ulama besar terengganu - tokku paloh
nasron46
Jejak - Tokku Paloh, ulama Terengganu
Oleh Nasron Sira Rahim
nasron@bharian.com.my
ULAMA Besar Terengganu pada abad ke-19, Tokku Paloh atau nama sebenarnya Sayyid Abdul Rahman Al-Idrus, turut dikenali sebagai wali Allah yang penuh keramat serta sangat ditakuti penjajah.
Diceritakan pada suatu ketika, British cuba berunding dengan Sultan Terengganu iaitu Sultan Zainal Abidin III supaya membenarkan mereka menduduki kawasan Bukit Besar tetapi baginda menyuruh penjajah itu menemui Tokku Paloh.
Baginda menyebut, “Terengganu ini ada tuannya, hendaklah berunding dengan tuannya terlebih dulu,” yang mungkin bermaksud bahawa Tokku Paloh adalah orang yang lebih berhak memutuskan permintaan berkenaan.
Mendengar jawapan Sultan Terengganu itu, sepasukan pegawai British kemudian bergerak ke rumah wali Allah itu untuk berunding. Tokku Paloh mengatakan bahawa mereka boleh ‘mengambil’ Bukit Besar dengan syarat bukit itu dibawa balik ke negeri mereka.
“Kalau untuk mencampuri urusan pentadbiran kami, saya menolak walau atas alasan apa sekalipun tapi kalau hendak tanah, silakan. Isikan ke dalam armada tuan sebanyak mana yang pihak British mahu, ambillah tanah,” demikianlah jawapan ulama besar itu.
Mendengar jawapan sindiran daripada ulama itu, British berasa sakit hati dan cuba menunjukkan kemarahan mereka dengan bangun dari kerusi yang diduduki. Akan tetapi, dengan izin Allah, secara tiba-tiba kerusi yang diduduki penjajah melekat di punggung mereka.
Lalu Tokku Paloh menyindir, “Bukan Bukit Besar saja yang kamu mahu ambil, tapi kerusi saya pun kamu mahu ambil juga?” sekali gus menyebabkan British beredar dengan perasaan malu.
Selepas peristiwa itu, British cuba berunding untuk kali kedua dan proses itu diadakan di atas kapal perang mereka yang besar. Ia bertujuan untuk mengugut ulama itu secara psikologi kononnya British memiliki angkatan perang yang besar dan mampu menyerang Terengganu jika hasrat mereka menduduki negeri itu dihalang.
Mereka menjemput Tokku Paloh ke kapal berkenaan tetapi ulama itu mengatakan bahawa kapal perang besar itu tak mampu bertahan jika beliau naik ke atasnya.
Pihak British kemudian ketawa mengejek sebaik mendengar kata Tokku Paloh itu. Ulama itu kemudian naik ke kapal berkenaan dan dengan izin Allah juga, setiap kali Tokku Paloh menyengetkan serbannya ke kanan atau ke kiri, maka kapal besar itu turut senget. Keadaan itu mencemaskan pihak British sehingga mereka membatalkan rundingan itu serta merta.
Pada masa yang lain pula, penjajah itu cuba menghampiri perairan Terengganu tetapi mereka mula ketakutan sebaik melihat negeri itu dijaga pahlawan Melayu yang siap bersenjata sejauh mata memandang. Keadaan itu menyebabkan mereka takut menjajah Terengganu selagi Tokku Paloh masih hidup.
Demikianlah antara beberapa kisah kekeramatan Tokku Paloh, seorang ulama besar yang hidup pada zaman penjajahan British sedang melanda tanah air kita.
Selain menjadi guru kepada Sultan Zainal Abidin III dan Haji Abdul Rahman Limbong iaitu pejuang penentang penjajah di Terengganu, ulama itu juga turut bertanggungjawab menyemarakkan semangat jihad di kalangan pejuang penentang penjajah di Pahang iaitu Datuk Bahaman, Tok Gajah dan Mat Kilau.
Peristiwa itu berlaku apabila pasukan pimpinan Datuk Bahaman, Tok Gajah dan Mat Kilau
hampir-hampir menyerah diri selepas mengalami tekanan dan serangan berterusan daripada tentera penjajah pimpinan Residen British, Hugh Clifford.
Keadaan tersepit itu menyebabkan mereka berlindung di hutan Terengganu dan menghubungi Tokku Paloh pada Mei 1894. Sebaik bertemu dengan ulama itu, mereka diberi perlindungan dan diajar ilmu untuk menentang musuh.
Hasil perguruan singkat dengan ulama itu menyebabkan semangat kumpulan pejuang terbabit kembali membara dan mereka terus tekad melancarkan jihad menentang penjajah British di Pahang.
Walaupun dikenali sebagai ulama, Tokku Paloh turut membabitkan diri dalam bidang pentadbiran dan diplomatik di Terengganu apabila dilantik menjadi Ahli Majlis Mesyuarat Negeri Terengganu selain penasihat utama Sultan Terengganu dalam pelbagai hal.
Malah, ketegasan dan kepintarannya dalam hal ehwal diplomatik menyebabkan ulama itu sering diberi peluang mewakili Sultan untuk berunding dengan British hingga penjajah itu gagal menawan Terengganu.
Tokku Paloh dilahirkan pada 1817 di Kampung Cabang Tiga, Kuala Terengganu dan keluarga beliau dikatakan berasal daripada keturunan Rasulullah SAW.
Ulama besar itu mendapat pendidikan awal daripada bapanya sendiri iaitu Saiyid Muhammad al-Aidrus atau dikenali Tokku Tuan Besar, selain beberapa ulama tempatan sebelum berhijrah ke Makkah untuk mendalami ilmu agama dan menimba pengalaman.
Sekembalinya dari Makkah selepas kira-kira 10 tahun menuntut ilmu di sana, Tokku Paloh terus mengajar di masjid peninggalan ayahnya di Kampung Cabang Tiga, Terengganu sebelum membabitkan diri dalam bidang pentadbiran negeri.
Tokku Paloh memiliki banyak ilmu dalam bidang kerohanian terutama ilmu tasawauf dan sufi. Beliau juga menjadi khalifah kepada Tareqat Naqsyabandiah dan turut mengamal serta mengembangkan amalan ‘Syahadat Tokku’ iaitu satu amalan yang disusun oleh bapanya.
Kepercayaan sultan terhadap dirinya menyebabkan Tokku Paloh diamanahkan Sultan Zainal Abidin III untuk mentadbir kawasan Paloh selain mengawasi beberapa daerah di Hulu Terengganu antaranya Kuala Berang hingga Cabang Tiga.
Dalam usaha memastikan kawasan pentadbirannya terhindar daripada perbuatan maksiat dan pelanggaran undang-undang, Tokku Paloh menubuhkan pasukan penguatkuasanya sendiri yang dikenali sebagai ‘Budak Raja’. Pasukan Budak Raja ditugaskan menjaga keamanan sama seperti fungsi pasukan polis pada hari ini.
Bagi memastikan keselamatan dan kebajikan masyarakat setempat terjaga, Tokku Paluh gemar keluar pada malam hari malah pada hari tertentu, beliau keluar dengan mengenakan kain selubung di kepala.
Tindakannya itu bertujuan membolehkan beliau meninjau kehidupan masyarakat dan sekiranya beliau mendapati ada perkara tidak baik berlaku, Tokku Paloh akan memerintah Budak Raja membuat tangkapan pada keesokan hari.
Ulama itu juga memiliki mahkamah sendiri di Paloh untuk mengadili pesalah di kawasan pentadbirannya. Usaha beliau itu mendapat perkenan daripada pihak istana.
Hubungan rapat antara Tokku Paloh dan Sultan Zainal Abidin menyebabkan baginda menyerahkan puteranya iaitu Tengku Sulaiman untuk dijadikan anak angkat dan anak murid Tokku Paloh.
Malah seorang daripada isteri Tukku Paloh iaitu Tengku Mandak ialah kekanda Sultan Zainal Abidin III sendiri.
Tokku Paloh akhirnya wafat pada September 1917 selepas jatuh sakit pada usia 100 tahun. Tidak lama kemudian, Sultan Zainal Abidin III mangkat pada 26 November 1918. Selepas kewafatan ulama itu, barulah British berani dan berjaya menjajah Terengganu pada 24 Mei 1919.
sumber: http://www.trglib.gov.my/jaringan/trg/tukku_paloh.htm (lawan web Perbadanan Perpustakaan Awam Terengganu), koleksi artikel Allahyarham Wan Mohd Shaghir Abdullah.
PROFIL:
Tokku Paloh
Nama sebenar: Sayyid Abdul Rahman Al-Idrus.
Asal: Kampung Cabang Tiga, Kuala Terengganu, Terengganu.
Tahun lahir: 1817
Tahun wafat: 1917 (usia 100 tahun)
Sumbangan: Ulama besar Terengganu pada abad ke-19
tamat.

0 Comments:
Post a Comment
<< Home