Thursday, September 06, 2007

mangsa saka

nasron35

Misteri - diganggu saka lembaga hitam

Oleh Nasron Sira Rahim
nasron@bharian.com.my

“SAYA memang menerima qada dan qadar ini serta reda atas setiap ujian Allah SWT tetapi kadang-kadang saya terfikir mengapa sanggup seseorang itu ‘mengorbankan’ keluarga mereka sendiri semata-mata demi mewarisi adat nenek moyang yang jelas bertentangan dengan Islam?”
Demikianlah luah Alia, tatkala mengenangkan masalah gangguan saka yang sudah lebih 20 tahun menghantui hidup dirinya, ibu dan ahli keluarga lain. Pastinya tiada siapa sanggup mengharungi hidup sepertinya, sedari kecil hinggalah dewasa, hampir setiap hari dilalui dengan pelbagai gangguan mistik dan menyeramkan angkara saka warisan keturunan bapanya.
Ikutilah luahan wanita ini, sepenuhnya:
Datuk meninggal dunia ketika saya masih kecil, baru darjah dua. Sebelum meninggal, datuk di sebelah ayah saya itu lumpuh selama setahun.
Sejak kematian datuk, selalu ada kesan lebam di badan saya terutama bahagian peha ke bawah tetapi ibu anggap ia perkara biasa kerana kanak-kanak sering bermain, kerap jatuh dan terlanggar.
Semasa saya di sekolah rendah, ayah bekerja di negeri lain menyebabkan kami tinggal berasingan dengannya. Dalam masa ketiadaan ayah itulah saya dan adik beradik lain selalu terlihat kelibat lembaga hitam yang amat besar dan berbentuk seakan manusia di rumah kami. Lembaga hitam itu setinggi kira-kira dua meter sehingga mencecah siling.
Saya selalu demam terkejut melihat lembaga berkenaan. Saya beritahu ibu tapi ibu kata itu hanyalah khayalan kanak-kanak.
Disebabkan ayah bekerja di negeri lain, dua minggu sekali barulah dia pulang melihat kami sekeluarga. Dua atau tiga hari sebelum ayah pulang, saya dan ibu pasti terdengar suara ayah memanggil tetapi apabila berlari ke pintu dan membukanya, saya hanya terlihat kelibat lembaga hitam.
Ibu selalu mengadu sakit pinggang dan bisa di kaki. Badannya terasa seperti dicucuk jarum halus apabila ayah ada pulang. Dalam rumah pula, selalu muncul serangga berbentuk belalang bersaiz empat hingga lapan sentimeter panjang, berwarna hijau, jingga kunyit dan merah malah serangga itu berbunyi sungguh kuat dan berdesing.
Ketika kami berpindah tinggal bersama ayah apabila saya di sekolah menengah, keadaan menjadi bertambah teruk. Saya selalu lewat bangun ke sekolah kerana apabila tidur pada malam, badan terasa dihimpit lembaga hitam yang besar.
Apabila bangun tidur, lebam sebesar syiling 50 sen atau lebih besar kelihatan di kaki dan di tengah bulatan itu ada bentuk gigi. Di tengah pinggang terasa seperti paku menyucuk. Sebelum saya ‘datang bulan’, ada lebam di peha dan kitaran darah haid saya tidak normal malah kadang-kadang tiada langsung.
Sebelum muncul lebam, serangga berbentuk belalang muncul dalam rumah bersama bau bangkai yang amat busuk lebih dari bangkai tikus selain bau darah hanyir. Perkara ini kerap berlaku pada malam Jumaat dan badan saya akan berasa panas. Saya sering mengadu kepada ayah tetapi ayah marah dan memberi pelbagai alasan.
Oleh kerana kerap berlaku penyakit itu, saya, ibu dan adik-beradik lain mengambil ujian darah kerana khuatir menghidap leukimia. Ujian darah bagaimanapun mengesahkan kami sihat.
Disebabkan keadaan kami semakin mudarat dan pemeriksaan kesihatan moden gagal mengesan sebarang penyakit, kami cuba berubat tradisional dan ramai pengamal perubatan mengatakan kami terkena sihir.
Ada antara mereka menyuruh kami mandi air garam, air daun, air tujuh masjid, tujuh kolah, tujuh perigi, air zamzam, meletak jala dalam rumah dan pelbagai kaedah lain tetapi lebam, bisa badan dan sakit pinggang tidak berkesudahan malah semakin teruk.
Perangai ayah juga berubah sejak kami tinggal bersamanya. Setiap malam Jumaat, dia bergegas ke rumah nenek tapi sebelum itu akan mengamuk dan naik berang tidak tentu pasal. Saya, ibu dan ahli keluarga lain selalu hidup dalam ketakutan.
Kami terus berubat tradisional dan daripada seorang pengamal perubatan, kami diberitahu yang masalah dihadapi ibu dan saya berpunca daripada ‘belaan’ keluarga suami. Dia menyatakan lebam itu akibat jin belaan memakan darah sebagai perjanjian untuk menjaga harta benda dan anak cucu yang dibuat lama dulu oleh keturunan ayah.
Beliau menyuruh ibu membawa ayah berjumpa dengannya jika hendak berubat. Ayah datang dan pengamal perubatan menjelaskan sendiri kepada ayah tapi sebaik mendengar penjelasan itu, ayah benar-benar marah dan tidak percaya. Dia menuduh keluarga ibu terbabit.
Kali ketiga kami datang untuk berubat, pengamal perubatan itu tidak lagi mahu menerima kedatangan kami kerana keluarganya kacau bilau dan isteri pengamal perubatan itu dirasuk lembaga hitam dan berbulu. Yang peliknya, sesiapa saja termasuk pengamal perubatan yang hendak menolong saya dan ibu pasti dilanda musibah pelik-pelik.
Dari cerita yang saya dengar daripada ayah, bapanya iaitu datuk saya pernah menuntut di Pulau Jawa kononnya dengan keturunan Wali Songo dalam bab agama. Wallahualam.
Sejak itu, saya dan ibu sakit bertambah teruk - selalu demam, tidur malam terasa dihimpit dan bermimpi dirogol lembaga hitam besar. Apabila tersedar dari tidur, kemaluan terasa disiat dan disedut, lebam dan bekas tangan manusia kelihatan di kedua belah peha.
Sehinggalah kami bertemu seorang ustaz untuk berubat. Selepas diperiksa, ustaz itu mula menerangkan dengan terperinci perkara sebenar:
“Keturunan sebelah ayah dulu ada membuat perjanjian dengan makhluk itu melalui perantaraan seseorang yang dianggapnya sebagai ‘wali’ semasa menuntut. Wali itu menghadiahkan ‘khadam’ untuk menolong menjaga harta benda dan keturunan anak cucunya, membuka kebun selain menjadikan orang lain melihatnya gagah, kuat dan berasa gerun.
“Setelah datuk meninggal, makhluk itu terbiar lama, tidak diberi layanan dan ganjaran seperti janji tuannya dulu menyebabkan ia mengamuk dan mahukan layanan. Sebelum kehadiran makhluk jin besar keturunan Ifrit jantan atau digelar hantu raya dalam budaya Melayu itu, akan ada bau busuk dan serangga seperti belalang atau serangga lain.
“Makhluk itu berbulu seperti mawas, amat ganas dan memakan darah dan air mani manusia untuk hidup, akan menggigit dan meninggalkan tanda kepada semua keturunan keluarga ayah,” katanya.
Ustaz itu juga menerangkan, makhluk itu kadang-kadang akan menyerupai seperti ayah dan sering merogol ibu dan saya ketika tidur. Apabila kami tidur, kadang-kala bermimpi melahirkan anak kecil. Katanya bayi itu hasil anak akibat digauli lembaga terbabit manakala bekas gigitan, lebam serta telapak tangan adalah jilatan makhluk itu.
Makhluk itu juga berupaya mengacau-bilau dan memecah belahkan keluarga jika tuntutannya tidak dipenuhi. Ustaz itu menambah, jika tidak berhati-hati, kemungkinan akan ada kematian kerana makhluk itu mahukan makanannya (darah) yang banyak. Saya tidak tahu betul atau tidak, tetapi ramai keluarga di sebelah ayah yang mati pada usia muda. Wallahualam.
Kami berubat tapi masalah lebam masih berterusan dan mimpi dirogol masih ada. Saya juga kerap bermimpi anak kecil selain bermimpi melahir dan menyusukan bayi. Pernah sekali antara sedar atau tidak, saya melihat lembaga hitam menyerupai ayah mengaku yang ‘ia’ sudah mati dan hendak memeluk saya.
Apabila saya sedar, saya menjerit dan lembaga itu hilang. Dua tiga hari selepas insiden itu, bau hanyir darah memenuhi bilik. Semua cadar dicuci tetapi bau masih ada. Insiden pelik lain adalah kerap kali ketika di rumah, ada bunyi sesuatu menghempap bumbung dan mencakar siling terutama pada tengahari dan malam.
Kelakuan ayah juga pelik apabila membiarkan satu panel siling terbuka pada setiap bilik, meletakkan parang atau sebilah pisau kecil di bawah permaidani, katil atau kerusi dan makan dalam kuantiti yang banyak malah berpinggan-pinggan.
Selepas datuk meninggal, ayah ada menyimpan keris kecil yang katanya, itu adalah keris pusaka yang harus dijaga rapi selain sehelai kain putih berbentuk gelang yang dililit.
Setiap malam Jumaat atau malam Rabu, ayah memakai wangian minyak atar yang baunya sungguh kuat dan membuka semua tingkap dengan luas. Ayah juga tidak mahu tidur dengan ibu dan mengunci diri dalam bilik keseorangan.
Pernah saya mengintai dan melihat dia bercakap seorang diri; ketika itu di luar rumah akan ada bunyi serangga menyerupai belalang yang berdesing dengan kuat.
Ustaz yang kami temui juga pernah berkata, datuk saya itu tidak boleh meninggal dunia selagi ‘amalannya’ diturunkan kepada waris keturunannya menyebabkan ustaz itu menasihatkan saya dan ibu supaya terpaksa memutuskan hubungan dengan ayah dan duduk sejauh mungkin bagi mengelakkan gangguan berterusan.
Alhamdulillah, kami mengikuti nasihat itu. Kini saya menetap di luar negara dan dalam proses untuk membawa ibu tinggal bersama-sama. Masalah lebam masih ada tetapi sudah tidak seteruk dulu.
Buat masa kini, saya mengamalkan bacaan beberapa ayat suci al-Quran dan bersolat lebih tekun untuk mengelak diganggu. Bisa di badan dan mimpi dirogol atau dihempap makhluk hitam, Alhamdulillah sudah tiada.
Memang sukar untuk masyarakat mempercayai perkara ini, tetapi pada hakikatnya inilah masalah yang melanda masyarakat Melayu hingga kini.
Mungkin ada sesetengah pihak menganggap perkara ini remeh tetapi amalan saka jika tidak dibendung membawa mudarat - perpecahan rumah tangga, perceraian suami isteri, syak wasangka, pergaduhan antara saudara dan masyarakat, sakit misteri berlanjutan dari segi fizikal dan mental serta hidup tidak lagi tenang.
Saya berharap jika ada sesiapa yang menghadapi masalah saka, berubatlah dan buanglah perkara jahil ini. Bertaubat serta kembalilah ke jalan Islam yang sebenar dan percayalah kepada kekuasaan Allah dan amalan para nabi dan rasul.

INFO
Saka
- Saka adalah amalan mewarisi jin atau syaitan untuk membolehkan makhluk halus itu memberikan pemiliknya pelbagai kekuasaan ghaib seperti kekuatan luar biasa, kecantikan, pengaruh dalam masyarakat dan pelbagai lagi.
- Hukum mewarisi dan menggunakan saka adalah syirik dan haram di dalam Islam.
- Jin yang menjadi saka boleh memperdaya tuannya seperti menjelma di dalam mimpi sebagai seorang yang warak dan kuat beribadat. Akan tetapi ia bagi memastikan manusia itu terpedaya dengannya seterusnya sesat dari Islam.
- Saka tidak semestinya diwariskan kepada saudara sedarah tetapi kepada sesiapa saja dan cara mewariskan saka pula pelbagai antaranya menerusi perbuatan seperti bersalaman, menerusi lafaz atau menyerahkan barang tertentu seperti keris, cincin, azimat termasuk kertas bertulis ayat al-Quran.

tamat.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home