Thursday, September 20, 2007

sejarah kedatangan Islam di Tanah Melayu

nasron49

Jejak - kedatangan Islam ke Tanah Melayu

Oleh Nasron Sira Rahim
nasron@bharian.com.my

“SEJARAH kedatangan Islam di Tanah Melayu bermula seawal abad ketujuh dan bukannya abad ke-15 seperti dakwaan kebanyakan orientalis,” demikian terang pensyarah Jabatan Sejarah dan Tamadun Islam, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, Prof Madya Dr Ali Mohammad, ketika memulakan kisah bagaimana syiar Islam sampai dan disebarkan di negara kita.
Beliau berkata, selepas kewafatan Rasulullah SAW pada 632 Masihi (M), dakwah Islam mula disebarkan ke seluruh dunia oleh kalangan sahabat dan pendakwah malah usaha itu semakin giat dijalankan ketika Islam mencapai kemuncak kegemilangannya pada zaman Abasiyah.
Sepanjang tempoh itu jugalah ajaran mulia Islam mula dibawa merentasi laut sehingga tiba di Kepulauan Nusantara termasuk di Tanah Melayu.
“Sebelum Nabi Muhammmad SAW diangkat menjadi rasul lagi, sudah ada hubungan antara kerajaan di Kepulauan Nusantara dengan Tanah Arab apabila ramai pedagang Arab yang ingin belayar untuk berurusniaga di Canton, China, singgah di sini terlebih dulu.
“Apabila syiar Islam berkembang, hubungan perdagangan itu berterusan dan pedagang yang sudah memeluk Islam turut berdakwah menyampaikan agama suci ini kepada penduduk tempatan setiap kali mereka singgah di Kepulauan Nusantara,” katanya.
Katanya, terdapat tiga saluran kedatangan Islam ke Kepulauan Nusantara iaitu dibawa pedagang dari Tanah Arab, China serta India dan kebanyakan mereka berpegang kepada fahaman mazhab Syafie.
Dr Ali berkata, ketika usaha dakwah itu mula dijalankan, tidak banyak kerajaan Melayu yang menerima Islam tetapi melewati masa, ia mula membekas di hati penduduk di kepulauan berkenaan sehingga mereka dengan ikhlas mengucap dua kalimah syahadah.
“Kerajaan Samudera Pasai menjadi kerajaan Islam pertama di Nusantara ketika Majapahit dan Srivijaya masih berpegang kepada kepercayaan lama iaitu Hindu Buddha,” katanya.
Seterusnya usaha gigih pendakwah menyebabkan beberapa kerajaan lagi turut menjadi kerajaan Islam termasuklah kerajaan di Tanah Melayu antaranya Kedah Tua sekitar abad kesembilan, Terengganu (abad ke-13) dan Kelantan (abad ke-12).
“Penemuan wang syiling perak Abasiyah Kota Sungai Mas, Kedah membuktikan kerajaan itu sudah awal menerima Islam dan ia disebarkan saudagar Arab bernama Sulaiman pada 940 M. Kelantan sendiri sudah menerima Islam pada 1181 apabila dinar emas dijumpai di negeri ini.
“Penemuan batu bersurat di Kuala Berang, Terengganu yang antara lain bertulisan jawi dan menerangkan hukum Islam membuktikan Islam sudah bertapak di negeri itu pada atau sebelum 1326,” katanya.
Islam semakin mengukuh di Nusantara apabila Kerajaan Melaka diasaskan pada abad ke-15 seterusnya Parameswara memeluk Islam pada 1414 sehingga menjadikan kerajaannya juga sebagai sebuah Kerajaan Islam.
Kitab Hikayat Raja-raja Pasai dan Bustanus Salitin menyatakan Islam disebar di Melaka oleh Syeikh Abdul Aziz yang berasal dari Makkah. Beliau berjaya mengislamkan pembesar dan rakyat Melaka.
Parameswara memeluk Islam selepas berkahwin dengan Puteri Ratna iaitu puteri Raja Perlak dan beliau kemudian menggunakan gelaran Sultan Iskandar Syah.
Sejak itu, Islam semakin tersebar luas apabila tumpuan utama diberikan pemerintah kerajaan terbabit terhadap pengajaran dan pengajian agama wahyu itu menyebabkan Melaka menjadi pusat pengembangan Islam di alam Melayu.
Dari Melaka, Islam semakin tersebar luas termasuk di negeri lain di Tanah Melayu malah negeri itu turut menjadi tempat pertemuan ulama dan pendakwah dari pelbagai tempat seperti dari Tanah Arab dan Pasai.
Ulama menjadi guru yang mengajar ajaran Islam kepada kerabat diraja, pembesar dan rakyat manakala pendakwah pula tidak jemu menyebarkan keindahan Islam kepada umum. Layanan baik diberikan kepada pihak ini malah pemerintah Melaka turut menyediakan tempat tinggal kepada mereka.
Sultan Melaka sendiri turut menyokong dan membabitkan diri dalam usaha dakwah malah pada zaman pemerintahan Sultan Muzaffar Syah, diwujudkan institusi agama seperti pusat pengajian ilmu dan masjid.
Amalan Islam diterapkan di dalam kehidupan malah hubungan ulama dan pemerintah dalam mentadbir negeri dilakukan dengan baik.
Pada 1511, Portugis berbekalkan slogan ‘Gospel, Gold and Glory’ (Kristian, Emas dan
Kemasyhuran), menyerang Melaka sehingga berjaya menggulingkan kerajaan berkenaan sebelum menawan kota masyhur itu.
Serangan yang antara puncanya adalah demi menyebarkan agama Kristian itu dilakukan sebagai kesinambungan Perang Salib antara tentera Islam dan Kristian yang melanda dunia ketika itu. Hasilnya, mubaligh kristian turut dibawa masuk Portugis ke Melaka dengan harapan untuk menjatuhkan empayar Islam di Nusantara itu.
Dr Ali bagaimanapun berkata, keimanan terhadap Islam yang sudah kukuh di jiwa penduduk Melayu ketika itu menyebabkan usaha menyebarkan kristian itu sukar dilakukan malah ia ditentang habis-habisan oleh umat Islam.
“Apabila Kerajaan Melaka jatuh, pusat pengembangan Islam beralih ke Acheh tetapi walaupun pelbagai bangsa penjajah yang datang ke negara kita, kefahaman terhadap ajaran Islam serta sejarah Perang Salib menyebabkan penduduk Tanah Melayu ketika itu masih kekal memelihara akidah Islam mereka sehingga kini,” katanya.23

HEADING:

SEBELUM kedatangan Islam di Kepulauan Nusantara termasuk di Tanah Melayu, penduduk di wilayah berkenaan menganut fahaman Hindu Buddha selain kepercayaan animisme iaitu kepercayaan terhadap unsur ghaib dalam kehidupan.
Pensyarah Jabatan Sejarah dan Tamadun Islam, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (API-UM), Prof Madya Dr Ali Mohammad, bagaimanapun berkata, kedatangan Islam menyebabkan orang Melayu mula meninggalkan adat dan fahaman terdahulu yang bertentangan dengan Islam.
Beliau percaya yang usaha menyesuaikan ajaran Islam dengan corak kehidupan masyarakat yang sudah lama dipengaruhi ajaran Hindu Buddha dan animisme bukanlah suatu proses drastik sebaliknya ia dilakukan secara berperingkat dan memakan masa.
Berikutan itulah didapati masih wujud beberapa pengaruh budaya Hindu dan animisme di dalam masyarakat pada hari ini antaranya upacara persandingan selain kepercayaan terhadap dukun, bomoh dan hantu.
“Walaupun sukar, dakwah yang diperkenalkan pedagang termasuk menerusi akhlak mulia selain kebenaran Islam itu sendiri menyebabkan masyarakat Melayu ketika itu percaya bahawa Islam adalah agama sebenar seterusnya berusaha mengamalkan ajarannya dan meninggalkan amalan agama lama,” katanya.
Dr Ali berkata, selain menerusi dakwah yang disampaikan ketika berdagang, Islam turut disebar melalui perkahwinan apabila ada antara saudagar Muslim berkahwin dengan gadis tempatan. Seterusnya ikatan itu turut menarik minat keluarga si isteri untuk mendekati Islam.
“Islam juga turut berkembang menerusi politik iaitu apabila ketua kerajaan memeluk Islam, maka ramailah rakyat yang mengikuti. Apabila kerajaan Islam melebarkan jajahan, kawasan baru yang ditaklukinya akan turut menerima Islam,” katanya.
Beliau berkata, kedatangan Islam turut mempengaruhi dan mencetuskan budaya baru di kalangan masyarakat Melayu antaranya wujud sistem tulisan jawi yang berasal daripada tulisan Arab.
“Bagaimanapun terdapat beberapa sebutan seperti ‘nga’ atau ‘ga’ yang tidak terdapat dalam sebutan Arab tetapi ada dalam percakapan orang Melayu, ditambah di dalam huruf jawi oleh ulama Nusantara,” katanya.
Katanya, corak berpakaian masyarakat Melayu juga turut mengalami perubahan dan disesuaikan dengan syariat Islam yang melarang lelaki atau wanita mendedahkan aurat mereka. Hasilnya wujudlah baju kurung, selendang selain songkok dan serban.
Selain itu, Islam turut mempengaruhi aspek sastera dan kesenian dalam kehidupan masyarakat Melayu apabila hikayat Melayu mula dihasilkan selain terdapat ukiran ayat al-Quran dan tulisan khat ditemui pada batu nesan dan bangunan.
Seterusnya amalan budaya seperti majlis khatam al-Quran, majlis kesyukuran, kenduri arwah turut diserap ke dalam budaya Melayu.
“Kesedaran mengenai pentingnya mendalami ilmu agama menyebabkan munculnya ulama Melayu di Nusantara yang sanggup berkelana mencari ilmu di Pattani sehinggalah ke Makkah,” katanya.

FAKTA
Kedatangan Islam di Nusantara
-Sebelum kedatangan Islam, pengaruh Hindu Buddha yang berasal dari India dikatakan sudah menular ke Nusantara seawal abad keempat.
-Melaka menjadi pusat pengembangan Islam selepas pengaruh kerajaan Samudera Pasai menurun.
-Hukum kanun Melaka yang ditulis pada abad ke-15 menjadi bukti hukum Islam diterima sebagai sebahagian daripada perlembagaan Melaka. Ia diikuti Undang-undang Pahang yang mengisytiharkan Pahang sebagai Darul Islam (negeri Islam) di mana 42 daripada 68 fasal dalam undang-undang itu diterjemah daripada hukum fekah mazhab Syafie.
-Penyebaran Islam ke rantau Asia Tenggara dilakukan menerusi perdagangan, penaklukan, peranan pendakwah, perkahwinan, tentera upahan luar yang memeluk Islam ketika berkhidmat di kerajaan Islam selain peranan dan sokongan pemerintah.

tamat.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home