Oleh Nasron Sira Rahim
PADA zaman dulu tumbuhan herba seperti pegaga, kunyit, serai wangi dan
mengkudu hanya ditanam secara kecil-kecilan di sekeliling rumah untuk
kegunaan sendiri.
Tidak ramai memandang tinggi potensi tumbuhan seperti itu, lalu ia
hanya dibiarkan dan diusahakan secara kecil-kecilan terutama di kawasan
kampung. Jika disebut perusahaan pertanian pula, ramai terbayangkan
sayuran dan buah-buahan.
Pelbagai kajian dilakukan dan saintis muncul bersama beberapa penemuan
baru berkaitan tumbuhan itu yang akhirnya mengubah ruang tanaman herba
daripada tanah sekangkang kera kepada ladang berhektar.
Tumbuhan yang dianggap remeh itu memiliki khasiat yang banyak dan
pelbagai sehinggakan dunia hari ini menukarkannya daripada sekadar bahan
untuk masakan atau perubatan tradisional kepada industri kosmetik dan
kesihatan bernilai lebih RM900 bilion.
Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Hutan Malaysia (Frim), Datuk Dr
Abdul Razak Mohd Ali, berkata berbanding nilai industri itu di seluruh
dunia, pengeluaran herba di negara ini masih kecil iaitu sekitar RM200
juta setahun.
"Industri herba di Malaysia ketika ini sekitar RM4 bilion tetapi
pengusaha tempatan hanya mampu mengeluarkan kira-kira RM200 juta setahun.
Sebanyak 95 peratus daripada jumlah industri masih diimport," katanya.
Mengusahakan tanaman itu secara komersial adalah satu peluang seumpama
`lubuk emas' yang menjanjikan pulangan lumayan sekali gus mampu
menukarkan siswazah menganggur atau mana-mana individu kepada hartawan!
Tidak hairanlah pelbagai agensi kerajaan seperti Mardi, Institut
Penyelidikan Hutan Malaysia (Frim) dan Felda kini mula menumpukan kepada
kajian serta bimbingan bagi menghasilkan lebih ramai pengusaha herba dan
usaha giat dijalankan bagi menjadikan herba antara tanaman komoditi
negara seperti kelapa sawit, getah, koko dan lada hitam.
Langkah itu juga selaras Dasar Pertanian Negara 1998-2010 yang mengenal
pasti industri herba sebagai antara industri yang amat berpotensi untuk
dimajukan pada abad ke-21 ini.
Malah, Frim sendiri menerima peruntukan kira-kira RM4 juta daripada
program Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9), baru-baru ini, menyediakan
latihan bagi menghasilkan seorang pengusaha herba profesional.
"Kami bersedia melatih dan membimbing mereka yang berminat dalam
industri herba daripada seorang yang tidak memiliki sebarang pengetahuan
sehingga menjadi seorang pengusaha herba; mereka yang berminat boleh
menghubungi kami," katanya.
Beliau berkata, antara faktor yang menjana kepada perkembangan industri
herba kebelakangan ini adalah wujudnya kesedaran di kalangan orang ramai
mengenai aspek kesihatan dan kecantikan.
"Selain diusahakan sebagai bahan mentah, herba juga berpotensi diproses
untuk dijadikan produk makanan kesihatan serta kosmetik. Ramai mengetahui
mengenai produk herba seperti kopi tongkat ali ketika ini tetapi banyak
lagi herba berkhasiat dapat diproses.
"Malah dengan kepercayaan terhadap Malaysia sebagai antara negara
Islam, produk herba yang dihasilkan di negara ini juga berpotensi
dieksport ke luar negara untuk mengisi kekosongan dalam pasaran makanan
halal," katanya.
Selain itu, tumbuhan herba turut digunakan secara meluas dalam produk
perubatan tradisional, penghasilan bahan kimia tulen dalam ubat dan juga
ekstrak yang mengandungi bahan aktif untuk menghasilkan perisa, bahan
pencuci serta pewangi.
Herba adalah alternatif baru kepada pelbagai jenis pil dan ubatan kimia
kerana ia juga berpotensi menjadi penawar kepada pelbagai jenis penyakit
seperti barah, malaria dan mengelakkan penyakit jantung dan insomnia.
Berbanding produk pertanian lain, tumbuhan herba lebih `tahan lasak'
kerana ia dapat dikeringkan untuk kegunaan lebih lama berbanding sayuran
dan buah-buahan yang memiliki jangka hayat kegunaan yang lebih pendek.
Mungkin ramai berminat menceburi perusahaan herba jika diuar-uarkan ia
mampu menjana pendapatan lumayan tetapi Dr Abdul Razak menjelaskan
seperti bidang lain, ia juga memerlukan kesungguhan dalam mengusahakannya.
Beliau berkata, ada individu yang mengusahakan bidang separuh jalan
kerana tiada kesungguhan dan ilmu tidak mencukupi.
"Mereka mengusahakan bidang ini tanpa memiliki ilmu yang mendalam
mengenai herba yang diusahakan selain aspek perniagaan; ada pengusaha
menghabiskan banyak belanja untuk menyiapkan bangunan dan membeli
peralatan terlebih dulu.
"Mereka sepatutnya menumpukan kepada aspek pemasaran produk terlebih
dulu, bagaimana menghasilkan iklan dan mempromosikan produk mereka selain
mementingkan aspek pembungkusan menarik," katanya.
Beliau berkata, kurangnya hubungan antara pengguna, pengeluar dan
pengusaha juga menjadi cabaran utama untuk memastikan industri herba di
negara ini terus dimajukan.
Bagi mereka yang berminat menjadikan tumbuhan herba sebagai mata
pencarian seumur hidup, Dr Abdul Razak memberikan nasihat berikut:
"Jangan terlalu ghairah menjadi pengusaha herba hanya disebabkan ia
memberi pulangan lumayan sebaliknya lengkapkan diri dengan ilmu mengenai
bidang ini".
FAKTA
Tumbuhan herba berpotensi dimajukan
* Lidah buaya
* Hempedu bumi
* Pegaga
* Kunyit
* Serai wangi
* Tongkat ali
* Cekur
* Mengkudu
* Kemangi
* Misai kucing
* Dukung anak
* Nilam
(END)
0 Comments:
Post a Comment
<< Home