Thursday, July 19, 2007

SIRI 5 (Akhir) - Son of Sam

nasron13

Fail Jenayah - Son of Sam

SIRI AKHIR - Pembohongan David terbongkar

Susunan Nasron Sira Rahim

JERAT akhirnya memakan tuan. Itulah yang terjadi kepada Son of Sam apabila surat yang dihantar lelaki itu itu kepada polis dan media akhirnya membawa kepada rentetan yang mendedahkan identiti sebenar pembunuh bersiri berkenaan.
Polis membandingkan surat yang dihantar Son of Sam dengan surat ugutan yang diterima
dua tuan rumah pembunuh itu dan hasilnya menunjukkan ia memang ditulis oleh orang yang sama - David Berkowitz.
Polis semakin yakin yang David adalah Son of Sam iaitu pembunuh bersiri yang sudah membunuh enam mangsa serta mencederakan beberapa mangsa lain sekitar New York sejak 29 Julai 1976.
Maklumat terbaru itu seterusnya membawa kepada operasi serbuan di pangsapuri David di 35 Pine Street pada 10 Ogos tahun sama. Pasukan polis mengambil tempat dan mengepung kawasan luar pangsapuri itu.
Mereka menunggu sambil menantikan kemunculan kelibat David. Penantian mereka berakhir pada jam sekitar 10 malam apabila seorang lelaki keluar daripada pangsapuri itu menuju ke keretanya.
David yang ketika itu memakai jeans dan kemeja putih membawa beg kertas yang dipercayai mengandungi pistol .44 kaliber, berjalan tanpa mengesyaki dirinya diperhatikan. Sebaik beliau hendak menghidupkan enjin keretanya, pegawai polis John Falatico mengacu pistol ke arah kepalanya dan mengarahkan lelaki itu keluar secara perlahan-lahan.
David tidak menunjukkan rasa terkejut, sebaliknya sambil tersenyum dia berkata: “OK, anda dah dapat saya. Mengapa mengambil masa terlalu lama?”
Penahanan pembunuh bersiri Son of Sam itu kemudian menjadi berita besar di New York berikutan lelaki itulah yang mencetuskan ketakutan di kalangan penduduk sejak setahun sebelum itu.
Ketika dihadapkan ke mahkamah untuk menghadapi tuduhan pagi berikutnya, pihak media dan orang ramai menjangka mereka akan melihat seorang lelaki yang memiliki wajah ganas dan bengis tetapi sebaliknya mereka tergamam tatkala melihat pembunuh bersiri itu adalah seorang lelaki berwajah tenang dan sentiasa tersenyum.
Beratus-ratus orang yang berkumpul di luar mahkamah sambil menjerit: “Bunuh dia, bunuh dia.” Beberapa ancaman bunuh juga diterima pihak Hospital King's County di mana David menjalani ujian psikiatrik.
Walaupun dikawal dengan amat ketat sepanjang berada di hospital itu, David sempat menyeludup keluar satu surat yang diutuskan kepada penulis pojok akhbar New York Post, Steve Dunleavy.
Kandungan surat itu agak menyeramkan. Ia menerangkan bahawa Sam ‘adalah satu daripada hamba syaitan dengan kuasa yang tidak pernah diduga manusia’.
David menulis dalam surat itu: "Apabila saya membunuh, saya sebenarnya menyelamatkan banyak manusia lain. Anda akan faham sedikit masa. Orang hanya tahu untuk marah dan membenci saya. Ada yang ingin membunuh saya. Mereka tidak mahu mendengar apa yang hendak saya terangkan. Masih ada anak Sam di luar sana. Tuhan, tolonglah dunia ini.”
Di hadapan pakar sakit jiwa dan peguam belanya, David masih mengekalkan cerita yang dia melakukan semua pembunuhan itu atas arahan daripada syaitan bergelar ‘Sam’ menyebabkan doktor yang memeriksanya berpendapat yang lelaki itu menghidapi sakit mental.
Perbicaraan David tidak mengambil masa lama kerana beliau mengaku bersalah terhadap semua tuduhan dan dijatuhi hukuman penjara 365 tahun.
Pada 1979, bekas penyiasat FBI, Robert Ressler menemuramah Berkowitz di Penjara Attica sebanyak tiga kali. Di hadapan banduan itu, Ressler menjelaskan yang dia masih tidak percaya akan cerita David kononnya lelaki itu membunuh atas arahan syaitan.
Selepas berulang kali didesak, akhirnya David mengaku bahawa cerita dia menjadi pengikut syaitan itu hanyalah untuk melindungi dirinya sekiranya ditangkap. Beliau berharap cerita itu akan dapat meyakinkan pihak berkuasa bahawa beliau tidak siuman.
Dalam keterangannya kepada Ressler, David berkata: "Alasan sebenar saya menembak wanita adalah kerana dendam terhadap ibu kandung saya kerana menyerahkan saya kepada keluarga angkat dan kerana saya tidak mampu menjalinkan hubungan baik dengan wanita.”
Nafsu syahwatnya akan memuncak ketika mengekori mangsa dan menembak mereka. David akan memuaskan nafsu syahwatnya sendiri setiap kali selepas membunuh.
Sekiranya gagal menemui mangsa, lelaki itu akan kembali ke pembunuhan sebelumnya untuk mengenang kembali peristiwa berkenaan.
"Satu pengalaman erotik baginya untuk melihat kesan darah pada tanah atau garisan kapur yang dibuat polis. Dia akan duduk dalam keretanya dan melepaskan nafsunya sendiri,” kata Ressler.
David juga mengaku ingin menghadiri upacara pengebumian semua mangsanya tetapi takut ditangkap polis. Dia juga cuba mencari kubur mangsanya tetapi tidak berjaya.
Seperti pembunuh bersiri lain, David mengakui berasa seronok dengan liputan media berhubung jenayah yang dilakukannya dan dia mendapat idea menulis surat kepada pengarang pojok New York Daily News, Jimmy Breslin menerusi buku mengenai Jack the Ripper.
Kini, David masih meneruskan hukuman penjaranya. Menerusi satu laman web yang mendakwa sebagai laman web rasmi David iaitu www.forgivenforlife.com, dia juga sudah mengaku insaf dan sedang mendekatkan diri dengan agama Kristian.

tamat.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home