Monday, July 17, 2006

eksperiman bantu bola sepak tempatan

"BANYAK kali tengok televisyen, kita (saya) teringin tonton Malaysia main, tapi apakan daya kita belum sampai ke tahap layak sertai Piala Dunia," begitulah keluhan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengenai nasib bola sepak negara. Selain beliau, ramai lagi peminat bola sepak negara turut tertanya-tanya bilakah agaknya pasukan kebangsaan mampu bermain pada kejohanan berprestij itu. Wartawan Berita Minggu, NASRON SIRA RAHIM, menemui penganalisis sukan yang juga pakar sejarah negara, Profesor Emeritus Datuk Dr Khoo Kay Kim untuk mendapatkan gambaran mengenai kemampuan pasukan negara, lebih-lebih lagi sempena Piala Dunia 2006 yang hampir ke penghujung.

? RAMAI memberi tumpuan kepada Piala Dunia 2006 sekarang, adakah Prof seorang daripada mereka.
Sekarang ramai yang begitu tertarik dengan bola sepak sehingga wanita pun menyaksikannya, tetapi mereka hanya ingin berkongsi kemeriahan dan keseronokan. Mereka hanya menonton tetapi tidak ramai memahami bola sepak.
Saya suka Piala Dunia tetapi tidaklah sanggup bangun jam 3 pagi untuk menonton perlawanan. Kalau saya lihat perlawanan itu membosankan, saya tutup televisyen saja.

? Bagaimana mutu persembahan pasukan yang bertanding.
Secara keseluruhannya, mutu permainan pasukan yang bertanding dalam Piala Dunia kali ini sangat rendah. Mereka sangat terpengaruh dengan idea sains yang menjadikan mereka lebih suka kepada pendekatan ketat dan bukannya kreatif - jurulatih menentukan bagaimana seharusnya sesuatu perlawanan itu dimainkan. Saya nampak semua pasukan kini menggunakan
hantaran bola satu-dua. Sudah jarang melihat pemain menggelecek bola, macam Diego Maradona (pemain bola sepak lagenda dari Argentina). Sebelum zaman Maradona ramai pemain cukup kreatif.
Pada zaman sekarang, jurulatih tidak suka corak permainan individu. Mereka berkata pasukan harus bermain sebagai satu pasukan. Sebab itu, kita dapati corak permainan mereka terlalu mengikut struktur. Individu itu tidak bebas lagi berbuat apa yang dia suka ketika bermain. Saya dapati akibatnya, mereka tidak dapat mengawal bola dengan baik kerana
mereka tidak dibenarkan menyimpan bola. Pendekatan satu-dua yang kadangkala dipanggil pendekatan 'sentuh sekali' ini bererti jarang sekali ada pemain menyimpan bola untuk menggelecek; apabila kita menggelecek, kita boleh mengurangkan pertahanan pihak lawan. Sekarang, pendekatannya seorang pemain mengawal seorang pemain lawan; jadi bila kita dapat bola, kita melihat semua teman kita sudah dikawal. Jadi untuk membebaskan teman
kita, kita mesti menggelecek. Kita kalahkan seorang, kita sudah mengurangkan seorang pertahanan.

? Tidakkah menggelecek lebih berisiko berbanding pendekatan sentuh sekali.
Tidak mengapalah, ia menjadikan permainan itu menarik malah jika kita bandingkan permainan sekarang dengan dulu, kadar jaringan gol dulu adalah lebih tinggi. Lihatlah Piala Dunia zaman sekarang; hanya satu atau dua gol. Pemain yang menjaringkan tiga atau empat gol dalam satu perlawanan hampir tiada, hanya Ronaldo Luiz Nazario Delima (pemain Brazil) saja, itu pun prestasinya sudah menurun berbanding dulu.
Permainan sebagai satu pasukan hanyalah teori dan kita tidak boleh bergantung kepada teori. Bola sepak dulu, ada orang tertentu yang ditetapkan hanya untuk menjaringkan gol iaitu penyerang. Misalnya bekas pemain kebangsaan, Awang Bakar yang banyak menjaringkan gol. Malah dalam satu perlawanan, dia pernah menjaringkan 14 gol! Sekarang sudah tiada
pemain seperti itu. Konsep sekarang tidak perlu satu orang menjaringkan gol kerana setiap pemain ada potensi menjaringkan gol. Itu sekadar teori dan bagi seseorang yang pernah bermain bola sepak, mereka tahu jika pemain tidak biasa menjaringkan gol dan kita beri bola kepadanya di depan pintu gol, sukar untuk dia menjaringkan gol.

? Apa punca menyebabkan perubahan corak permainan Piala Dunia dulu dan sekarang.
Terlalu banyak sains dan teori. Kita sepatutnya mendengar keadaan sebenar daripada pemain dulu yang ada pengalaman. Benar kebanyakan pemain yang berpengalaman tidak memiliki pendidikan tinggi sehingga mampu membuat analisis. Jadi kita perlu cari mereka yang berpengalaman dan mampu membuat analisis.
Contohnya, pasukan seluruh Asia sekarang selalu menggunakan khidmat jurulatih daripada Barat, macam Malaysia juga. Kenapa kita tidak boleh melahirkan jurulatih tempatan yang berwibawa? Kenapa kita mesti mengikut cara orang Barat?
Berbalik kepada Malaysia, bila kita dapat melahirkan pasukan bola sepak negara berwibawa? Ia apabila kita boleh berfikir sendiri dan bermain dengan cara lebih original. Satu perubahan besar berlaku dalam corak permainan bola sepak seluruh dunia adalah apabila England memenangi Piala Dunia pada 1966. Sebelum itu, permainan bola sepak dimainkan dengan posisi pemain berupa 'W-M' iaitu ada sayap kiri, kanan dan kedudukan
pemain mengikut huruf itu.
Bagaimanapun, England pada Piala Dunia itu tidak menggunakan posisi sayap kiri dan kanan. Mereka menurunkan pemain dalam posisi lebih kurang 3-4-3. Selepas itu, jurulatih seluruh dunia mula menggunakan posisi angka seperti 3-4-3 atau 4-4-2 dan bukan lagi huruf. Posisi pemain sayap semakin hilang dan ini satu kelemahan besar. Dulu kami suka menggunakan pemain sayap dan pemain posisi itu kebiasaannya pemain paling pantas
berlari. Bola diserahkan kepada mereka dan mereka akan meluru ke hadapan untuk menjaringkan gol. Sekarang tiada lagi pemain sayap yang pantas.
Dulu kami menggunakan atlit lari pecut dijadikan pemain sayap kanan atau kiri. Mereka yang berlari 100 meter kira-kira 11.4 saat. Tetapi sekarang tidak menggunakan atlit lagi.

? Bagaimana persembahan pasukan Malaysia sekarang.
Ramai peminat tempatan sudah tidak hadir menyaksikan perlawanan tempatan. Ramai sedikit yang datang menonton ketika menentang MyTeam. Itupun pasukan kebangsaan tidak berani melawan MyTeam dan terpaksa menghantar pasukan bawah 20 tahun. Tetapi MyTeam pun kelam-kabut permainan mereka.
Ketika 1950-an dan 1960-an, ada Pesta Bola Merdeka, Malaysia yang ketika itu Tanah Melayu antara pasukan terbaik di Asia. Malaysia membuktikan kekuatannya dengan dua kali melayakkan diri ke pusingan akhir Sukan Olimpik malah dua kali mengalahkan Korea Selatan. Tetapi sekarang Korea Selatan sudah masuk ke separuh akhir Piala Dunia tetapi kita belum.
Kita sudah jauh ditinggalkan Korea Selatan walaupun dulu kita pernah menyamai tahap mereka.

? Mengapa ini berlaku.
Kita kekurangan idea bagaimana ingin membina pasukan kebangsaan. Kita mesti ada idea menjamin pemain bola sepak kita boleh sampai ke peringkat antarabangsa. Kelemahan kita adalah pemain kita kini tidak memiliki apa-apa keistimewaan kerana kita tidak tahu bagaimana untuk mengembangkan keistimewaan seseorang pemain itu.
Dulu sebagai individu, pemain kita luar biasa. Lihat saja Soh Chin Aun, beliau dapat mengawal bola dengan baik. Saya rasa dalam sejarah bola sepak Malaysia, dia seorang yang dapat menguasai bola. Bukan senang untuk merampas bola daripada kaki beliau. Pemain lain Ghani Minhat, yang bukan saja dapat menguasai bola tetapi penjaring gol prolifik. Mereka bermain bukan ditentukan jurulatih tetapi pemain bola sepak yang berbakat.
Sekarang bakat tidak dibenarkan berkembang oleh jurulatih kerana tidak mahu permainan secara individu. Jadi Malaysia sejak zaman Azizol Abu Haniffah (akhir 1980-an dan awal 1990-an), sudah berubah.
Saya masih ingat Azizol, ketika muda dia diajar bermain bola sepak oleh bapanya, Abu Haniffah. Abu Haniffah pemain yang suka menggelecek dan dia hampir berdansa ketika menggelecek bola. Azizol pun memiliki kemahiran yang luar biasa. Bagaimanapun, ketika Azizol diserapkan ke pasukan kebangsaan, permainannya sudah berubah kerana ketika itulah kita memperkenalkan kaedah sentuh-sekali dan dia tidak dibenarkan menyimpan bola. Jadi kemahiran beliau tidak dapat dieksploitasikan kerana apabila dapat bola, dia harus menolak bola itu kepada pemain lain. Jadi macam mana dia hendak memainkan peranan besar dalam pasukan. Bakatnya dikawal dan tidak berkembang.

? Jadi Prof berasa jika kaedah latihan sekarang diubah, kita boleh meningkatkan tahap pasukan bola sepak kebangsaan.
Ya, boleh. Kita pilih pemain berbakat dan biar bakatnya berkembang. Kita jangan tentukan sistem permainan. Kita gunakan pemain luar biasa dan biar mereka menentukan keputusan sendiri ketika bermain. Sekarang tiada pemain dibenarkan berbuat demikian. Semua terpengaruh oleh pendekatan Eropah. Amerika Latin pun terpengaruh dengan Eropah sebab itulah prestasi permainan merosot. Lihat bagaimana pasukan Brazil pada 1970-an bermain.
Itu memang pasukan terhebat dalam pasukan bola sepak dunia. Ketika Malaysia pergi ke Sukan Olimpik kali pertama, Malaysia melawan Jerman dan kalah 3-0 pada 1972. Ketika itu Jerman memang pasukan kuat dan kelemahan kita pula di bahagian depan. Jadi kita hanya bertahan dan kalah. Kalah 3-0 dengan pasukan seperti itu bukanlah teruk sangat
tambahan pula pada 1974, Jerman memenangi Piala Dunia. Jadi jika prestasi kita tidak merosot dan masih kekal seperti pasukan dulu, mungkin kita tidak akan kalah kepada pasukan Afrika.

? Pelbagai kritikan dilemparkan mengenai mutu pasukan kebangsaan sekarang antaranya mereka memiliki fizikal dan mental lemah? Apa pandangan Prof.
Memang kerana sudah begitu lama pasukan kebangsaan tidak sampai ke mana-mana. Jadi kalau mewakili Malaysia tidaklah bangga sangat. Dulu lain, pada 1950-an pasukan kebangsaan yang terbaik di Asia dan apabila mewakili Malaysia, kita berasa megah. Sekarang prestasi dan mental pemain sudah rendah.
Pesta Bola Merdeka juga sudah tiada, malah Korea Selatan juga sudah tidak mahu datang (mengadakan perlawanan) di sini. Kita sekarang hanya syok sendiri saja. Perlawanan Piala Malaysia pun hanya sekadar 500 hingga 600 orang yang hadir. Tidak boleh menyalahkan penonton jika mereka mengkritik pasukan kebangsaan. Penonton mengkritik kerana pasukan itu
sendiri tidak guna. Dulu ada seorang pemain bagus dari Selangor. Dia luar biasa tetapi kurang disiplin, jadi penonton akan mengkritik.

? Adakah kemampuan sesuatu pasukan itu banyak bergantung pada jurulatih.
Jurulatih boleh mengawal pasukan. Justeru, dia harus pandai dan mesti membantu dan bukannya menentu. Dia harus pandai menilai pemain. Apabila kita melihat seorang pemain, kita sepatutnya boleh menentukan posisi mana paling sesuai untuknya. Jika seseorang itu tidak biasa menjaringkan gol dan kita harap dia menjaringkan gol, ini tidak akan berlaku. Dalam Piala Dunia sendiri, ada pemain tidak boleh menjaringkan penalti. Padahal bagi
mereka yang boleh menjaringkan gol pasti tiada masalah.

? Ada pendapat lain mengatakan tubuh orang Malaysia kecil menyebabkan sukar bertanding pada peringkat antarabangsa.
Takkan semua tubuh orang Malaysia kecil. Seorang jurulatih harus berfikir contohnya dalam tiga tahun, saya akan membina pasukan yang boleh menang pada peringkat Asia dan saya perlukan pemain pertahanan yang tingginya tidak kurang daripada enam kaki. Jadi saya akan pergi cari pemain yang memiliki ciri-ciri itu di seluruh Malaysia. Cari pemain
berusia 16 atau 17 tahun untuk diasuh. Tiga tahun selepas itu, dia akan menjadi pemain belakang yang luar biasa. Jika saya mahu pemain sayap yang pantas, saya cari orang yang boleh berlari 100 meter di bawah 11 saat dan boleh bermain bola sepak. Harus mencari seperti mencari seorang majikan mencari pekerja untuk bekerja di syarikatnya.
Masalahnya kaedah pemilihan jurulatih atau pemain sekarang banyak dipengaruhi politik. Jika ahli politik sayang, dia pilih malah pernah berlaku jika Menteri Besar bertukar maka jurulatih pun bertukar dan pengurus pasukan juga bertukar. Itulah budaya kita. Politik sudah mempengaruhi bola sepak. Politik tidak boleh menolong kita menang dalam
perlawanan. Jika kita hendak kalahkah Korea Selatan, macam mana? Kita mesti mencari pemain terbaik dan bina pasukan terbaik. Tetapi jika ahli politik berkata 'saya suka orang itu dan tidak suka orang ini', macam mana kita hendak lawan Korea Selatan?

? Banyak cadangan dan pelaksanaan dilakukan untuk menaikkan kembali taraf bola sepak negara tetapi ia tidak juga memberi sebarang hasil? Bagi Prof, mengapa keadaan ini berlaku.
Kerana ia masih ditangani mereka (jurulatih) yang tidak tahu sangat mengenai bola sepak. Ada sekali kita menjemput jurulatih Perancis, yang juga pernah menjadi jurulatih kepada Cameroon. Dia janji dalam dua tahun, dia akan bawa pasukan Malaysia ke peringkat lebih tinggi. Masa itu saya ada ruangan dalam akhbar dan saya menulis jurulatih itu perlu mengkaji sejarah sukan dan bola sepak negara ini dulu, kerana saya tahu ada
masalah yang tidak dia fahami mengenai pasukan negara.
Kemudian dia menjawab, sejarah itu hanya untuk ahli sejarah. Tidak sampai setahun di sini, dia membawa pasukan ke Jepun dan tiba-tiba beberapa pemain Malaysia digantung kerana rasuah. Pasukannya runtuh dan dia sendiri tidak lama selepas itu dihantar pulang. Jadi kita kena faham juga budaya pemain kita. Orang Melayu, India dan Cina tidak sama. Kita kena faham baru kita tahu kelemahan dan kekuatan mereka. Jurulatih adalah seorang yang boleh faham, boleh berfikir dan membuat analisis. Bekas pemain saja tidak cukup.

? Prof menekankan mengenai perlunya pemain memiliki bakat luar biasa untuk menjadikan suatu pasukan itu hebat dan mampu beraksi pada peringkat antarabangsa.
Jika mahu pasukan itu menjadi luar biasa, maka perlu ada pemain luar biasa. Ada pepatah Inggeris mengatakan 'seorang juara dilahirkan dan dijadikan juara'. Dia mesti memiliki bakat dan bakat itu harus dikembangkan. Jika seorang yang tiada bakat tetapi hanya latihan saja, dia tidak dapat menjadi pemain 'super atlit'. Jika seseorang itu ada
bakat tetapi tidak dilatih juga maka tidak akan menjadi super atlit.
Jerman boleh kalahkan Belanda pada perlawanan akhir Piala Dunia 1974 kerana memiliki pemain luar biasa, Gerd Muller. Orangnya tidaklah besar tetapi kebolehan menjaringkan gol luar biasa. Apabila dia hampir jatuh pun dia boleh menjaringkan gol. Itulah yang saya maksudkan.
Seseorang yang luar biasa dan ada kebolehan menjaringkan gol adalah seseorang yang dilahirkan dengan bakat itu. Walaupun pasukan Belanda bermain dengan sistem cukup baik, akhirnya Jerman mengalahkan mereka.
Begitu juga pada 1982. Itali mengalahkan Brazil kerana Itali ada pemain Paolo Rossi. Paolo Rossi banyak menjaringkan gol akhirnya Itali lebih banyak mencatatkan jaringan gol lebih daripada Brazil.

? Tidakkah pemain kebangsaan sekarang juga berbakat.
Di Malaysia, saya percaya ada banyak pemain yang memiliki bakat luar biasa dan sejak dulu lagi tetapi bakat itu diabaikan. Jika tidak kenal orang maka mereka tidak akan dipilih untuk bermain pada peringkat negeri atau kebangsaan.
Kaedah MyTeam dengan menjemput mereka yang berminat saja tidak cukup, kita kena pergi cari pemain. Mungkin di Segamat ada dua tiga pemain luar biasa dan di tempat lain juga ada. Kita harus pergi mencari dan melatih. Akan tetapi kita mesti jelas pemain yang macam mana yang kita mahu. Di sekolah juga harus digalakkan permainan bola sepak untuk mengesan bakat.
Jurulatih juga tujuannya mencari bakat dan harus pergi ke seluruh Malaysia untuk mencari bakat di kalangan remaja dan dilatih sekurang-kurangnya tiga tahun.
Sebaik-baiknya kita harus mencari mereka yang masih muda dan belum lagi diberi idea yang salah mengenai bola sepak. Bila kita melatih, kita jangan memaksa seseorang itu bermain mengikut kehendak mereka sebaliknya teliti cara mereka bermain. Individu itu seorang yang secara semula jadinya macam mana? Jika dia seorang yang suka menggelecek, tolong dia
memajukan lagi kemahiran menggeleceknya dan jangan menggunakan dia sebagai pemain pertahanan. Dan jika seseorang itu biasa bertahan dan tidak biasa pergi ke depan, menggunakan dia sebagai pemain pertahanan.
Saya akan mencari seorang yang lebih tinggi untuk menjadi penyerang supaya dia dapat menggunakan kepalanya untuk mendapatkan bola. Jika dia pendek, sukar untuk mendapatkan bola.

? Kerajaan kini memilih bola sepak sebagai satu daripada lapan sukan teras yang akan dimajukan serta diberi peruntukan untuk tujuan berkenaan. Bagaimanapun, masih tiada sesuatu yang boleh dibanggakan bola sepak. Apa pandangan Prof.
Jika keadaan masih seperti ini, maka pembiayaan itu hanyalah satu pembaziran. Pemilihan bola sepak sebagai satu daripada lapan sukan asas oleh kerajaan disebabkan bola sepak permainan paling popular di dunia dan sejak lewat abad ke-19, bola sepak permainan yang popular di Malaysia.
Kita tidak boleh buang bola sepak tetapi harus mencari jalan untuk menaikkan mutu bola sepak dan orang yang setakat ini tidak membantu ke arah itu, tidak harus campur tangan. Jika sistem latihan bola sepak negara masih tidak berubah, maka 10 tahun lagi pun akan masih terus seperti sekarang. Habislah reputasi pasukan bola sepak negara. Sekarang
ini pun kita sudah kalah kepada Filipina.

? Walaupun banyak cadangan diberikan untuk meningkatkan mutu bola sepak negara, mungkin Prof sebagai individu yang banyak menganalisis sukan ini sejak berusia sembilan tahun lagi, ingin berkongsi pandangan atau cadangan.
Saya rasa kita perlu ada perbincangan sungguh mendalam untuk mengkaji masalah bola sepak. Cari kaedah bagaimana kita boleh menaikkan mutu bola sepak negara dan kita minta mereka yang tidak ada kaitan supaya jangan campur tangan. Kita harus bersungguh-sungguh, jika tidak hanya membuang masa. Kita mesti berbincang untuk mencari pendekatan original untuk pasukan kita bermain bola sepak, kita tidak mahu bermain dengan mengikut
orang lain.
Kalau tiru dan ikut orang lain, tidak semestinya kita akan memang. Jadi kita harus berani berfikir menghasilkan kaedah lain untuk bermain bola sepak. Kita harus berani melakukan eksperimen.
Bukan dalam setahun atau dua kita sudah boleh berjaya tetapi kita harus membuat eksperimen dengan pemain muda, itu penting. Pemain muda yang akan kita rekrut daripada merata tempat di negara ini. Buat sementara jangan biarkan mereka mewakili negeri tetapi latih dulu dengan pendekatan eksperimen ini.

? Mungkinkah impian melihat pasukan kebangsaan beraksi di Piala Dunia menjadi nyata.
Jika kita mencuba bersungguh-sungguh, mungkin boleh. Contohnya Jepun pada 1960-an pernah mendapat tempat ketiga dalam Sukan Olimpik. Bila mereka mula bermain bola sepak berbanding kita? Kita mula bermain bola sepak pada 1889.

? Piala Dunia 2006 sudah hampir tamat. Bagi Prof, pasukan manakah yang memenanginya pada kali ini.
Saya rasa Jerman akan memenangi Piala Dunia 2006 kerana mereka bermain di tempat sendiri dan itu satu kelebihan yang tidak dapat dinafikan. Pasukan yang saya minati adalah Brazil tetapi Brazil akhir-akhir ini mengecewakan.

PROFIL
Profesor Emeritus Datuk Dr Khoo Kay Kim
Tarikh Lahir: 28 Mac 1937
Tempat Lahir: Kampar, Perak
Pendidikan: Sekolah Anglo-Chinese Teluk Intan; St Michael's
Institution, Ipoh; Universiti Malaya (UM), Singapura.
Kerjaya: Guru Sekolah Anglo-Chinese, Teluk Intan; Pensyarah Jabatan
Sejarah UM; Profesor Jabatan Sejarah UM, Pengarah Pusat Sukan UM; Ketua
Jabatan Sejarah UM; Dekan Fakulti Sastera dan Sains Sosial UM; bekas
kolumnis ruangan sukan Berita Harian.
(END)

0 Comments:

Post a Comment

<< Home