Tuesday, July 31, 2007

datuk bahaman - pahlawan pahang

nasron20

Jejak - Datuk Bahaman, pencetus penentangan British di Pahang

Oleh Nasron Sira Rahim
nasron@bharian.com.my

KEHEBATAN beliau menyelinap ke dalam hutan rimba tanpa sesat terserlah sejak masih muda. Hutan menjadi padang permainannya dan tokoh pahlawan Pahang itu dikatakan berbakat dan bijak memburu haiwan yang bersembunyi di sebalik rimbunan semak belantara.
Datuk Bahaman dikatakan mempelajari kaedah memburu dengan meneliti bagaimana gerak geri anjing pemburu ketika ingin menangkap haiwan. Bagaimanapun, kemahiran memburu tokoh itu dikatakan lebih hebat daripada seekor anjing pemburu.
Beliau mampu menewaskan gajah ketika keluar memburu; tatkala berhadapan dengan haiwan gergasi itu, beliau dikatakan bijak menyelinap untuk mengerat keting gajah seterusnya menumpaskan haiwan itu.
Mahirnya beliau ketika berada dalam hutan menyebabkan Datuk Bahaman memahami bahasa Orang Asli dan adat istiadat kaum terbabit.
Disebabkan kebijaksanaannya, beliau dilantik sebagai Tok Peran iaitu guru berburu dan kepala kepada juak raja. Beliau juga seorang yang berani, pandai bersilat dan dikatakan memiliki ‘ilmu kebal’. Kelebihan itu menyebabkan Datuk Bahaman digelar ‘Seman Tahan’ oleh penduduk tempatan.
Nyata tokoh pejuang Pahang itu bukan calang orang. Kemahiran dan pengalamannya memanipulasi keadaan belantara untuk menyembunyikan diri menyebabkan tentera British terpinga-pinga kerana gagal menjumpai lokasi persembunyiannya di dalam hutan.
Nama sebenarnya adalah Abdul Rahman dan dinamakan sempena nama datuk di sebelah ibunya. Bapanya adalah Tuanku Imam Nuh yang berasal dari Bangkinang, Kampar, Riau. Ibunya adalah Rokiah Abdul Rahman, anak kepada Tok Setia Perkasa Semantan yang berketurunan Bugis dari Sulawesi Selatan.
Walaupun beliau dilahirkan di Rantau Panjang iaitu sebuah kampung di daerah Bentong, beliau banyak menghabiskan masa di Pekan kerana berkhidmat dengan Bendahara Ali iaitu ayahanda kepada Sultan Ahmad.
Beliau juga dikatakan pernah menjadi anak angkat kepada Bendahara Ali dan menjadi rakan sepermainan kepada Sultan Ahmad semasa mudanya.
Apabila Sultan Ahmad menaiki takhta, Datuk Bahaman terus menabur bakti kepada tanah airnya. Kesetiaannya kepada sultan tidak berbelah bagi dan Datuk Bahaman dianugerah gelaran Datuk Setia Perkasa Pahlawan Semantan oleh Sultan Ahmad sebagai penghargaan kerana tokoh itu membantu baginda dalam peperangan menentang Wan Mutahir.
Datuk Bahaman seterusnya dilantik sultan untuk mentadbir Semantan dan menjadi seorang daripada Orang Besar Delapan Pahang. Karisma yang dimilikinya menyebabkan Datuk Bahaman disegani dan dihormati penduduk dan pemerintah di Pahang.
Perjuangan suci Datuk Bahaman membela tanah air, bangsa dan agamanya bermula apabila British mula campur tangan ke dalam pemerintahan Pahang. Tindakan British yang cuba menjajah tanah airnya serta ‘memperhambakan’ orang Melayu menyebabkan Datuk Bahaman mengangkat senjata memerangi bangsa asing itu.
Segala-galanya bermula pada Oktober 1888 apabila British melantik JP Rodger sebagai residen di Pahang.
Sebelum itu, British sememangnya sudah lama mengintai peluang untuk menjajah Pahang dan peluang mereka terbuka apabila mengetahui Sultan Pahang bermusuhan dengan dengan adindanya, Wan Mansur.
Rancangan Wan Mansur untuk menyerang Sultan Ahmad diketahui British dan bangsa asing itu mengambil kesempatan untuk ‘berbudi’ kepada Sultan Ahmad dengan mematahkan cubaan serangan itu.
Melihat seolah-olah Sultan Ahmad sudah termakan dengan budi yang ditabur mereka, British mengutuskan Hugh Clifford untuk memujuk sultan supaya menerima seorang residen untuk membantu baginda memerintah Pahang.
British sebenarnya memasang helah untuk menjajah Pahang bagi membolehkan mereka memungut hasil bumi yang banyak terdapat di negeri itu.
Walaupun pada mulanya baginda enggan menerima kehadiran bangsa asing, tetapi atas beberapa helah dan desakan daripada British, Sultan Ahmad akhirnya terpaksa bersetuju untuk menerima seorang residen British di Pahang.
Pada mulanya Rodger dikatakan hanya akan berkhidmat sebagai penasihat Sultan untuk memerintah negeri tetapi lama-kelamaan lelaki asing itu mula besar kepala.
Dia mula bertindak melampau dengan ‘memijak kepala sultan’ apabila mengambil alih urusan mentadbir Pahang serta mula masuk campur ke dalam adat dan agama penduduk tempatan.
Rodger mula merangka pelbagai peraturan sesuka hatinya tanpa berunding dengan sultan atau pembesar negeri. Sultan juga dipaksa meluluskan segala peraturan yang diperkenalkan olehnya.
Antara peraturan yang diperkenalkan Rodger, ternyata melanggar adat resam orang Melayu antaranya melarang penduduk membawa senjata atau keris sesuka hati.
Rodger juga melarang pembesar negeri memungut cukai walaupun sebelum itu, semua pembesar diberi mandat oleh sultan untuk memungut cukai. Sebaliknya, Rodger melantik pegawainya yang terdiri daripada rakyat British untuk mengutip cukai.
British juga melantik Majistret dan pasukan polis di kalangan pegawai mereka sendiri bagi mengawal dan mengadili kes jenayah dan ia secara tidak langsung mengurangkan kuasa pembesar Melayu yang dipertanggungjawab menjalankan tugas berkenaan sebelum itu.
Tindakan Rodger menimbulkan kemarahan pembesar Melayu terutama Datuk Bahaman. Beliau enggan tunduk kepada perintah British dan terus mengutip cukai di Semantan. Tindakan Datuk Bahaman itu menyebabkan British menghantar surat amaran kepada beliau tetapi tokoh pahlawan itu tetap tidak mengendahkannya.
Tindakan Datuk Bahaman itu turut disokong penduduk yang enggan bertuankan bangsa asing di tanah air sendiri.
Seterusnya pada 1890, tanpa berunding dengan Datuk Bahaman sebagai pentadbir Semantan, British membina balai polis di Lubuk Terua yang terletak di kawasan itu serta mula menguatkuasakan undang-undang ciptaan mereka sendiri.
Datuk Bahaman membantah keras tindakan itu dan bertindak menghantar surat bantahan kepada British tetapi bangsa asing itu enggan mendengar bantahan Datuk Bahaman sebaliknya menyuruh Sultan Ahmad menasihati Datuk Bahaman supaya mengikut saja telunjuk British.
Tekanan daripada British menyebabkan Sultan Ahmad meminta Datuk Bahaman pergi ke Pekan untuk memberi penjelasan tetapi pembesar itu enggan kerana mengesyaki ia adalah muslihat British untuk menangkapnya.
British kemudian mendesak Sultan Ahmad supaya melucutkan jawatan Datuk Bahaman sebagai pembesar Semantan. Desakan British menyebabkan Sultan Ahmad terpaksa melucutkan kedudukan Datuk Bahaman sebagai seorang daripada Orang Besar Delapan Pahang.
Pada Oktober 1891, British menghantar 25 anggotanya ke Balai Polis Lubuk Terua bagi mengawasi tindak-tanduk pahlawan itu.
Kemuncak kepada kebiadapan British terjadi apabila bangsa asing itu menangkap penduduk Semantan yang juga pengikut Datuk Bahaman kerana mengeluarkan hasil hutan tanpa kebenaran British.
Datuk Bahaman meminta British membebaskan penduduk yang ditahan sebaliknya bangsa asing itu menunjukkan sikap besar kepala dan enggan mengikut arahan berkenaan. Mereka berkeras membawa tahanan itu ke Balai Polis Lubuk Terua untuk ditahan dan dibicara.
Kesabaran Datuk Bahaman semakin tercabar dan akhirnya beliau bersama pengikutnya menyerang pasukan polis British itu ketika mereka dalam perjalanan membawa tahanan ke balai polis berkenaan.
Serangan itu menyebabkan tiga polis British berbangsa Sikh terbunuh serta beberapa perahu bangsa asing itu ditenggelamkan. Serangan itu seterusnya menjadi episod permulaan kepada perjuangan bersenjata Datuk Bahaman menentang British demi membela tanah air, bangsa dan agama.

HEADING:

KEMENANGAN memerangi pasukan polis British itu menyebabkan Datuk Bahaman dan pasukannya mara dan menyerang balai polis Lubuk Terua. Serangan itu menyebabkan mereka berjaya menawan balai polis berkenaan.
Menyedari kemungkinan British akan bertindak balas, Datuk Bahaman terus melakukan persiapan bertempur bersama pengikutnya.
Kejayaan pahlawan Melayu menumpaskan kumpulan polis British menyebabkan penduduk Melayu semakin bersemangat untuk menentang serta mengusir British dari Pahang. Selain dari Semantan, sokongan rakyat turut diperoleh dari orang Melayu di Bentong.
Mereka mula menyertai Datuk Bahaman menyebabkan pengikut pahlawan itu meningkat kepada 600 orang. Kira-kira 100 Orang Asli juga turut menyokong Datuk Bahaman dengan menjadi pengintip.
Dengan kekuatan anggota serta semangat untuk mengusir penjajah dari bumi Pahang, Datuk Bahaman dan pengikutnya menyerang balai polis Temerloh pula. Serbuan dan amukan orang Melayu menyebabkan pegawai dan askar British di balai polis itu melarikan diri dalam ketakutan. Pejuang Melayu kemudian merampas 40 senapang yang ditinggalkan di balai polis itu.
Kemaraan Datuk Bahaman menyebabkan Rodger mendapatkan bantuan ketenteraan daripada Kapten Syers di Selangor. Syers datang ke Pahang bersama 25 anggota Sikh yang lengkap bersenjata dan mereka bergabung dengan pasukan diketuai Hugh Clifford di Raub. British yakin mereka dapat menumpaskan Datuk Bahaman dengan mudah.
Pada Disember 1891, Clifford mengetuai sepasukan 200 tentera ke Semantan dan bertembung dengan pasukan Datuk Bahaman di Kelubi. Mereka bertempur hebat tetapi akhirnya pasukan Datuk Bahaman berjaya mengalahkan British.
British terkejut dengan kekalahan mereka kerana mereka memandang rendah terhadap kemampuan pahlawan Melayu. Clifford kemudian menemui Sultan Ahmad di Pulau Tawar dan menghasut sultan supaya menentang Datuk Bahaman. Sultan Ahmad terpaksa mengikut kehendak British dan mengisytiharkan Datuk Bahaman dan pengikutnya sebagai penderhaka.
Angkatan sultan diketuai Tengku Ali kemudian diperintah menyerang Datuk Bahaman di Semantan. Datuk Bahaman dan pengikutnya terpaksa berundur dan berlindung dalam hutan kerana enggan menentang sultan.
Mereka sedar yang menentang sultan bererti mereka menderhaka dan itu bukanlah tujuan perjuangan mereka. Mereka berjuang untuk memerdekakan bumi Pahang dan mengusir penjajah.
Sultan kemudian mengumumkan pengampunan beramai-ramai terhadap pengikut Datuk Bahaman yang tidak lagi menyertai perjuangan pahlawan itu. Pengumuman itu menyebabkan ramai pejuang Melayu menyerah diri.
Pada 9 Mac 1892, Datuk Bahaman dan kira-kira 50 pengikut setianya sekali lagi menyerang balai polis Lubuk Terua dan berjaya menawannya dengan mudah. Kejayaan itu menyebabkan beberapa penduduk kembali menyertai perjuangan Datuk Bahaman dan pengikut pahlawan itu meningkat kepada 200 orang.
British segera bertindak. Sepasukan tentera tempatan diketuai Tengku Ali bersama sepasukan tentera British bergerak ke Lubuk Terua untuk menentang pejuang Melayu itu tetapi sebaik sampai, mereka mendapati lokasi itu sudah lenggang.
Pejuang Melayu pimpinan Datuk Bahaman ‘bermain taktik’ dan berundur. Berang kerana masih belum mampu menumpaskan Datuk Bahaman, British bertindak kejam dengan membakar Kampung Cempaka dan Kampung Balok.
Mereka juga menawarkan 1,000 ringgit kepada sesiapa yang berjaya menangkap Datuk Bahaman tetapi tawaran itu tidak mendapat sambutan daripada orang Melayu yang masih menyokong perjuangan pahlawan itu secara sembunyi.
Datuk Bahaman kembali berlindung di hutan dan melatih pasukannya. Ketika itulah beberapa pembesar lain antaranya Tok Gajah dan anaknya, Mat Kilau; Awang Nong, Teh Ibrahim dan Mat Lela menyatakan sokongan secara rahsia kepadanya untuk menentang British.
Tidak lama kemudian, Datuk Bahaman dan pengikutnya keluar dari persembunyiannya di hutan dan menawan Batu Hampar. Mereka seterusnya menyerang dan menawan Lubuk Terua. Pasukan British terus dikalahkan dan terpaksa berundur menyebabkan daerah Semantan kembali dikuasai Datuk Bahaman.
British kembali menghasut sultan supaya menentang Datuk Bahaman. Sultan mengarahkan Tengku Ali dan Tok Gajah menyerang Datuk Bahaman di Batu Hampar. Walaupun serba salah, Tok Gajah terpaksa menurut titah sultan.
Dua pembesar itu terus menyerang Datuk Bahaman di Batu Hampar tetapi sekali lagi, Datuk Bahaman berjaya melepaskan diri ke dalam hutan. Pasukan British diketuai Wise tetap mahu memburu Datuk Bahaman di dalam hutan tetapi Tok Gajah enggan membantu dan menyertai pasukan British lagi.
Sebaliknya, Tok Gajah dan Mat Kilau mula menyertai perjuangan Datuk Bahaman. Bersama rakan seperjuangan baru, mereka terus menyerang balai polis dan lokasi British bagi menghalau penjajah asing itu dari bumi Pahang.
Penyertaan Mat Kilau dan Tok Gajah menyebabkan British semakin cemas dan takut. Mereka membawa lebih banyak pasukan bantuan ke Pahang untuk menumpaskan pejuang Melayu.
Serangan daripada pasukan yang lebih ramai di pihak British menyebabkan Datuk Bahaman dan pakatannya tidak lagi mampu bertahan. Beliau mengambil keputusan berundur ke Kelantan yang berada di bawah pemerintahan Siam ketika itu.
British terus meminta bantuan Siam untuk menangkap Datuk Bahaman menyebabkan pahlawan itu melarikan diri ke Terengganu pula.
Kerajaan Siam mengutuskan dua pegawainya, Luang Visudh dan Luang Swat mengetuai angkatan Siam ke Terengganu bagi menangkap Datuk Bahaman.
Selepas lama memburu, dua pegawai Siam itu ini akhirnya berjaya menawan Datuk Bahaman, Awang Nong, Mat Lela, Teh Ibrahim, Mat Wahid dan Pak Lang Yusoh pada 1895. Tok Gajah dan Mat Kilau berjaya menyembunyikan diri dalam hutan dan dianggap sudah mati oleh British.
Akhirnya, selepas empat tahun menentang membela tanah air tercinta, Datuk Bahaman ditahan dan dibawa ke Bangkok pada November 1895.

FAKTA
Undang-undang diperkenalkan British di Pahang
-Cukai tanah sebanyak 40 sen seekar dikenakan ke atas tanah kampung, paya, dusun dan tanah nipah.
-sistem lesen dan permit dilaksana dan diwajibkan terhadap penduduk kampung yang ingin memungut hasil hutan dan mengambil nipah.
-rakyat diwajibkan untuk bekerja sebagai buruh kerahan kerajaan (British) selama dua bulan setiap tahun.
-sekatan yang tidak membenarkan penduduk membawa keris ke mana saja mereka pergi. Pihak yang dibenarkan membawa senjata adalah pengawal peribadi dan para pengikut mereka yang terdekat.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home