkannya,” keras suara penyelianya seakan mengugut. Dia menggetapkan bibir kegeraman.
“Cubalah, sudah 28 tahun awak hidup, mungkin kajian ini akan menjadi tiga jam paling berharga dalam hidup awak,” keras suara itu sudah menjadi lembut memujuk dan dia mengangguk perlahan, tanda setuju melakukan kajian gila itu.
Dia menghalakan lampu suluh ke merata arah bagi memerhatikan keadaan sekeliling. Keadaan dalam banglo itu masih seperti ketika ia ditinggalkan. Perabot disusun kemas. Cuma sampah sarap dan habuk membaluti segenap penjuru.
Tiba-tiba bau busuk menerjah derianya. Dadanya semakin diasak debar. Segera amaran penduduk kampung berlegar di mindanya.
“Awak jangan buat kerja gila. Banglo tu berhantu!” dia menelan liur. Imam masjid kampung itu mengerutkan dahi, kemudiannya menceritakan sejarah banglo usang yang sudah 20 tahun ditinggalkan itu.
Dulu banglo itu dimiliki sebuah keluarga berada. Suatu peristiwa tragis akhirnya berlaku; si suami diceritakan menggelar leher isteri dan anak lelakinya sebelum menggantung dirinya sendiri. Tiada siapa tahu punca sebenar tragedi itu.
Selepas berlakunya peristiwa ngeri itu, banglo berkenaan dibiarkan kosong dan akhirnya usang. Sejak itu, beberapa penduduk mendakwa terlihat adanya cahaya dalam bangunan dua tingkat itu seakan-akan ia dihuni orang.
Malah ada antara mereka mendakwa melihat susuk tubuh seorang wanita di tingkap atas banglo!
Peluh mula membenih di dahinya walaupun malam masih diulit dingin. Dengan kaki menggigil kecil, dia melangkah menuju tangga, melintasi perabot usang berhabuk untuk ke tingkat atas.
“Dalam kebanyakan kes dakwaan diganggu hantu, kejadian sebenar adalah individu terbabit menetapkan dalam minda mereka bahawa gangguan itu benar-benar berlaku³³. Memang benar ada kes diganggu hantu tetapi ia sangat sedikit manakala kebanyakan kes hanyalah mainan minda dan perasaan individu saja.”
Draf tesis sarjana yang dihasilkannya diletakkan dan penyelianya memandang ke arahnya.
“Kajian awak bersandarkan teori semata-mata. Saya nak awak uji teori yang awak tulis dengan merasai sendiri ketakutan berhadapan dengan hantu. Tuliskan pengalaman awak dalam bab kajian kes,” sekali lagi dia menelan liur mendengar arahan itu. Jalur penyesalan kerana memilih mengkaji pengaruh hantu di kalangan masyarakat Melayu sebagai tajuk tesis mula terukir dalam jiwanya.
Langkah demi langkah, dia terus memanjat anak tangga. Pelbagai bunyi menemani langkahnya sehinggalah dia berada di hadapan bilik yang dikatakan berlakunya pembunuhan itu.
Sekali lagi lolongan anjing liar kedengaran dari jauh. Bunyi-bunyi asing terus mengejar ruang pendengarannya. Dia ketakutan. Seram menguasai minda dan tubuh. Serta-merta debaran di dadanya semakin kencang. Dia ingin berlari keluar meninggalkan banglo itu tetapi tidak dapat berbuat demikian.
“Kajian ilmiah oleh pengkaji paranormal seluruh dunia masih belum menemui fizikal hantu termasuk seperti yang tertera dalam mitos Melayu. Penyelidikan sebelum ini tidak menemui hantu pocong yang digambarkan sebagai jasad dibaluti kain kapan serta meloncat-loncat atau pontianak yang berupa wanita berambut panjang dengan pakaian berkain putih.
“Sebaliknya, kajian seluruh dunia hanya merakam makhluk paranormal dalam bentuk yang dikelaskan kepada orbs iaitu cahaya bulat yang berterbangan; vorteks berbentuk cahaya panjang; ektoplasma berupa kabus; lembaga hitam selain bayang-bayang tanpa punca³.
Penjelasan itu belum memuaskan hati penyelianya. Lalu profesor kebudayaan Melayu itu menyambung bicara: “Kenyataan awak ini adalah kesimpulan daripada kajian orang lain. Awak lihat sendiri yang memang tidak wujud pontianak atau pocong?
"Saya nak lihat rakaman semasa awak menjalankan kajian itu nanti. Mana tahu mungkin awak berjaya merakam imej orbs atau pontianak.” Dia memandang kembali wajah penyelianya itu. “Dr gila,” dia membentak dalam diam.
Dia cuba menenangkan gelora gusarnya. Beberapa potongan ayat suci al-Quran dibaca perlahan. “Insya-Allah, tiada apa-apa akan berlaku. Ini semua mainan perasaan dan minda aku saja. ‘Mereka’ tidak akan mencederakan aku,” dia memujuk dirinya sendiri sambil mengingati pesanan seorang alim bahawa jin juga sebenarnya takutkan manusia.
"Selain manusia dan malaikat, Allah SWT turut menciptakan jin. Ada antara mereka beriman manakala yang kafir digelar syaitan dan ketuanya ialah Iblis. Syaitan inilah yang digelar hantu dalam budaya Melayu." Dia mengangguk perlahan sambil tekun menulis penerangan itu untuk direkodkan dalam tesisnya.
Alim itu meneruskan penerangan: "Mengapa perlu takut kepada jin? Mereka sentiasa berada di sekeliling kita termasuk dalam bilik saya ini. Cuma bezanya Allah menjadikan penglihatan kita terhijab daripada melihat mereka.
"Jin mungkin berada di tepi saudara setiap masa tetapi mereka tidak mencederakan saudara bukan?" dia mengangguk dan semakin yakin bahawa jin tidak akan mendatangkan bahaya kepada fizikal manusia.
Jiwanya kembali tenang. Dia melangkah memasuki bilik berkenaan. Berdiri dalam bilik itu, dia meletakkan beg yang dibawanya sebelum menyuluh kawasan sekeliling. Penuh sampah. Kesan darah lama masih kelihatan di dinding dan lantai.
Kemudiannya dia mengeluarkan peralatan dari dalam beg. Termometer IR (Infra-merah), video kamera, kompas, pengesan peningkatan EVP (electronic voice phenomena) dan peranti pengesan pergerakan.
"Antara peralatan asas yang digunakan pengkaji paranormal bagi menjejak hantu adalah: Termometer Infra-merah - jika ada makhluk halus di sesuatu tempat, suhu akan jatuh secara mendadak; Pengesan Pergerakan Tanpa Wayar - jika ada pergerakan termasuk daripada makhluk halus yang melintasi alat ini, ia akan berbunyi;
“Pengesan EMF (Electomagnetic Field) - nilai bacaan gelombang elektromagnetik sesuatu kawasan akan berubah mendadak jika lokasi itu dihampiri makhluk halus; Pengesan Peningkatan EVP - alat ini akan mengesan sebarang bunyi yang tidak dapat didengari deria pendengaran manusia biasa iaitu kurang 20 hertz;
“Kamera litar tertutup (CCTV) atau kamera video - kelajuan cahaya dipancarkan kamera video yang melebihi kelajuan cahaya retina mampu merakam imej asing yang tidak mampu dilihat manusia.”
Dengan debaran dan tubuh menggigil, dia meletakkan peranti pengesan pergerakan di sekeliling bilik selain di luar pintu bilik. Pelbagai bunyi asing kedengaran mengelilinginya; sesetengahnya mampu dikenal pasti sebagai bunyi cengkerik, angin dan pohon ditiup angin tetapi sesetengahnya tidak dapat diduga; kedengaran juga bunyi seakan-akan orang mengetuk dinding dan pintu berkeriut. Segera dia melihat bacaan termometer IR, masih pada suhu bilik.
"Lapan puluh fehrenheit, memang perasaan aku saja," dia menarik nafas lega apabila mendapati tiada makhluk paranormal atau hantu di sekelilingnya.
Debaran sememangnya tidak kunjung padam sejak dia keluar dari kenderaannya yang diparkir di jalan besar berhampiran banglo itu. Dia kemudiannya menghidupkan alat EVP bagi merakam pelbagai bunyi. Rakaman akan dianalisis kelak.
Selesai menyiapkan peralatan kajian, dia memadamkan lampu suluhnya dan kegelapan menelan keseluruhan pandangan. Di sebelah kanannya adalah tingkap yang turut mempamerkan kegelapan malam manakala di atas kepalanya masih tergantung tali yang digunakan si suami untuk membunuh dirinya.
Dia kemudiannya duduk di bangku dalam bilik itu. Mungkin bangku itulah yang digunakan si suami untuk menggantungkan dirinya, 20 tahun lalu.
"Kepada sesiapa yang mendengar, aku tidak bermaksud mengganggu. Aku tumpang duduk sekejap," bersungguh-sungguh dia berdoa dan berharap moga dia akan selamat dalam kajian itu. Dia kembali melafazkan bacaan ayat suci al-Quran.
Dia melihat bacaan pada termometer IR. Bacaan tidak berubah. Jam menunjukkan pukul 3 pagi. Dia menghalakan kamera video ke pelbagai sudut dalam bilik itu bagi mengesan sebarang imej aneh.
Dia tidak menyangka keterujaannya memilih tajuk tesis itu akhirnya meletakkan dirinya dalam situasi demikian. Ketika mula memilih tajuk itu, sememangnya dia merasakan mengkaji hantu adalah sesuatu yang menarik - apakah kemampuan hantu, bagaimana corak kehidupan dan sosiologi mereka serta apakah ciri biologi, kimia atau fizik yang merangkumi kehidupan makhluk itu. Adakah hantu juga memiliki perasaan cinta, benci atau marah seperti manusia?
Dalam kegelapan malam, dia masih mendiamkan diri di kerusi. Apabila seram menguasai diri, dia mengalihkan ketakutan dengan memikirkan perancangannya selepas memperoleh ijazah sarjana nanti.
Dia akan diserapkan ke jawatan pensyarah di universiti itu dan selepas memperoleh kerja yang stabil, dia akan berkahwin dengan gadis pujaannya.
Dia melihat jam di tangan, lagi sejam untuk dia keluar dari banglo itu bersama hasil kajian yang akan mengejutkan dunia penyelidikan negara. Tiada lagi kajian ilmiah mengenai hantu yang didokumentasikan di universiti ataupun agensi bertauliah di negara ini. Namanya pasti tersohor selepas ini dan dia tersenyum sendirian mengenangkan ganjaran itu.
"Tit..tit..tit," tiba-tiba peranti pengesan pergerakan di luar pintu bilik berbunyi. Tubuhnya semakin menggigil. Mukanya pucat. Bulu romanya meremang. Seram menguasai diri dan ketakutan menjalar ke seluruh saraf. Dia tidak putus-putus berdoa semoga Tuhan menyelamatkannya. Tiada apa yang mampu dilakukannya melainkan membatukan diri dalam gelap.
Dia memfokuskan lensa kamera video ke arah pintu bilik. Tiada imej pelik muncul pada paparan skrin. Dia masih menunggu hukuman yang akan dilaksanakan kepadanya kerana berani menceroboh ke tempat seperti itu.
Lima minit berlalu. Tiada apa-apa perubahan. Sepuluh minit berlalu, masih sama. Dia melihat bacaan termometer IR, suhu menurun kepada 60 fehrenheit menunjukkan bahawa ada 'sesuatu' berhampiran dengannya. Dia rasa seperti ingin menangis.
Seketika kemudian kelihatan bulatan cahaya kecil terbang melintasi skrin kameranya - orbs. Dia menunggu lagi; 10 minit berlalu tanpa ada apa-apa yang berlaku.
Alim itu menyambung lagi: "Seperti manusia, jin juga berkahwin dan berkeluarga. Tidak semua jin dapat menyerupai lembaga atau objek tertentu seterusnya mendatangkan bahaya kepada manusia; jin yang mampu berbuat demikian adalah jin yang mempelajari ilmu untuk melakukan tindakan itu, sama seperti manusia mempelajari ilmu ghaib untuk melihat jin."
Ketika fikirannya bercelaru dengan pelbagai perasaan, suatu bunyi aneh menyusup ke ruang pendengarannya. Dia mengamati bunyi itu betul-betul; kedengarannya seperti derap langkah seseorang pada siling di atasnya.
"Ini kerja gila," dia akhirnya nekad dan tidak bertangguh lagi. Segera dia melangkah keluar dari bilik itu. Sebaik menuruni tangga dan ingin memecut ke arah pintu utama banglo, suatu bunyi asing muncul di hadapannya.
"Mieeoww," dia menghalakan kamera video ke lantai dan di hadapannya kini kelihatan seekor kucing hitam memandang tepat ke arahnya!
* * *
"Bangun bang, mengapa tidur di sini?" seorang pemuda menggoncangkan tubuh itu yang terbaring berhampiran banglo usang itu. Di sekeliling tubuh itu bersepah segala peralatan elektronik yang musnah dan hampir mencair seolah-olah ia dibakar dengan suhu tinggi.
Dia membuka mata sebaik terasa tubuhnya digoyang. Dia cuba bangun tetapi tubuhnya terasa berat dan kepalanya bagaikan dihinggapi kesakitan teramat.
"Abang tak apa-apa ke?" pemuda itu cuba membantunya untuk duduk. Dia memandang peralatannya dan cuba mengingati mengapa dia terbaring di situ serta apa yang berlaku kepadanya, semalam. Akan tetapi ketika dia cuba berbuat demikian, kesakitan terus menyucuk kepalanya.
Dia tidak dapat memikirkan apa-apa dan seperti juga dunia hantu dan jin, persoalan mengenai apa yang berlaku kepada dirinya, semalam, terus menjadi misteri.
tamat.


0 Comments:
Post a Comment
<< Home