Monday, July 17, 2006

Koleksi Alam Mistik - Kisah Safuan Abu Bakar

Oleh Nasron Sira Rahim

PENGALAMAN memiliki tiga barang aneh secara mistik menjadi pencetus
kepada Safuan Abu Bakar, 48, untuk menubuhkan Muzium Nurul `Ala yang
mengandungi lebih 100 koleksi barang pelik dan antik pada 1991.
Malah muzium yang terletak di kawasan terpencil iaitu kira-kira satu
kilometer dari jalan utama Batu 17 1/2, Kuang, Selangor itu turut
mempamerkan objek misteri yang didakwa berasal daripada alam mistik.
Antara koleksi yang pasti menjadi tanda tanya kepada individu yang
melihatnya adalah tengkorak hantu langsuir, makhluk kecil jenglot, nyai
blorong yang digambarkan makhluk kecil bertubuh seperti manusia tetapi
berkaki ekor ular selain jin yang dipasung di dalam botol.
Pada satu sudut lain di muzium kecil seluas kira-kira 150 meter persegi
itu pula, tersimpan kemas naskhah unik al-Quran bertulis tangan dengan
ukuran kira-kira 1.14 meter panjang, 0.75 meter lebar dan 0.2 meter tebal.
Banyak lagi koleksi pelik, aneh dan mistik menghuni muzium itu tetapi
ketika ditanya dari mana Safuan memperolehnya, lelaki itu enggan
bercerita panjang mengenai pengalamannya memiliki barang berkenaan.
Sebaliknya beliau berkata, ada koleksi itu terutama yang berasal dari
alam mistik membuktikan bahawa Allah SWT Maha Besar dan Dia ingin
memperlihatkan sedikit kehebatan ilmu-Nya kepada hamba-Nya.
"Ada antara barang di muzium ini saya beli daripada individu tertentu,
dihadiahkan atau dipinjamkan rakan yang memiliki minat sama atau individu
tertentu selain saya cari dan peroleh sendiri termasuk secara misteri,"
katanya.
Beliau berkata, minatnya mengumpul pelbagai barang pelik dan antik itu
adalah bagi membuktikan bahawa di dunia serba luas ini, ada benda ganjil
yang tidak dapat dilihat ramai orang dan menerusi penubuhan muzium Nurul
`Ala, barang berkenaan dapat dipertontonkan kepada umum.
"Sebagai contoh, makhluk alam ghaib yang terdapat di muzium ini
membuktikan bahawa manusia memiliki cara tertentu untuk menangkap mereka.
Jika mengikut darjat, manusia lebih tinggi tarafnya daripada jin kerana
Allah SWT menjadikan manusia sebagai khalifah di bumi.
"Pada zaman mellinium yang serba canggih dengan pelbagai teknologi ini
pun, masih ada gangguan jin menyebabkan ilmu untuk menangani pengaruh
makhluk itu masih perlu dipelajari umat Islam sebagai fardu kifayah,"
katanya.
Mengulas penubuhan muzium berkenaan, Safuan berkata, barang pertama
yang diperolehnya adalah keris pusaka yang diwarisi nenek moyangnya pada
1986 dan beliau `dipilih' untuk menjaga senjata itu menerusi mimpi.
Barang kedua yang dimilikinya tempurung kelapa laut berkembar yang
berasal dari Istana Cempaka Sari, Pulau Tiga, Perak manakala barang
ketiga adalah tongkat yang dinamakan `Saiful Rijal' yang juga diperoleh
berdasarkan mimpi di Gunung Ledang, Johor.




(END)

0 Comments:

Post a Comment

<< Home