Monday, July 17, 2006

Punca Kemandulan

Oleh Nasron Sira Rahim

KEGAGALAN pasangan suami isteri yang sudah lama berkahwin memperoleh
cahaya mata bukan hanya disebabkan wanita, sebaliknya kajian pakar
perubatan mendapati 60 peratus masalah itu berpunca daripada lelaki.
Pakar Perunding Perbidanan, Sakit Puan dan Ketidaksuburan Pusat
Perubatan Darul Ehsan (DEMC) Dr Zamri Abdul Rahim, berkata masalah ini
berlaku kerana lelaki lebih terdedah kepada pelbagai risiko yang boleh
menyebabkan mereka mengalami kemandulan.
Beliau berkata, walaupun ketika dilahirkan seorang lelaki itu memiliki
tahap kesihatan seksual yang normal, pendedahan kepada faktor
persekitaran yang tidak sihat ketika mereka membesar akhirnya boleh
menyebabkan mereka mandul.
"Antara jenis kemandulan lelaki berpunca daripada `varicoceles' iaitu
bengkak sekitar testis akibat saluran darah ke bahagian itu terkumpul
seterusnya menyebabkan suhu sekitar testis lebih tinggi daripada suhu
badan (sekitar 38 darjah celcius).
"Suhu testis seharusnya berada di bawah suhu badan tetapi jika suhu itu
lebih tinggi, maka sperma gagal atau kurang dihasilkan," katanya.
Beliau berkata, lelaki berisiko terdedah kepada varicoceles ialah
mereka yang gemar memakai seluar ketat, sentiasa berada di tempat yang
panas seperti persekitaran kerja, memandu terlalu lama dan gemuk.
"Banyak lagi sebab yang boleh menyumbang kepada peningkatan suhu
testis. Lelaki gemuk berisiko menghidap varicoceles kerana kegemukan
menyebabkan jarak antara kedua-dua pahanya semakin rapat sehingga
menghimpit testis.
"Bagi mengatasi masalah ini, maka pembedahan perlu dilakukan bagi
melancarkan kembali aliran darah berkenaan seterusnya menurunkan suhu
pada bahagian itu," katanya.
Beliau berkata, seluar atau pakaian dalam yang longgar dan kain sarung
adalah pakaian terbaik bagi mengelakkan risiko varicoceles.
Kegagalan sperma untuk bergerak menuju ke ovum juga menyumbang kepada
kemandulan lelaki dan ia disebabkan beberapa faktor antaranya air mani
terlalu pekat selain sperma menjadi cacat akibat tindak balas kimia
daripada alkohol, rokok, dadah atau ubat tertentu.
"Sperma yang tidak normal menunjukkan beberapa kecacatan antaranya
tidak memiliki ekor bagi membolehkan ia berenang atau memiliki dua
kepala. Dalam air mani, seharusnya 75 peratus daripada sperma adalah
berkeadaan baik.
"Jika jumlah sperma normal kurang daripada 75 peratus maka ia akan
menjejaskan peluang persenyawaan," katanya.
Terdapat juga kes penghasilan antibodi dalam badan menjejaskan
penghasilan sperma seperti penghidap penyakit beguk di kalangan lelaki
dewasa manakala masalah mati pucuk yang berpunca daripada kurangnya
aliran darah ke zakar turut menyumbang kepada kemandulan di kalangan
lelaki.
"Suami isteri juga perlu memastikan waktu yang tepat untuk bersama bagi
memastikan peratusan berlakunya persenyawaan adalah tinggi. Jika
kekerapan bilangan bersama adalah empat kali seminggu, peratusan untuk
isteri mengandung dalam tempoh enam bulan adalah tinggi," katanya.
Selain kemandulan yang berpunca daripada faktor persekitaran, ada di
kalangan lelaki yang memiliki `kecacatan' sejak lahir yang menyebabkan
mereka kelihatan sihat dari segi fizikal tetapi memiliki masalah mandul.
Dr Zamri berkata, kebiasaannya keadaan lelaki seperti itu akan diwarisi
oleh anak lelaki mereka iaitu mereka tidak mungkin memperoleh zuriat
menerusi kaedah persetubuhan.
"Ada antara mereka yang dilahirkan tanpa saluran `vas deferens' iaitu
saluran yang menyalurkan sperma untuk bergabung dengan air mani. Golongan
ini hanya mampu mengeluarkan air mani tetapi tiada sperma," katanya.
Satu keadaan lagi ialah bayi lelaki dilahirkan dengan keadaan testisnya
tidak turun ke dalam kantung yang tidak saja memberi risiko kemandulan
apabila bayi itu dewasa malah turut terdedah kepada kanser.
"Sehubungan itu, setiap bayi yang dilahirkan akan dipastikan testisnya
berada di dalam kantung dan jika selepas setahun keadaannya masih tidak
berubah, maka pembedahan perlu dilakukan," katanya.
Beliau berkata, ada juga lelaki yang dilahirkan dengan hanya memiliki
satu testis tetapi kajian mendapati 81 peratus daripada golongan itu
tidak menghadapi masalah dalam kemandulan dan berkemampuan menjadi bapa.
Ketika diri masing-masing dimaklumkan bahawa mereka mandul, pasangan
suami isteri itu tidak seharusnya saling salah-menyalahi antara satu sama
lain sebaliknya perlu saling mendorong bagi menyelesaikan masalah itu.
Dr Zamri berkata, ini disebabkan dunia perubatan moden kini sudah
menjumpai penyelesaian kepada masalah kemandulan di kalangan suami isteri
sekali gus memberikan peluang untuk pasangan itu untuk menimang cahaya
mata.
"Antara kaedah digunakan kini adalah persenyawaan bayi tabung uji atau
lebih dikenali sebagai `Intracytoplasmic Sperm Injection (ICSI)' dan
kaedah ini tidak saja memberi peluang kepada pasangan untuk memperoleh
anak malah juga anak kembar," katanya.
Beliau berkata, kaedah ICSI dimulai dengan isteri diberi ubat tertentu
bagi menggalakkan penghasilan telur (ovum) lebih banyak seterusnya telur
itu akan disedut keluar. Pada masa sama, sperma turut disedut keluar
daripada testis suami.
"Kemudian sperma suami akan dicucuk ke dalam ovum isteri dan selepas
dibiarkan selama sehari, ia akan mula membentuk beberapa embrio.
"Kita akan memilih sekitar tiga embrio untuk disuntik ke dalam rahim
isteri bagi memberikan lebih peratusan untuk hamil jika dua lagi embrio
yang dipilih tidak hidup. Akan tetapi jika semua embrio membesar dengan
baik, maka kemungkinannya adalah isteri akan mengandung anak kembar,"
katanya.
INFO
Punca lelaki mandul
* Suhu testis yang tinggi
* Air mani terlalu pekat
* Pergerakan sperma tersekat
* Air mani yang tiada sperma
* Mati pucuk
* Testis tidak turun ke kantung
* Pembentukan sperma terhalang
(END)

0 Comments:

Post a Comment

<< Home