Monday, July 17, 2006

Keluarga mahu kubur Haron dipindah

Oleh Nasron Sira Rahim

KUALA LUMPUR: "Kami sekeluarga masih berharap semoga kubur ayah dapat
dialihkan ke kawasan perkuburan Islam tetapi jika ia sesuatu yang rumit
untuk dilaksanakan, kami reda dengan ketentuan Allah SWT," kata Noor
Aishah, 38.
Beliau adalah anak tunggal Harun Mohamad yang dipercayai dikuburkan
dalam satu lubang bersama kira-kira 110 mangsa berbangsa Cina yang
terkorban dalam tragedi 13 Mei 1969, di kawasan jirat Sungai Buloh, dekat
sini.
Noor Aishah berkata, beliau sedih apabila mengenangkan kubur bapanya
kini terletak di tengah jirat dan bukannya di tanah perkuburan Islam
seperti kebanyakan umat Islam lain.
Berita Minggu pada 25 Jun lalu mendedahkan penemuan satu-satunya batu
tanda tertera nama Melayu iaitu Harun bin Mohamad di jirat Cina yang
menempatkan mangsa tragedi 13 Mei 1969 di Sungai Buloh sehingga
menimbulkan tanda tanya.
"Saya tidak pasti di mana silapnya sehinggakan jenazah ayah dikuburkan
di kawasan itu. Sepatutnya mereka yang menguruskan jenazah itu perlu
lebih teliti dengan memastikan agama mangsa sebelum dikebumikan," kata
Noor Aishah kepada Berita Minggu, di sini, semalam.
Mengenang kembali peristiwa itu, beliau berkata, bapanya tetap ingin
keluar rumah untuk meneruskan tugasnya sebagai jaga di sebuah klinik di
Kuala Lumpur.
"Ketika itu saya berusia enam bulan dan kami tinggal di Sentul. Menurut
cerita bapa saudara dan ibu, ayah yang ketika itu berusia 39 tahun,
keluar pada malam kejadian dengan menaiki basikal untuk ke tempat kerja.
"Bagaimanapun, ayah tidak pulang selepas itu. Selepas dua tiga hari
tidak pulang, moyang saya bertanya pelbagai pihak untuk menjejak
kehilangan ayah," katanya.
Beliau berkata, moyangnya kemudian dimaklumkan bahawa bapanya cedera
pada malam kejadian dan dirawat di Hospital Assunta sebelum dipindahkan
ke Hospital Kuala Lumpur.
Harun meninggal dunia pada 14 Mei 1969 dan jenazahnya dikebumikan di
kawasan jirat Sungai Buloh.
"Selepas mendapati jenazah bapa dikebumikan di jirat, seorang bapa
saudara saya memohon kepada Mufti Wilayah Persekutuan ketika itu supaya
kubur bapa dipindahkan ke kawasan perkuburan Islam tetapi mufti itu
memaklumkan tindakan itu tidak dapat dilakukan kerana ia terjadi ketika
darurat," katanya.
(END)

0 Comments:

Post a Comment

<< Home