Wednesday, August 08, 2007

firaun yang mengejar nabi musa

nasron25

Misteri - Firaun pada zaman Nabi Musa

Oleh Nasron Sira Rahim
nasron@bharian.com.my

PADA 1978, seorang ahli arkeologi bernama Ron Wyatt tampil mendakwa yang pasukannya sudah menemui roda kereta kuda silam di dasar Laut Merah.
Roda itu bagaimanapun tidak lagi berada dalam keadaan yang baik dan dipenuhi batu karang serta memerlukan proses pemeriksaan yang teliti bagi mengenalpasti apakah ia sebenarnya.
Seterusnya roda itu dihantar untuk dikaji dengan lebih terperinci dan hasilnya, artifak berkenaan didapati berasal sekitar zaman dinasti ke-18 Kerajaan Mesir Purba iaitu kira-kira 3500 tahun silam.
Penemuan itu menyakinkan Ron yang dia dan pasukannya sudah menemui satu artifak berharga - mereka sudah menemui roda kenderaan firaun yang ditenggelami lautan oleh Tuhan ketika mengejar Nabi Musa AS.
Penemuan itu sekali gus menjadi debat antara ahli arkeologi dalam mencari jawapan kepada persoalan yang menyelubungi peristiwa ‘hukuman Tuhan terhadap firuan terbabit’.
Berbeza dengan cerita legenda atau mitos dunia, kisah bala menimpa firaun dan angkatan perangnya itu sememangnya diimani tidak saja oleh umat Islam, tetapi juga golongan Nasrani (Kristian) dan Yahudi.
Dalam rentetan peristiwa mukjizat yang turut menggambarkan keajaiban kekuasaan Allah SWT itu, Nabi Musa AS serta pengikutnya sedang meninggalkan tanah air mereka selepas dakwah yang disampaikan rasul Allah itu tidak diterima pemerintah (firaun) dan kebanyakan masyarakatnya yang tetap mempercayai bahawa firuan adalah tuhan.
Bagaimanapun, ketika mereka meninggalkan kawasan itu, firaun yang terkenal kerana kekejamannya itu, membawa bersama angkatan perang dan mengejar Nabi Musa AS serta pengikutnya. Mereka terus mengejar Nabi Musa dan pengikutnya sehingga tiba di tepi lautan.
Ketika itulah Nabi Musa AS menunjukkan satu daripada mukjizat baginda apabila rasul itu menghentak tongkatnya ke laut sehingga menyebabkan lautan itu terbelah dua dan menghasilkan laluan untuk golongan mukmin melintas ke seberang.
Seterusnya Nabi Musa dan pengikutnya terus menyeberang mengikut laluan antara dua laut itu tetapi firaun dan pengikutnya terus mengikuti. Selepas semua hamba Allah yang beriman itu berjaya sampai ke seberang daratan, laut yang terbelah tadi kembali tercantum sekali gus menenggelamkan firaun dan semua pengikutnya.
Kejadian itu dinyatakan Allah SWT dalam al-Quran seperti firman-Nya: “Dan Kami selamatkan Nabi Musa serta orang-orang yang bersama dengannya, semuanya. Kemudian Kami tenggelamkan golongan yang lain (firaun dan tentera yang mengejarnya),” (Asy-Syu’araa: 65-66).
Dengan keyakinan bahawa peristiwa itu memang pernah berlaku pada zaman silam, penyelidik cuba meneroka pelusuk arkeologi bumi dengan harapan mampu menemui tinggalan artifak daripada kejadian berkenaan.
Bagi mencapai tujuan itu, mereka mula menyelidik dan menyemak silang nas kitab suci dengan catatan sejarah dunia silam bagi mencari lokasi lautan itu dibelah.
Bagaimanapun, dalam al-Quran, tidak terdapat keterangan terperinci mengenai lokasi kejadian itu berlaku sekali gus meninggalkan persoalan berkenaan kekal dalam misteri.
Rujukan pada terjemahan Kitab Kedua Perjanjian Lama yang dijadikan kitab rujukan utama kaum Yahudi dan Nasrani pula menyatakan firaun bersama tenteranya ditenggelami di Laut Merah menyebabkan ramai percaya kejadian terbabit berlaku di lautan berkenaan.
Sesetengah penyelidik lain pula percaya yang kejadian itu berlaku di pantai Mediteranean di Mesir. Di dalam Ensiklopedia Judaica misalnya, dicatatkan: “Kebanyakan pendapat hari ini mengenalpasti Laut Merah yang dinyatakan dalam juzuk Penghijrahan (dalam Kitab Perjanjian Lama) sebagai sebuah lagun di tepi pantai Mediteranean.”
Mereka berpendapat yang terjemahan ‘the red sea (laut merah)’ dalam Kitab Kedua Perjanjian Lama sebenarnya adalah ‘the sea of reeds (lautan rumput aur)’ yang mana lautan rumput aur itu terdapat di pantai Mediteranean Mesir.
Dalam Perjanjian Lama, turut tertera perkataan ‘Migdol’ dan ‘Baal-Zephon’ dalam laluan digunakan Nabi Musa dan para pengikutnya dan kedua-dua tempat itu terletak di sebelah utara Delta Sungai Nil di pantai Mesir.
Selain persoalan mengenai lokasi lautan itu dibelah, persoalan lain yang masih menjadi misteri adalah pada zaman bilakah peristiwa itu berlaku dan siapakah firaun yang dihukum Allah SWT itu.
Bagi mencari identiti sebenar firaun yang menentang Nabi Musa AS itu, penyelidik mula meneliti senarai pemerintah Kerajaan Mesir Purba, tetapi mereka menemui kebuntuan pertama apabila terdapat berpuluh nama firuan di dalam senarai itu.
Malah, hampir semua firaun yang memerintah Kerajaan Mesir purba itu dianggap sebagai tuhan dalam kepercayaan politheistik songsang pada zaman Mesir kuno.
Bagaimanapun, berdasarkan zaman kelahiran Nabi Musa AS iaitu lebih sekitar 1260 Sebelum Masihi (SM), penyelidik yakin bahawa firaun berkenaan adalah Rameses II yang memerintah Kerajaan Mesir Purba dari 1279 SM hingga 1213 SM.
Sesetengah penyelidik pula menyatakan bahawa firuan berkenaan adalah Merneptah yang memerintah selepas pemerintahan Ramses II iaitu dari 1213 SM hingga 1203 SM. Akan tetapi sehingga kini, kedua-dua pendapat itu masih diperdebatkan.
Sehingga kini, persoalan pada zaman bila peristiwa itu berlaku dan di manakah ia berlaku serta siapakah firuan yang dihukum Allah SWT itu, masih menjadi misteri. Akan tetai perkara yang nyata adalah, balasan Allah SWT akan menimpa sesiapa yang menyekutukan dan melanggar perintah serta larangan-Nya.

sumber: Perished Nation, www.wyattmuseum.com

INFO
Rentetan kisah Nabi Musa AS
- Suatu ketika dulu, terdapat seorang firaun yang kejam dan memerintah dengan zalim. Pada suatu hari, firuan itu dikejutkan dengan ramalan oleh seorang ahli nujumnya yang menyatakan bahawa akan lahir seorang bayi lelaki dari kalangan Bani Israil yang akan menjadi musuh serta membinasakannya.
- Takut dengan firasat itu, firaun terbabit mengeluarkan arahan kejam supaya semua bayi lelaki yang dilahirkan di dalam lingkungan kerajaan Mesir dibunuh.
- Keadaan itu menyebabkan ibu Nabi Musa AS, bimbang tetapi Allah memberi ilham kepadanya untuk menghanyutkan Nabi Musa yang masih bayi.
- Nabi Musa kemudian dijumpai pengikut firaun dan dibawa kepada pemerintah itu. Akan tetapi sebaik melihat Nabi Musa yang masih bayi, isteri firaun berkenaan terus tertarik hati dan menjadikannya anak angkat.
- Apabila dewasa Nabi Musa melihat seorang lelaki sedang dianiaya oleh seorang lelaki lain menyebabkan dia membantu lelaki yang lemah tadi dan secara tidak sengaja membunuh lelaki yang menganiaya. Keadaan itu menyebabkan baginda meninggalkan tanah airnya bagi melarikan diri dari buruan Firaun.
-Selepas 10 tahun, baginda kembali ke Mesir dan menerima wahyu serta diangkat menjadi rasul. Baginda mula berhadapan dengan firaun dan mula menyampaikan dakwah supaya firaun terbabit dan masyarakat Mesir kembali bertuhankan Allah SWT.
-Bagaimanapun, firuan yang angkuh itu tidak mahu menerima kebenaran yang dibawa Nabi Musa AS dan memerangi golongan mukmin menyebabkan Allah membinasakan mereka dengan menenggelamkan mereka di dalam laut.

tamat.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home