misteri kubur harun
Oleh Nasron Sira Rahim
TIDAK ramai rakyat Malaysia yang mengenali atau mempedulikan nama Harun bin Mohamad, tetapi meneliti lokasi di mana dia `disemadikan' ketika ini, pasti akan timbul tanda tanya dan misteri mengenai sejarah kehidupannya suatu ketika dulu.
Harun meninggal dunia pada 14 Mei 1969, sekurang-kurangnya itulah maklumat yang tertera pada batu nisan lelaki itu di satu kawasan perkuburan berhampiran Hospital Sungai Buluh, Selangor.
Kawasan perkuburan yang terletak kira-kira lima kilometer dari Hospital Sungai Buluh itu sebenarnya jirat Cina dan di satu lokasi kecil antara semua jirat itu, terletak satu kawasan yang menempatkan mereka yang terkorban dalam tragedi 13 Mei 1969.
Dalam kawasan petak seluas kira-kira 30 meter lebar dan 50 meter panjang dan dipagari dengan binaan simen itu, ada kira-kira 110 batu nisan atau mungkin 110 mangsa yang dikebumikan. Jumlah sebenar tidak dapat dipastikan kerana ada antara batu nisan itu yang sudah patah dan berselerak.
Daripada jumlah yang dikira itu, 109 batu nisan tertera nama mangsa bangsa Cina dan hanya satu nisan tertera nama mangsa Melayu iaitu Harun.
"Saya tidak menyangka dan terkejut apabila melihat batu nisan yang tertulis nama Melayu di kawasan perkuburan mangsa 13 Mei ini kerana semua kubur lain milik masyarakat Cina," kata Siti Nadhirah Mohd Zain, 20, yang menemui kubur berkenaan.
Katanya, dia bersama beberapa rakan yang mengadakan penggambaran dokumentari menjejak hantu iaitu Seekers di kawasan itu, Disember tahun lalu secara tidak sengaja menemui kubur berkenaan.
"Ia terletak agak tersorok di belakang batu nisan lain yang lebih besar, kami cuba bertanya juga kepada penduduk sekitar tetapi ramai tidak mengetahui mengenai perkara berkenaan," katanya.
Melihat daripada keadaan kubur dan batu nisan yang rapat, kemungkinan jasad semua mangsa dikuburkan dalam satu liang lahad besar, tetapi cerita sebenar di sebalik kisah pengebumian itu masih menjadi misteri.
Kawasan perkuburan itu jauh dari kawasan penempatan penduduk dan dikelilingi ratusan jirat dan hutan.
Seorang lagi ahli Seekers, Syahira Ahmad Ramli, 21, berkata mereka menjalankan penggambaran di kawasan itu selama sebulan, tetapi pada sebelah malam saja. Sepanjang tempoh itu, ada kesan kawasan jirat itu dikunjungi kerana ada colok dan lilin di beberapa kubur.
"Dulu kawasan ini bersih, tetapi kini selepas hampir enam bulan, ia dipenuhi lalang dan semak. Menerusi batu nisan itu, semua mangsa dikatakan meninggal dunia antara 14 Mei hingga 17 Mei 1969," katanya.
Tragedi 13 Mei hanya berlaku di Kuala Lumpur dan sedikit merebak ke Selangor dan Melaka. Rusuhan tidak berlaku di Kelantan, Terengganu, Pahang, Perak, Kedah, Pulau Pinang, Perlis, Johor dan Negeri Sembilan.
Angka rasmi mengenai tragedi itu me nunjukkan 196 mati, 439 cedera, 39 hilang dan 9,143 ditahan. Sebanyak 211 kenderaan turut musnah.
Berita Minggu cuba mendapatkan maklumat mengenai Harun daripada Jabatan Pendaftaran Negara. Bagaimanapun usaha itu gagal sekali gus meninggalkan kisah satu-satunya kubur lelaki Melayu di kawasan jirat Cina itu sebagai misteri.
Bagaimanapun, Rektor Kolej Islam Darul Ridzuan di Ipoh, Prof Datuk Dr Mohamad Yusoff, berkata tindakan menguburkan mayat Islam di dalam liang lahad yang sama dengan orang bukan Islam dibenarkan syarak, jika ia berlaku ketika darurat.
Beliau yang juga bekas Mufti Wilayah Persekutuan berkata, antara keadaan darurat adalah peperangan, pembunuhan beramai-ramai, bencana alam seperti tsunami di Aceh, Indonesia baru-baru ini, selain kejadian 13 Mei 1969 di negara ini.
"Jika mangsa meninggal dunia dalam keadaan biasa; dia perlu dimandi, dikapan dan diuruskan mengikut kaedah ditentukan syariat tetapi jika meninggal dunia dalam keadaan darurat seperti 13 Mei, maka tindakan itu dibenarkan syarak," katanya.

0 Comments:
Post a Comment
<< Home