Tuesday, July 11, 2006

blair witch project

nasron3
Misteri - blair witch project
Susunan Nasron Sira Rahim

PADA Oktober 1994, sekumpulan tiga pelajar jurusan perfileman ‘ghaib’ dalam hutan tebal berhampiran Burkittesville, Maryland, Amerika Syarikat; ketika menjalankan penggambaran dokumentari.
Heather Donahue, Joshua Leonard dan Michael Williams sebelum itu memasuki hutan Black Hills Forest untuk membongkar kewujudan lagenda ahli sihir tempatan, Elly Kedward yang juga dikenali sebagai ‘The Blair Witch’.
Bagaimanapun selepas memasuki hutan tebal itu, mereka tidak pernah keluar lagi dan tiada pihak mengetahui nasib dialami mereka.
Setahun selepas itu, sekumpulan pelajar antropologi yang memasuki hutan itu menjumpai
peralatan video, rakaman video dan filem yang digunakan ketiga-tiga penuntut itu sebelum mereka menghilangkan diri.
Sebaik menonton rakaman video berkenaan, perasaan seram dan kejutan menyelubungi babak demi babak yang dirakamkan ketika Donahue, Leonard dan Williams menyusuri hutan itu selama beberapa hari.
Ketiga pelajar itu tidak mengembara keseorangan ketika menjejak ahli sihir itu sebaliknya mereka ‘ditemani’ pelbagai perkara mistik dan kejadian pelik angkara makhluk yang tidak dapat dilihat mata manusia.
Babak rakaman video itu kemudiannya diperoleh sebuah syarikat perfileman dan mereka menyusun dan menyambung semua rakaman itu bagi menghasilkan filem ‘The Blair Witch Project’ yang ditayangkan kepada umum dan dijual dalam cakera padat bermula 1999.
Sesiapa saja yang menonton filem dokumentari realiti selama 86 minit itu dapat melihat sendiri rakaman dilakukan kumpulan remaja itu sehinggalah rakaman terakhir menunjukkan mereka diganggu pelbagai perkara mistik ketika memasuki sebuah kabin usang pada malam.
Jutaan penonton di seluruh negara turut dihantui misteri dan tanda tanya mengenai kehilangan kumpulan pelajar itu selain enigma yang terselindung di sebalik hutan tebal Black Hills.
Persoalan berunsurkan mistik itu turut diperluaskan menerusi pembangunan laman web www.blairwitch.com malah sebaik menonton dokumentari itu, ribuan penduduk Amerika Syarikat mengunjungi pekan Burkittesville dan memasuki hutan Black Hills untuk ‘menyelesaikan’ kes misteri itu.
Ketika kehilangan penuntut itu masih menjadi misteri di kalangan penonton, penayangan filem itu dicatat dalam Guinness Book of Records 2000 sebagai filem dengan kos penghasilan terendah iaitu sekitar USD25,000 (kira-kira RM80,000) tetapi memungut kutipan tinggi iaitu lebih USD248 juta (kira-kira RM900 juta).
Bagaimanapun, kenyataan sebenar akhirnya muncul pada 2000 apabila kenyataan Leonard disiarkan dalam wawancara di http://www.salon.com/ent/movies/int/1999/07/13/witch_actor/ sekali gus membongkar rahsia kononnya filem dokumentari berkenaan adalah benar. Sebaliknya hanyalah rakaman filem.
Bagaimanapun, segala rakaman adalah reaksi sebenar pelakon kerana mereka diarahkan masuk ke dalam hutan itu, tidak berhubung dengan orang luar melainkan krew perfileman, merakam apa saja yang berlaku, dan bergerak di dalam hutan itu mengikut arahan pengarah.
Segala gangguan di dalam hutan itu pula dilakukan krew filem malah aspek promosi adalah pembohongan terbesar dalam filem itu apabila mereka menyatakan rakaman dan kehilangan itu benar-benar berlaku.
Walaupun ia hanya sekadar filem, The Balir Witch Project meninggalkan kesan mendalam kepada penonton dan mencetuskan fenomena dikenali ‘sindrom kepercayaan sebenar’ sehingga menyebabkan ramai penonton mengunjungi lokasi kejadian (baca: penggambaran).
Melewati batasan masa, filem dokumentari berasaskan realiti itu akan tetap ditonton generasi akan datang dan teknik perfileman dan sinopsis cerita pasti akan membuatkan mereka mempercayai bahawa tiga pelajar itu sememangnya diganggu perkara mistik dan hilang.
Justeru, tidak hairanlah jika The Blair Witch Project digelar misteri yang paling menipu dalam sejarah.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home