Monday, July 17, 2006

perlu kaji alam mistik

nasron4

News

Oleh Nasron Sira Rahim

KUALA LUMPUR: Pengasas Muzium Nurul `Ala, Safuan Abu Bakar, bersedia menyerahkan barang mistik yang diperoleh beliau seperti jasad ikan duyung, bentuk fizikal jin, toyol serta makhluk kenit jenglot untuk dikaji secara saintifik dan ilmiah.
Malah beliau turut menyarankan kerajaan atau pihak universiti supaya mewujudkan satu bidang khusus bagi mengkaji misteri atau fenomena paranormal di negara ini, sama seperti bidang sains atau arkeologi.
Safuan berkata, ini disebabkan penyelidikan dalam bidang misteri atau paranormal mungkin mampu menerokai disiplin ilmu dan pengetahuan baru yang dapat memberi pelbagai manfaat kepada kehidupan manusia.
Katanya, kewujudan makhluk misteri dan mistik yang diperoleh beliau dan kini dipertontonkan kepada umum di Muzium Sultan Alam Shah, Shah Alam, Selangor, membuktikan bahawa hidupan seperti ikan duyung sememangnya wujud manakala jin pula dapat ditangkap manusia dan dikeraskan.
“Kami menggalakkan jika ada pihak yang mahu menjalankan kajian berupa DNA, X-ray terhadap makhluk ini bagi mengetahui bahan yang membentuk mereka. Kajian juga mungkin boleh membongkar kewujudan ikan duyung atau jenglot sebagai spesies baru yang ditemui,” katanya kepada Berita Minggu.
Beliau bagaimanapun berkata, kajian terhadap objek itu hanya akan dibenarkan dengan syarat pihaknya perlu berada bersama-sama penyelidik ketika kajian dilakukan bagi mengetahui hasilnya serta ‘mengawal keadaan’.
Mengulas mengenai barang aneh yang diperoleh beliau, Safuan berkata, ikan duyung sepanjang kira-kira satu meter itu dimiliki rakannya dari negara jiran, empat tahun lalu selepas melakukan ‘kaedah’ tertentu di tepi pantai.
Beliau berkata, selepas melakukan kaedah berasaskan kebatinan itu, ikan duyung terbabit muncul dari permukaan air tetapi sudah tidak bernyawa. Walaupun tidak bernyawa dan sudah diawet, ia terus mengeluarkan bau hanyir dan bau menyerupai peluh manusia sehingga kini.
Selain itu, katanya, jin yang dipasung dalam botol, toyol serta jin yang dikeraskan ditangkap pihaknya menggunakan ilmu batin yang dibenarkan syariat, beberapa bulan lalu di dalam negara.
“Walaupun sudah dipasung, jin ini masih menghasilkan tenaga (aura) yang kuat manakala pada jari toyol pula, kelihatan seolah-olah ada darah yang mengalir keluar tanpa henti,” katanya.
Safuan berkata, ujian X-ray yang dilakukan terhadap jenglot oleh sekumpulan penyelidik tempatan, baru-baru ini mendapati terdapat tulang di dalam jasad makhluk terbabit tetapi sehingga kini, tiada siapa yang menemui habitat makhluk itu.
Beliau berkata, masyarakat tidak boleh menganggap perkara mistik dan misteri seperti itu sebagai punca kemunduran kemajuan sesebuah bangsa kerana ia juga satu bidang ilmu yang mungkin boleh mendatangkan manfaat.
“Konsepnya sama seperti mengkaji angkasa lepas, mengapa perlu mengkaji angkasa lepas? Begitu jugalah perlunya mengkaji misteri dan alam mistik. Walaupun sekarang ini zaman moden, tetapi gangguan jin tetap berlaku dan perlunya ilmu mengenai ini terus dipelajari,” katanya.
(Gambar di ruangan Misteri, muka surat 10 bahagian Dimensi).

tamat.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home