Tuesday, September 04, 2007

penentangan pelombong Cina di Sarawak pada 1857

nasron39

Jejak - Penentangan Orang Cina terhadap penjajah

Oleh Nasron Sira Rahim
nasron@bharian.com.my

PENENTANGAN terhadap penjajah di Sarawak tidak saja dipelopori penduduk tempatan dan Bumiputera tetapi juga sekumpulan kongsi Cina yang menjalankan aktiviti perlombongan emas di Bau iaitu sebuah daerah yang terletak kira-kira 35 kilometer dari bandar Kuching.
Cerita penentangan itu bermula pada 18 Februari 1857 iaitu 24 hari selepas perayaan Tahun Baru Cina:
Liu Shanbang berdiri memandang kira-kira 600 pelombong Cina yang berjaya dikumpulnya di hadapan kuil lama ‘Tian Sze Lung Kiung’ di Mau San. Mereka semua lengkap bersenjata dan sedang menunggu arahan daripadanya.
Hari itu, mereka akan melakukan satu tindakan besar bagi membela kaum mereka daripada terus ditekan dan dianiaya bangsa asing pimpinan James Brooke. Sudah terlalu banyak tekanan dan penindasan dilakukan terhadap kaum mereka sebelum ini tetapi mereka tetap berdiam diri.
Cukai kepala dikenakan terhadap mereka walaupun mereka terlebih dulu melombong di kawasan itu, lama sebelum James Brooke tiba dan mula menjajah Sarawak pada 1841.
Ketika kerajaan bangsa asing itu membunuh dan mengusir keluar anggota masyarakat mereka yang enggan membayar cukai, mereka masih berdiam diri dan bersabar.
Akan tetapi selepas warisan cara hidup dan hak mereka mula diperkotak-katikkan, mereka sudah tidak dapat bersabar lagi. Larangan mengimport candu, arak dan mengeksport serta berdagang emas ke luar negara oleh bangsa asing itu dianggap sudah melampau. Mereka perlu bangkit membela hak mereka.
Selepas mendapati semua kelengkapan cukup dan pengikutnya bersiap sedia, Liu Shanbang yang juga pemimpin kongsi Cina di kalangan puak Hakka di Bau mula memberikan arahan.
Seterusnya ratusan angkatan pelombong bersenjata terbabit berarak ke Pangkalan Bau yang terletak kira-kira satu kilometer dari lokasi terbabit. Di pangkalan itu, 30 perahu besar sudah sedia menanti.
Ratusan pelombong itu kemudian memenuhi ruang dalam 30 perahu besar itu dan mereka mula menyusuri Sungai Sarawak Kanan menuju Tondong yang terletak kira-kira dua jam perjalanan dari situ.
Kehadiran ratusan pelombong dengan lengkap bersenjata di muara sungai itu mengejutkan seorang pedagang yang turut menyusuri sungai itu. Dalam tertanya-tanya, dia mengesyaki sesuatu yang buruk bakal berlaku.
Tanpa disedari kumpulan pelombong Cina berkenaan, pedagang terbabit segera bertolak ke Kuching untuk memaklumkan kejadian berkenaan kepada pihak terbabit.
Matahari sudah terik di atas kepala masing-masing apabila kumpulan pelombong terbabit merapati tebing sungai di daerah Tondong. Mereka mula turun dari perahu terbabit dan berkumpul di tebing sungai berkenaan.
Sebaik Liu Shanbang menjejakkan kaki di daerah itu, dia mula memberikan arahan berikutnya dan kumpulan pelombong bersenjata itu mula bergerak ke Kuching dengan penuh keazaman.
Dalam pada itu, pedagang yang bertembung dengan angkatan pelombong terbabit sampai di Kuching dan dia segera memaklumkan kejadian berkenaan kepada saudaranya, Encik Gapur. Mereka kemudian menghadap Datu Bandar Kuching dan menyampaikan perkara berkenaan.
Bagaimanapun, Datu Bandar berasa ragu dengan berita berkenaan menyebabkan dia mengambil keputusan untuk tidak melaporkan kepada Kerajaan British pimpinan James Brooke.
Terik sinaran suria semakin malap, tengah hari mula berganti petang tetapi kumpulan pelombong Cina itu terus melangkah dengan penuh waspada. Menjelang tengah malam, mereka tiba di Kuching.
Di satu kawasan rahsia di Kuching, Liu Shanbang kembali mengatur strategi - sebahagian daripada 600 pelombong itu akan bergerak di bawah pimpinannya menuju kediaman James Brooke manakala satu kumpulan lagi akan bergerak memasuki bandar Kuching untuk menyerang dan menawan kawasan itu.
Tidak lama selepas itu, bumi Kuching mula bergolak. Jeritan dan pekikan serangan bergema membelah langit malam. Pegawai dan tentera British yang gagal menyedari serangan berkenaan panik melihat amukkan pelombong Cina itu.
Bangunan British dimusnah dan dibakar manakala lima penduduk berbangsa Eropah termasuk seorang pegawai bernama Harry Nicholetts yang disangka pelombong terbabit sebagai James Brooke, dibunuh. Orang Eropah lain berlari ketakutan dan menyelamatkan diri dengan berlindung di sebuah gereja.
Di suatu lokasi lain, kekacauan di luar kediamannya menyebabkan James Brooke tersentak. Sebaik menoleh ke luar, dia mendapati ratusan pelombong Cina sedang menyerbu ke dalam rumahnya dengan penuh ganas.
Dalam ketakutan, lelaki asing itu berlari keluar dan terjun ke sungai berhampiran rumahnya. Dia menyembunyikan diri dengan berenang di bawah beberapa jong Cina yang terdapat di dalam sungai berkenaan.
Raja Putih Sarawak itu nyaris dibunuh, jika lambat menyedari serangan berkenaan, mungkin dia sudah menjadi mayat di bumi orang.
Di kediaman lelaki berbangsa asing itu, Liu Shanbang memimpin pasukannya mengamuk dan memusnahkan apa saja yang dijumpai mereka. Kemudian mereka mula menyalakan api dan membakar rumah berkenaan.
Kekacauan itu mula reda apabila mentari pagi menjelma. Tarikh 19 Februari 1857, orang Cina dari Bau mengambil alih bandar Kuching dan mula mengatur pentadbiran baru. Pengurus dan pedagang Syarikat Borneo, Ludvig Helms dan Rupell diminta menjaga kepentingan penduduk Eropah yang terselamat di Kuching, Datu Bandar bertanggungjawab terhadap orang Melayu dan masyarakat Cina di bandar itu diuruskan kongsi Hakka.
Kemenangan menawan Kuching bagaimanapun menyedarkan Liu Shanbang mengenai satu perkara. Charles Brooke iaitu anak saudara James Brooke mungkin akan menyerang mereka tidak lama lagi bagi membalas dendam terhadap ‘kematian’ bapa saudaranya itu.
Menyedari hakikat itu, Liu Shanbang dan pengikutnya berundur kembali ke Bau. Bagaimanapun, pada 21 Februari 1857, perjalanan pulang kumpulan terbabit diserang angkatan Abang Peta Datu Temenggung.
Pelombong Cina itu kemudian mengumpul lebih ramai anggotanya dan membatalkan hasrat untuk berundur sebaliknya kembali ke Kuching.
James Brooke yang disangka sudah terbunuh oleh pelombong terbabit kemudian muncul dan mula memimpin pasukan penentang untuk menawan kembali Kuching. Bagaimanapun sebaik sampai di bandar itu, mereka mendapati angkatan pelombong Cina yang lebih ramai berkubu di situ.
Bangsa asing itu nekad menyerang tetapi mereka akhirnya dikalahkan dan terpaksa melarikan diri.
Pada 23 Februari 1857, pasukan bantuan pimpinan Charles Brooke tiba dari Skrang. Mereka bergabung dengan pasukan James Brooke dan mula membedil bandar Kuching.
Serangan itu berjaya menenggelamkan beberapa perahu pelombong Cina terbabit menyebabkan ada antara mereka berundur ke dalam hutan manakala sebahagian lain berundur dan membina kubu pertahanan di Lidah Tanah.
Bagaimanapun, kubu berkenaan gagal menahan serangan balas dan sekali lagi kumpulan pelombong terbabit berundur ke Jugan Siniawan dan membina kubu di situ pula.
Pasukan James Brooke terus memburu dan peperangan sengit berlaku di kubu berkenaan. Tentangan hebat diberikan pelombong Cina menyebabkan pasukan James Brooke gagal menembusi kubu berkenaan.
Akhirnya James Brooke mula memasang helah. Beliau mula menghentikan serangan dan menghantar seorang utusan bersama beberapa tong arak kepada Liu Shanbang sebagai tanda perdamaian.
Pelombong Cina yang menyangka tentera berbangsa asing itu sudah menyerah kalah kemudian mula merayakan kemenangan mereka pada malamnya. Ketika itulah pasukan James Brooke mula bertindak.
Kelekaan pelombong Cina terbabit menyebabkan pasukan James Brooke kembali melancarkan serangan hendap terhadap kubu berkenaan sehingga menyebabkan Liu Shanbang bersama kira-kira 100 pengikutnya terbunuh.
Kekalahan pasukan Liu Shanbang itu menyebabkan angkatan perang James Brooke mara ke Bau dan membunuh semua penduduk Cina yang mereka temui. Sebahagian penduduk Cina yang tidak sempat melarikan diri ke Sambas, Indonesia, menyembunyikan diri di dalam gua berhampiran.
Bagaimanapun, sebaik mengetahui lokasi persembunyian berkenaan, pasukan James Brooke dengan kejamnya bertindak menyalakan api di hadapan pintu gua mengakibatkan ratusan penduduk Cina itu mati terbakar dan lemas.
Kekejaman pasukan James Brooke tidak terhenti di situ. Hampir 2,000 penduduk Cina di Mau San turut dibunuh dengan kejam bagi membalas dendam terhadap penentangan yang lancarkan pelombong terbabit terhadap mereka.



FAKTA
Penentangan pelombong Cina terhadap Brooke.
- Sebelum penjajahan James Brooke terhadap Sarawak pada 1841, kumpulan kongsi Cina dari puak Hakka pimpinan Liu Shanbang terlebih dulu menetap dan menjalankan perlombongan emas di beberapa kawasan di Bau antaranya Mau San, Bidi, Tondong dan Paku.
- Sehingga penghujung 1850-an, semakin ramai pelombong Cina yang berhijrah secara besar-besaran dari Sambas, Indonesia ke Bau untuk menyertai perlombongan sehingga jumlah mereka dianggarkan kira-kira 4,000 orang.
- Kewujudan ramai penduduk Cina itu mengutuskan gentar di jiwa James Brooke lantaran ada antara mereka yang bertindak agresif termasuk melakukan jenayah dan mewujudkan beberapa kumpulan kongsi gelap yang dikhuatiri menggugat kerajaan pimpinannya.
- Kerajaan Brooke mengenakan ‘cukai kepala’ kepada setiap penduduk dan sesiapa yang enggan menuruti arahan berkenaan akan dibunuh atau dihalau keluar dari bumi Sarawak. Bagaimanapun, Kongsi Hakka tidak melaporkan jumlah sebenar anggota mereka bagi mengelak dikenakan cukai tinggi
- Pada 1850, seorang ejen kongsi gelap dari Singapura datang ke Sarawak untuk menubuhkan kongsi gelap ‘Hueh’ tetapi dia ditahan dan dihukum bunuh.
- Pertelingkahan yang agak rumit berlaku pada 1852 apabila Liu Shanbang enggan menyerahkan seorang anggota Hueh yang melakukan jenayah kepada Kerajaan Brooke. Akibatnya, Charles Brooke menghantar sepasukan tenteranya untuk menangkap penduduk Cina terbabit manakala pelombong Cina di Bau dihukum membina kubu Belidah berhampiran Siniawan.
- Konflik semakin tercetus apabila Syarikat Borneo ditubuhkan pada 1856 apabila pelombong Cina terbabit mula bimbang yang syarikat itu akan mengambil alih usaha mereka melombong emas di Bau.
- Pada Januari 1857, kongsi Hakka didenda 150 pound akibat menyeludup candu. Kerajaan Brooke kemudian mengenakan beberapa peraturan yang menjadi pencetus penentangan iaitu, pihak kongsi perlu membayar cukai mengikut bilangan penduduk sebenar; dilarang mengimport atau berdagang candu, arah dan lain-lain keperluan serta dilarang mengeksport atau berdagang emas atau lain-lain barang.

tamat.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home