Tuesday, July 18, 2006

pil anak kembar

nasron6

Dimensi - anak kembar

Oleh Nasron Sira Rahim

BERBEZA dengan keadaan sekitar 20 tahun lalu, kelahiran anak kembar bukan lagi satu ‘anugerah yang tidak dijangka’ kerana kemajuan teknologi perubatan menyebabkan seorang ibu boleh mengandungkan anak kembar hanya dengan pengambilan pil ubatan atau suntikan.
Malah, kos pengambilan ubatan berkenaan yang kurang daripada RM100 menyebabkan ia kini semakin banyak digunakan oleh pasangan yang teruja untuk mendapatkan anak kembar sebagai penghias kebahagiaan hidup.
Perunding Sakit Puan dan Perbidanan Pusat Perubatan Darul Ehsan (Demc), Dr Fairuz A’shikin Abd Kadir, berkata berbanding dulu, kadar kelahiran anak kembar adalah satu daripada 100 kelahiran tetapi nisbah itu semakin meningkat disebabkan ia boleh dirancang dengan pengambilan ubat dan suntikan.
Beliau bagaimanapun berkata, ubatan berjenis ‘clomiphene citrate’ dan suntikan ‘gonadotrophin’ yang kini digunakan bagi merancang kehamilan anak kembar sebenarnya hanya digalakkan kepada pasangan yang mengalami masalah ketidaksuburan dan gagal mendapatkan cahaya mata menerusi perhubungan suami isteri secara biasa.
“Apabila seseorang memakan ubat atau menerima suntikan berkenaan, ia akan merangsang penghasilan telur (ovum). Wanita biasa hanya menghasilkan satu telur untuk persenyawaan tetapi dengan pengambilan ubat, ia akan menghasilkan lebih daripada satu telur dan peratusan untuk mendapatkan anak kembar juga meningkat,” katanya.
Beliau berkata, anak kembar terbahagi kepada dua kategori iaitu ‘identical’ (kembar seiras) dan ‘fraternal’ (kembar tidak seiras). Kembar seiras berlaku apabila satu telur mengalami persenyawaan dengan satu benih (sperma) sehingga membentuk zigot.
“Zigot itu kemudiannya berpecah kepada dua bagi membentuk dua janin dan menjadi kembar seiras. Jika zigot itu tidak berpecah dengan sempurna, maka akan lahir kembar siam,” katanya.
Kembar tidak seiras pula berlaku apabila dua telur mengalami persenyawaan dengan dua benih dan pengambilan ubatan, suntikan atau persenyawaan bayi tabung uji kerap menghasilkan kembar berjenis fraternal.
Melihat telatah pasangan anak kembar sememangnya menyeronokkan, justeru ramai yang mengimpikan untuk memperoleh sepasang cahaya mata sekali gus sehingga sanggup mengambil ubatan atau menggunakan kaedah klinikal.
Dr Fairuz A’shikin bagaimanapun berkata, mengandungkan anak kembar termasuk menerusi proses pengambilan ubatan dan suntikan sebenarnya mengundang pelbagai risiko kesihatan kepada isteri malah sama ada ibu atau anak yang dikandung, kedua-duanya juga terdedah kepada risiko kematian.
Antara risiko berkenaan adalah isteri akan mengalami gejala ibu mengandung yang keterlaluan akibat penambahan hormon seperti muntah berlebihan, menghidapi tekanan darah tinggi sejak awal kehamilan dan kekurangan hemoglobin dalam darah.
“Rahim wanita juga hanya sesuai untuk menampung satu bayi saja tetapi jika terdapat lebih daripada satu bayi yang dikandung, maka peratusan berlakunya keguguran atau kelahiran bayi tidak cukup bulan juga tinggi dan mungkin membawa kepada kematian bayi terbabit.
“Risiko lain adalah bayi kembar yang dikandung mungkin menjadi bayi kembar siam, cacat atau mengalami sindrom down. Ibu juga terdedah kepada ‘amniotic fluid emblosim’ yang boleh membawa kematian, berlakunya masalah tumpah darah selepas bersalin selain risiko terdedah kepada barah ovari,” katanya.
Mungkin ramai menyangka bahawa memiliki anak kembar adalah menyeronokkan tetapi ramai juga tidak menyedari bahawa suami isteri turut terdedah kepada tekanan perasaan dan perceraian akibat tekanan ekonomi kerana penjagaan anak kembar membabitkan kos tinggi.
Selain menggunakan ubatan, suntikan atau bayi tabung uji, katanya, ada petua tertentu bagi mendapatkan anak kembar antaranya menyusukan bayi ketika mengandung dan memakan ubi keledek tetapi ia sekadar teori. Perkahwinan dengan pasangan kembar juga meningkatkan peratusan pasangan memiliki cahaya mata kembar.

KETERANGAN GAMBAR:

1. DR Fairuz A’shikin.

2. Gambar scan bayi kembar dua.

3. Gambar scan bayi kembar empat.

tamat.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home