Tuesday, July 11, 2006

misteri pulau easter

nasron5


Heading : Patung gergasi Pulau Easter
Introteks: Antara mitos kejadian batu itu menyamai kisah rakyat Si Tanggang apabila penduduk pulau itu yang digelar ‘Rapa Nui’ dipercayai bertukar menjadi batu


FAKTA NOMBOR
# 887
patung gergasi

# 21.60 meter
patung paling tinggi

# 182 metrik tan
anggaran patung paling berat

Susunan Nasron Sira Rahim

TIADA siapa mengetahui apa yang berlaku di Pulau Easter, sebuah pulau terpencil di kawasan Pasifik selatan, suatu ketika dulu tetapi sejak ia dijumpai pelaut Belanda sekitar 300 tahun lalu, pulau itu terus menjadi antara lokasi arkeologi misteri sehingga kini.
Bagi sesiapa saja yang menjejakkan kaki di pulau itu, pasti timbul persoalan mengenai kewujudan dan fungsi 887 patung batu gergasi digelar ‘moai’ yang berdiri megah di sekeliling pulau seluas kira-kira 170 kilometer persegi itu.
Kajian demi kajian dilakukan sejak ia ditemui bagi membongkar teka-teki yang terselindung di sebalik pulau itu tetapi sehingga kini, tiada fakta melainkan pelbagai teori yang kontroversi dikemukakan.
Kewujudan patung batu gergasi yang hampir menyerupai wajah manusia itu membuktikan kehebatan penduduk pulau itu dalam seni ukiran dan kekuatan tetapi misteri yang memeningkan adalah siapa sebenarnya penduduk pulau itu dan ke mana mereka akhirnya menghilangkan diri?
Persoalan lain adalah mengenai bagaimana batu seberat sehingga 180 tan dan setinggi 20 meter yang digunakan untuk mengukir patung gergasi itu dipindahkan dari kawasan gunung berapi Rano Raraku ke pelbagai kawasan sekitar pulau yang jauhnya lebih 20 kilometer.
Antara mitos mengenai kejadian batu itu adalah ia menyamai kisah rakyat ‘Si Tanggang’ - penduduk pulau itu yang digelar ‘Rapa Nui’ bertukar menjadi batu manakala pendapat lain menyatakan patung itu adalah batu nesan bagi penduduk. Teori yang pelik pula menyatakan bahawa moai dihasilkan makhluk asing.
Bagaimanapun di sebalik pelbagai teori yang dikemukakan pelbagai pihak, ada satu teori menarik meliputi semua misteri mengenai pulau itu termasuk mengapa patung itu diukir, macam mana ia dipindahkan dan ke mana akhirnya penduduk asli pulau itu menghilang.
Pulau Easter dikatakan wujud akibat beberapa letusan gunung berapi bawah laut sehingga membentuk pulau, jutaan tahun lalu. Ia menjadi pulau indah yang dihuni burung dan pepatung di sebalik kepelbagaian fauna terutamanya pohon palma yang hidup subur sehingga membentuk hutan.
Kemudiannya pelaut Polynesian menjumpai pulau berkenaan dan mula menghuni serta menjadi penduduk asli kawasan itu. Mereka mendirikan rumah dan menternak serta membentuk beberapa komuniti berasingan di pulau itu.
Selepas itu, atas sebab tertentu, mereka mula mengukir dan mendirikan ratusan patung gergasi dan diletakkan di sekeliling pulau itu. Antara teori mengenai pembinaan patung itu adalah ia sebagai kepercayaan agama selain pemujaan pemimpin.
Bagi memindahkan patung gergasi itu ke pelbagai lokasi, mereka dikatakan memotong banyak pohon di sekitar pulau untuk disusun secara bersebelahan sebelum menggolek patung batu itu di atasnya.
Penduduk pulau itu kemudiannya menjadi terlalu obses mengukir dan mendirikan patung batu itu sehingga jumlah pohon yang ditebang mengakibatkan kawasan pulau itu seumpama padang jarak - hutan di pulau itu semakin pupus.
Bermula dari detik itu, tanaman yang diusahakan di pulau itu mula tidak menjadi sehingga menyebabkan penduduk Rapa Nui kelaparan. Akibat kelaparan yang tidak tertanggung, konflik antara puak tercetus dan mereka berperang sesama sendiri.
Umpama api membakar sekam, keganasan di pulau itu semakin bertambah sadis. Lantaran ketiadaan makanan, penduduk di pulau itu berubah menjadi kanibal dengan memakan jasad puak yang kalah dalam peperangan.
Kenyataan itu terbukti apabila beberapa tulang yang dikatakan membuktikan perlakuan itu malah kewujudan sebuah gua di pulau itu yang dinamakan Ana Kai Tangata membawa maksud ‘gua di mana manusia dimakan’.
Keganasan dan peperangan akhirnya mengakibatkan budaya dan komuniti Rapa Nui yang dikatakan dibina lebih 300 tahun musnah dan kesan yang tinggal hanyalah ratusan patung batu besar yang menjadi saksi peristiwa sebenar yang masih menjadi rahsia di pulau itu.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home