Tuesday, July 11, 2006

lukisan dekor

nasron4

Dekor - lukisan penyeri dekor

Oleh Nasron Sira Rahim

UMPAMA memakai pakaian tanpa aksesori perhiasan, begitulah keadaan susun atur dalaman sesuatu ruang kediaman tanpa kehadiran lukisan.
Walaupun lukisan adalah perkara terakhir yang ditentukan dalam menyusun atur sesuatu ruang, peranannya mampu memberi impak besar tidak saja kepada ruang berkenaan tetapi kepada pemilik dan juga tetamu.
Lukisan yang digantung di dinding rumah mampu menimbulkan seri serta menjadikan ruang itu seolah-olah ‘hidup’ sekali gus memberikan semangat, keceriaan dan keselesaan kepada sesiapa yang memandang.
Bayangkan sebuah rumah yang memiliki ruang tamu besar; dindingnya dibiarkan kosong malah dicat pula dengan warna putih. Di sebalik susun atur perabot berbagai bentuk, mungkin kebanyakan orang merasa janggal memandang ruang seperti itu, seolah-olah terdapat sesuatu kekurangan yang perlu diperkemaskan.
Maka dalam keadaan inilah perlunya lukisan, menyeimbangkan keadaan kosong bagi memberikan impak ‘sedap mata memandang’ selain menggembirakan dan memberi kepuasan kepada pemilik rumah itu sendiri.
Pengasas Galeri Lukisan TJ Fine Art, Tajudin Ismail, berkata tidak ada peraturan tertentu dalam memilih lukisan untuk dipamerkan di mana-mana ruang tetapi mengikut konsep reka bentuk dalaman, lukisan harus mewujudkan keharmonian dalam ruang itu.
“Keharmonian dalam susun atur menetapkan bahawa lukisan itu harus sepadan dengan warna dinding dan reka bentuk dalaman. Contohnya, reka bentuk ruang tamu adalah berkonsepkan kontemporari tetapi jika lukisan yang digantung bertema klasik, pasti wujud kejanggalan.
“Secara konsepnya memang begitu tetapi ada juga individu kreatif yang mampu menyesuaikan lukisan klasik dalam reka bentuk dalaman kontemporari. Ada banyak ruang reka bentuk dalaman yang menarik walaupun ia tidak harmoni.
“Ruang seperti itu mampu dihasilkan jika seseorang itu pandai memilih lukisan dan memiliki pengetahuan dalam bidang susun atur dan reka bentuk dalaman,” katanya.
Tajudin berkata, apabila memilih lukisan, sebaik-baiknya pengguna itu memilih tema yang sesuai dengan jiwa mereka kerana ia mampu membuatkan diri mereka rasa selesa.
“Mereka tidak sepatutnya terpengaruh dengan cita rasa orang lain atau terikut-ikut dengan gaya terkini sebaliknya harus mementingkan kepuasan diri masing-masing. Karya itu juga tidak semestinya mahal dan moden,” katanya.
Bagaimanapun, katanya, lukisan juga menyimpan ‘rahsia’ pemiliknya dan perkara penting yang harus diketahui ketika memilih lukisan untuk dipamerkan kepada umum adalah tema karya itu akan mendedahkan corak kehidupan dan personaliti pemiliknya.
Ini disebabkan berbanding ruang reka bentuk dalaman di tempat umum seperti bilik hotel atau pejabat, tetamu akan mengaitkan sesuatu tema lukisan dengan minat dan kehidupan pemiliknya terutamanya jika lukisan itu digantung di ruang tamu.
“Tetamu dapat mengetahui minat, personaliti, peribadi dan corak kehidupan pemilik rumah hanya dengan melihat lukisan yang tergantung di ruang tamu sesuatu kediaman.
“Bayangkan jika di rumah individu itu tiada tergantung apa-apapun malah barang perhiasan pun tiada, rumah kosong saja; mungkin dia seorang yang membosankan dan kehidupannya juga tiada sesuatu yang menarik,” katanya.
Keadaan itu sebaliknya tidak berlaku terhadap lukisan yang ditempatkan di tempat umum yang kebiasaannya digantungkan lukisan dengan tema ‘universal’ serta boleh diterima semua pihak dan mewujudkan keselesaan kepada mereka.
“Warna lukisan juga mampu mempengaruhi suasana dan memberi kesan psikologi kepada jiwa seseorang contohnya merah: membangkitkan semangat; putih: kebebasan dan keluasan; hitam: menimbulkan kegerunan dan seram; kuning: menunjukkan sikap suka berkawan dan bersosial dan biru atau hijau: sebagai mengalu-alukan tetamu,” katanya.
Saiz lukisan yang dipilih juga perlu diberi perhatian bagi mengelakkan ia kelihatan janggal ketika digantung di dinding. Saiz lukisan harus berpandukan keluasan dinding dan ia tidak boleh terlalu besar atau kecil.
“Jika karya itu terlalu besar, ruang dinding akan kelihatan terlalu sendat manakala jika terlalu kecil pula, lukisan itu tidak menonjol dan akan tenggelam di dalam warna dinding,” katanya.
Bagi memastikan sesuatu lukisan itu kekal menyerikan sesuatu ruang dan memberi impak positif kepada pemilik mahupun tetamu, maka semestinya ia perlu dijaga dengan cermat dan teliti.
Tajudin berkata, jangka hayat sesuatu lukisan bergantung kepada jenis bahan yang digunakan untuk menghasilkannya dan antara semua bahan, lukisan berasaskan cat minyak dan medium lukisan daripada kayu dan logam disifatkan sebagai tahan lasak.
“Ada cat yang digunakan untuk melukis akan menghasilkan wap toksik selepas suatu tempoh masa tetapi ia tidak banyak lagi digunakan pelukis sekarang. Lukisan berasaskan cat air dan dakwat tidak mampu bertahan lama dan akan pudar selepas kira-kira tiga tahun.
“Kertas lukisan pula ada yang berjenis asid dan ada yang tidak. Kertas yang kurang kualiti akan memberi kesan kepada pembiakan kulat,” katanya.
Bagi lukisan yang memiliki jangka hayat yang pendek, antara langkah penjagaannya adalah ia harus digantung di tempat yang tidak terdedah pada pancaran matahari yang terik bagi mengelakkan ia pudar selain suhu yang sesuai adalah suhu bilik iaitu sekitar 25 darjah celcius. Suhu yang terlalu lembab akan menyebabkan pembiakan kulat.
“Lukisan juga harus dijauhkan daripada lokasi yang mudah dicapai oleh kanak-kanak bagi mengelakkan mereka merosakkannya,” katanya.
Berikut beberapa panduan menghias rumah:
- Buat lakaran ringkas di mana perlu menggantung atau meletakkan lukisan mahupun barang hiasan. Ia memberi gambaran ringkas kepada anda corak hiasan rumah.
- Kumpulkan lukisan yang memiliki kesamaan tema; contohnya warna, bentuk, garisan atau subjek paparan.
- Ada kala dinding di ruang kecil akan nampak besar apabila digantungkan lukisan kanvas yang besar.
- Beli lukisan yang benar-benar anda suka. Di mana boleh digantung boleh difikirkan sebaik anda tiba di rumah. Yang penting adalah nilai seni yang dipaparkan.
- Sebaiknya jangan gandingkan warna asas lukisan dengan kusyen kerana hanya satu saja yang akan menjadi perhatian.
- Jangan gantung lukisan atau perhiasan lain pada bahagian yang menerima cahaya matahari secara terus.
- Gantung bidai pada tingkap yang menerima pancaran cahaya terik. Ini dapat melindungi perhiasan dalam rumah daripada pudar atau berubah mengikut masa.
- Jangan dedahkan barang hiasan yang berharga ini kepada kelembapan. Untuk itu, belanjakan sedikit wang untuk cermin bingkai.
- Elak menghias dapur dengan lukisan atau hiasan yang tiada bingkai bercermin kerana ia akan mengumpul minyak daripada wap masakan.
- Bersihkan segera segala habuk atau kekotoran pada perhiasan anda. Membiarkannya akan mempengaruhi atau mengubah warna asal perhiasan.
- Jangan sekali-kali menggantung atau meletakkan perhiasan sutera di tempat yang berdekatan dengan sumber haba.
- Jangan gantung lukisan terlalu tinggi kerana kesannya tidak begitu membanggakan. Bukan saja sukar ditatap, malah seseorang itu terpaksa menegangkan urat leher untuk menatap sebuah gambar.
- Lukisan bukan saja harus digantung pada paras yang sewajarnya tetapi ia juga boleh dipadankan dengan objek yang ada di dalam sesuatu ruang.
- Bagi gambar bersaiz kecil sebenarnya memerlukan kehadiran objek lain di sekitarnya misalnya perabot. Ia bagi mengelakkan lukisan kelihatan janggal sekali gus memberi ‘sokongan’ pada lukisan berkenaan.
- Cubalah gantung satu atau dua lukisan pada kedudukan berlainan untuk mendapatkan kesan jauh lebih baik berbanding urutan kedudukan lukisan yang serupa.

tamat.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home