sejarah Berita Minggu - buat balik
nasron12
Sisipan Khas - Sejarah Berita Minggu
Oleh Nasron Sira Rahim
BERTOLAK daripada idea bahawa pembaca inginkan suasana dan bacaan santai pada cuti hujung minggu, maka Berita Minggu diterbitkan buat pertama kalinya pada 14 Julai 1960 iaitu kira-kira tiga tahun selepas Berita Harian (edisi Malaya) diterbitkan.
Konsep asal penerbitan Berita Minggu lebih menumpukan kepada usaha menyiarkan rencana ringan selain laporan berita semasa untuk ditatap pembaca pada setiap Ahad manakala Berita Harian menumpukan kepada berita, rencana serius dan analisis.
Bagi menjayakan gagasan itu, Allahyarham Sutan Shahril Lembang dilantik menjadi pengarang pertama ‘Meja Berita Minggu’ bagi memimpin sepasukan penyunting dan wartawan
mencari rencana menarik untuk diterbitkan sebagai tatapan pembaca setiap hujung minggu.
Setiap minggu, wartawan Berita Minggu keluar menemubual dan mencari kisah menarik di sebalik kehidupan masyarakat. Selain pengalaman penduduk, tumpuan ketika itu lebih diberikan kepada bidang sastera dan budaya yang berkembang pesat sebagai wadah perjuangan dan gagasan orang Melayu pada tahun-tahun awal kemerdekaan.
Selain rencana ringan, berita semasa turut dilaporkan seperti biasa dan bahan itu dibekalkan wartawan dari Meja Berita, sama seperti hari-hari biasa. Oleh kerana pada awal 1960-an menyaksikan negara baru mencapai kemerdekaan, isu yang sering mendapat perhatian ialah berkaitan dasar kerajaan, khususnya dasar pendidikan kebangsaan, bahasa, kemiskinan, pembangunan infrastruktur dan sosial.
Berita Minggu turut mengalami saat getir ketika negara menghadapi kekacauan pada 13 Mei 1969. Berikutan peristiwa itu, Berita Minggu yang terbit pada 19 Mei (enam hari kemudian) memuatkan lapan muka surat saja.
Bagaimanapun, meniti dewasa dalam penuh suka-duka, Berita Minggu terus bertahan malah berubah selaras dengan perkembangan masyarakat Malaysia. Era ‘Ago-go’, ‘Pop Yeh-yeh’ dan disko yang menyaksikan kuatnya pengaruh hiburan dalam masyarakat negara ini menyebabkan sisipan Berita Minggu iaitu Nada Minggu diperkenalkan pada awal 1980-an.
Penerbitan Nada Minggu juga menyaksikan penggunaan warna yang pertama dalam akhbar berkenaan. Sisipan berkonsepkan majalah itu kemudian diubah nama kepada Berita Televideo (BTV) sebelum sekali lagi ditukar kepada Persada Seni yang menumpukan kepada perkembangan seni dan hiburan tanah air.
Allahyarham Sutan meninggalkan Meja Berita Minggu pada 1985 menyebabkan tugas memimpin Berita Minggu diserah kepada Allahyarham Amir Hamzah Shamsuddin (Malungun) selama beberapa bulan sebelum Salleh Hamzah dipertanggungjawabkan menerajui unit berkenaan pada tahun sama.
Pengalaman memimpin Berita Minggu selama lima tahun masih menjadi kenangan berharga buat Salleh walaupun sudah 17 tahun sejak dia mengemaskan barang kerjanya dan meninggalkan meja Berita Minggu seterusnya balai berita Berita Harian untuk menceburi dunia perniagaan.
Salleh yang kini Pengarah Urusan dan Ketua Pengarang Kumpulan Pustaka Wira Sdn Bhd, berkata, paling tidak dapat dilupakannya adalah semasa dia dilantik menjadi Penolong Pengarang Berita Minggu, jualan akhbar mingguan itu meningkat kepada 116,000 naskhah pada 1986 iaitu edaran tertinggi sepanjang 26 tahun sejak akhbar itu pertama kali diterbitkan.
“Sebelum itu, jualan Berita Minggu kurang 89,000 naskhah setiap minggu. Apabila saya masuk ke dalam Berita Minggu, beberapa ruangan baru diperkenalkan bagi menjadikan Berita Minggu lebih menarik.
“Antaranya buat pertama kali, saya mewujudkan ruangan komik dan kartun yang sebelum ini tidak pernah ada di Berita Harian atau Berita Minggu. Di Berita Minggu jugalah kartun ‘Keluarga Si Mamat’ karya Datuk Lat menjadi popular,” katanya.
Salleh berkata, berbekalkan teori paparan menarik mampu memikat pembaca, aspek layout diperkemas dengan penggunaan gambar lebih besar yang disesuaikan dengan kedudukan teks serta tajuk atau ‘Heading’ lebih menarik.
Tumpuan lebih penting diberi kepada kandungan bahan di mana rencana menarik yang menumpukan kepada kisah masyarakat dan minat pembaca (human interest) diperkenalkan antaranya menerusi ruangan ‘Kisah Menarik’ dan ‘Ganjil Tapi Benar’.
“Dari sudut berita pula, laporan berita penyiasatan menerusi ruangan ‘Mata Yang Melihat’ diperkenal dan jelas ia diminati pembaca,” katanya.
Hasrat Berita Minggu untuk menyajikan bacaan menarik buat pembaca menyebabkan Perspektif iaitu sisipan Berita Harian yang disiarkan pada Jumaat, digabungkan dengan Persada Seni pada 1987.
Formula penggabungan itu menjadikan Berita Minggu semakin menarik kerana memberikan laporan berita semasa, rencana menarik dan berita hiburan untuk menyerikan cuti hujung minggu pembaca.
Bahagian utama akhbar mengandungi laporan berita semasa manakala sisipan Perspektif mengetengahkan pelbagai rencana bercorak human interest, kreatif dan bermaklumat menerusi ruangan pengalaman hidup masyarakat seperti Nostalgia selain ruangan berbentuk pengetahuan seperti Perubatan, Rantau Lipur, Sastera dan Budaya serta Gema Islam.
Sisipan ketiga iaitu Persada Seni yang kemudian ditukar nama kepada B-POP pada 1998 pula menyiarkan perkembangan hiburan dan seni tanah air.
Era selepas pemergian Salleh pada 1990 menyaksikan akhbar mingguan itu terus menimba pelbagai pengalaman dan perubahan menerusi pengarang yang silih bertukar ganti. Mahfar Ali, Mustapa Omar, Abdul Razak Rafflis dan Zainuddin Ayib (sekadar menyebut beberapa nama) bagaimanapun terus memimpin Berita Minggu mendaki tangga kejayaan.
Daripada jualan purata mingguan kurang 89,000 naskhah sebelum kehadiran Salleh, edaran akhbar itu meningkat mendadak kepada 116,000 naskhah dan selepas itu, Berita Minggu tidak menoleh ke belakang lagi.
Akhbar itu terus mendaki tangga jualan sehingga mencecah kemuncaknya iaitu 411,606 naskhah pada 1997. Hari ini, kredibiliti Berita Minggu sebagai akhbar yang menarik minat pembaca terserlah apabila mencatatkan jualan sekitar 300,000 naskhah setiap Ahad.
Meniti dewasa, Berita Minggu berubah lagi. Selaras dengan pembaharuan dari segi paparan yang dilakukan Berita Harian, Berita Minggu turut diberi wajah baru pada 2006. Sisipan Perspektif ditukar nama kepada ‘Dimensi’ tetapi konsepnya yang mengetengahkan kisah masyarakat dan human interest terus dikekalkan.
Bagaimanapun, bermula April 2006, satu perubahan drastik dilakukan terhadap kandungan Berita Minggu apabila rencana berbentuk kisah kemasyarakatan yang menjadi identiti Berita Minggu sejak sekian lama, dikurangkan manakala tumpuan lebih diberi kepada rencana kesihatan dan hiasan rumah.
Pada masa hadapan, Berita Minggu pasti akan berubah lagi sama ada dari segi kandungan mahupun paparan antaramukanya. Bagaimanapun, sesuatu yang pasti adalah ia akan cuba menyajikan rencana menarik sebagai tatapan pembaca.
tamat.

0 Comments:
Post a Comment
<< Home