sejarah Berita Minggu
nasron12
Sisipan Khas - Sejarah Berita Minggu
Oleh Nasron Sira Rahim
SALLEH Hamzah mengangkat pandangannya dengan penuh tanda tanya tatkala melihat Datuk Ahmad Sebi Abu Bakar melangkah masuk ke dalam biliknya pada petang 1986 itu.
Melihat riak wajah Pengarang Kumpulan Berita Harian itu, dia masih belum dapat meneka persoalan apakah yang ingin diajukan ketuanya itu kepada dirinya. Dalam kebingungan memikirkan hal itu, tiba-tiba Datuk Ahmad Sebi menghulurkan salam kepadanya.
“Tahniah Haji!” Ucapan itu membuatkan Salleh yang juga Penolong Pengarang Berita Minggu ketika itu, kehairanan. Dia masih belum memahami erti di sebalik ucapan dan huluran salam ketuanya pada petang itu.
Ketika kebingungan di mindanya masih belum reda, Datuk Ahmad Sebi menyambung bicara: “Tahniah, jualan Berita Minggu mencecah 116,000 naskhah,” jelas Datuk Ahmad Sebi sekali gus merungkai segala persoalan yang membenih di kotak pemikirannya.
Ucapan itu kemudian membuatkan wajah Salleh terlukis senyuman bangga. Nyata, percaturannya untuk memberikan ‘wajah baru’ kepada Berita Minggu berhasil juga akhirnya.
Sejak diamanahkan menerajui akhbar mingguan itu pada 1985, dia mencari-cari formula bagi menjadikan Berita Minggu sebagai akhbar pilihan pembaca.
Pelbagai perubahan dilakukan, ruangan baru ditambah dan paparan antara muka (layout) diperkemas dan hasilnya menyebabkan Salleh tersenyum puas. Hari itu, edaran Berita Minggu diumum mencatat jualan tertinggi sepanjang 26 tahun sejak ditubuhkan pada 14 Julai 1960.
Kini, 16 tahun sudah berlalu sejak Salleh mengemaskan barang kerjanya dan meninggalkan meja Berita Minggu seterusnya balai berita Berita Harian untuk menceburi dunia perniagaan. Akan tetapi detik pencapaian sekitar 1986 itu masih setia diingati olehnya.
“Sebelum itu, jualan Berita Minggu hanya sekitar 89,000 naskhah saja setiap minggu. Apabila saya dilantik menjadi Penolong Pengarang Berita Minggu, beberapa ruangan baru diperkenalkan bagi menjadikan Berita Minggu lebih menarik.
“Antaranya buat pertama kali, saya mewujudkan ruangan komik dan kartun yang sebelum ini tidak pernah ada di Berita Harian atau Berita Minggu. Di Berita Minggu jugalah kartun ‘Keluarga Si Mamat’ karya Datuk Lat menjadi popular,” katanya yang menjadi Penolong Pengarang Berita Minggu dari 1985 hingga 1990.
Salleh yang kini Pengarah Urusan dan Ketua Pengarang Kumpulan Pustaka Wira Sdn Bhd, berkata, berbekalkan teori paparan menarik mampu memikat pembaca, aspek layout diperkemas dengan penggunaan gambar lebih besar yang disesuaikan dengan kedudukan teks serta tajuk atau ‘Heading’ lebih menarik.
Tumpuan lebih penting diberikan kepada kandungan bahan di mana rencana menarik yang menumpukan kepada kisah masyarakat dan minat pembaca (human interest) diperkenalkan antaranya menerusi ruangan ‘Kisah Menarik’ dan ‘Ganjil Tapi Benar’.
“Dari sudut berita pula, laporan berita penyiasatan menerusi ruangan ‘Mata Yang Melihat’ diperkenal dan jelas ia diminati pembaca,” katanya yang menjadi peneraju ketiga Berita Minggu selepas Allahyarham Sutan Shahril Lembang dan Allahyarham Amir Hamzah Shamsuddin (Malungun).
Era selepas pemergian Salleh menyaksikan akhbar mingguan itu terus menimba pelbagai pengalaman dan perubahan menerusi pengarang yang silih bertukar ganti. Mahfar Ali, Mustapa Omar, Abdul Razak Rafflis dan Zainuddin Ayib (sekadar menyebut beberapa nama) bagaimanapun terus memimpin Berita Minggu mendaki tangga kejayaan.
Daripada jualan purata mingguan kurang 89,000 naskhah sebelum kehadiran Salleh, edaran akhbar itu meningkat mendadak kepada 116,000 naskhah dan selepas itu, Berita Minggu tidak menoleh ke belakang lagi.
Akhbar itu terus mendaki tangga jualan sehingga mencecah kemuncaknya iaitu 411,606 naskhah pada 1997. Hari ini, kredibiliti Berita Minggu sebagai akhbar yang menarik minat pembaca terserlah apabila mencatatkan jualan sekitar 300,000 naskhah setiap Ahad.
Mengimbau sejarah ‘kelahiran’ Berita Minggu, ia diterbitkan kira-kira tiga tahun selepas Berita Harian (edisi Malaya) diterbitkan di Robson House, Jalan Pudu, Kuala Lumpur.
Konsep asal penerbitannya lebih menumpukan kepada berita dan rencana ringan yang diminati pembaca manakala Berita Harian menumpukan kepada berita dan rencana serius.
Perubahan Berita Minggu terserlah apabila majalah sisipan, Nada Minggu, diperkenalkan awal 1980-an. Penerbitan Nada Minggu juga menyaksikan penggunaan warna yang pertama dalam Berita Harian.
Sisipan berkonsep majalah itu kemudian diubah nama kepada Berita Televideo (BTV) sebelum ditukar kepada Persada Seni yang memberi lebih tumpuan kepada berita berkaitan perkembangan seni dan hiburan tanah air.
Bagaimanapun, bermula 1987, Perspektif iaitu satu lagi sisipan Berita Harian yang disiarkan pada Jumaat, digabungkan dengan Persada Seni sebagai sisipan dalam Berita Minggu.
Penggabungan itu menjadikan Berita Minggu semakin menarik kerana Perspektif mengetengahkan pelbagai rencana bercorak human interest, kreatif dan bermaklumat yang sememangnya bertepatan dengan kehendak pembaca.
Ruangan seperti Nostalgia yang mengetengahkan penulisan bercorak sejarah, pengalaman silam, tragedi dan peristiwa penting yang pernah dilalui negara selain ruangan berbentuk pengetahuan seperti Perubatan, Rantau Lipur, Sastera dan Budaya serta Gema Islam menjadi bacaan yang diminati pembaca setiap hujung minggu.
Ruangan kaunseling pembaca iaitu ‘Sri Siantan’ pula menjadi antara ruangan paling popular. Dengan identiti misteri Seri Siantan yang dirahsiakan daripada khalayak umum, ruangan itu mendapat sambutan hangat dan banyak menerima maklum balas pembaca.
Meniti dewasa, Berita Minggu berubah lagi. Selaras dengan pembaharuan dari segi paparan yang dilakukan Berita Harian, Berita Minggu turut diberi wajah baru pada 2006. Sisipan Perspektif ditukar nama kepada Dimensi tetapi konsepnya yang mengetengahkan kisah masyarakat dan human interest terus dikekalkan.
Bagaimanapun, bermula April 2006, satu perubahan drastik dilakukan terhadap kandungan Berita Minggu apabila rencana berbentuk kisah kemasyarakatan yang menjadi identiti Berita Minggu sejak sekian lama, dikurangkan manakala tumpuan lebih diberi kepada rencana kesihatan dan hiasan rumah.
Pada masa hadapan, Berita Minggu pasti akan berubah lagi sama ada dari segi kandungan mahupun paparan antaramukanya. Bagaimanapun, sesuatu yang pasti adalah ia akan cuba menyajikan rencana menarik sebagai tatapan pembaca.
tamat.

0 Comments:
Post a Comment
<< Home