Tuesday, September 04, 2007

SIRI 3: Ted Bundy pembunuh bersiri

nasron40

Fail Jenayah - Ted Bundy

SIRI III

Susunan Nasron Sira Rahim
nasron@bharian.com.my

KES kehilangan misteri ramai wanita muda dari seluruh Amerika Syarikat (AS) pada 1974 mula memeningkan pihak berkuasa berikutan mereka masih buntu mengenalpasti penjenayah yang menjadi dalang di sebalik kegiatan berkenaan.
Pihak berkuasa tempatan mula menghubungi polis di negeri lain untuk berkongsi maklumat mengenai kejadian kehilangan wanita muda yang pernah direkodkan dan mereka mula mendapati yang ia seolah-olah berhubung kait.
Perkongsian maklumat itu akhirnya menemukan mereka dengan satu nama - Theodore Robert Bundy. Apabila dua kes penculikan membabitkan Carol Da Ronch dan Debbie Kent dilaporkan di Salt Lake City, Utah pada 8 November 1974, polis mendapati seorang lelaki bernama Ted Bundy pernah menuntut di situ sekitar waktu kejadian.
Bagaimanapun maklumat itu tidak diberi tumpuan utama berikutan polis beranggapan yang penjenayah adalah seorang lelaki gila dan bukannya pelajar undang-undang yang memiliki kecenderungan politik.
Setahun selepas itu, pihak berkuasa Colorado dikejutkan dengan beberapa siri pembunuhan bermula dengan kehilangan seorang wanita, Caryn Campbell pada 12 Januari 1975. Mayat gadis itu ditemui pada 17 Februari.
Pada 15 Mac pula, Julie Cunningham dilaporkan hilang ketika dalam perjalanan ke Vail, diikuti sebulan kemudian, Melanie Cooley hilang ketika sedang berbasikal di Nederland. Mayatnya ditemui lapan hari kemudian dengan kesan kecederaan teruk pada bahagian tengkorak selain seluarnya terkoyak.
Pada 1 Julai, Shelly Robertson dilaporkan hilang dan mayatnya ditemui di sebuah lombong tinggal dekat Berthoud pada 23 Ogos.
Ketika masih buntu mengesan pembunuh bersiri itu, pengawasan polis menyebabkan Ted Bundy ditahan di Salt Lake City pada 16 Ogos 1975 kerana disyaki terbabit dalam kes pecah rumah.
Ted Bundy ditahan ketika selepas memandu laju di lebuh raya Utah dan tindakannya itu menyebabkan dia dikejar peronda lebuh raya, Sarjan Bob Hayward yang curiga kerana tiada penduduk tempatan memandu Volkswagen di bandar itu.
Hayward mengejar kereta itu sehinggalah ia berhenti di sebuah stesen minyak. Pemeriksaan mendapati pemandu Volkswagen itu bernama Theodore Robert Bundy dan polis menjumpai besi pengumpil, topeng ski, tali, gari, wayar dan pemecah ais di dalam kenderaan berkenaan manakala kerusi penumpang di bahagian belakang tidak ada.
Sebaik Ted Bundy ditahan, polis mula menyiasat kaitannya dengan kes penculikan Carol Da Ronch. Carol Da Ronch diculik pada 8 November 1974 tetapi berjaya melarikan diri dan gadis itu mengenalpasti wajah Ted Bundy, kereta, besi pengumpil dan gari yang ditemui dalam Volkswagen itu adalah jenis sama digunakan penculiknya.
Polis mengesyaki Ted adalah orang yang bertanggungjawab menculik Melissa Smith, Laura Aime dan Debby Kent berikutan terlalu banyak persamaan yang boleh mengaitkan Ted dengan kes terbabit.
Ted Bundy kemudian dihadapkan ke mahkamah tetapi polis gagal mengaitkan Ted dengan kes pembunuhan sebaliknya beliau hanya didakwa kerana kesalahan menculik. Selepas berbulan-bulan kesnya dibicarakan, akhirnya Ted Bundy didapati bersalah kerana menculik Carol Da Ronch dan dihukum penjara 15 tahun pada 1 Mac 1976.
Pada masa sama, polis masih meneruskan siasatan untuk mengaitkan Ted dengan kes pembunuhan bersiri.

Minggu depan: Ted Bundy melarikan diri dari penjara.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home