Friday, May 25, 2007

Siri 3: Pembunuhan Intan Yusniza

nasron39

Fail Jenayah - Pembunuhan Intan Yusniza

SIRI KETIGA

Oleh Nasron Sira Rahim
nasron@bharian.com.my

PADA 12 Julai 1991 iaitu selepas 18 hari mayat Pengacara Kelab Kanak-Kanak Angkasapuri Radio Televisyen Malaysia (RTM), Intan Yusniza Mohamad Yunus, 12, dan ibu angkatnya ditemui, seorang penganggur dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur.
Zainuzzaman Mohd Jasadi, 24, dihadapkan bagi tuduhan sementara - membunuh Intan dan ibu angkatnya, Haniza Ismail, 56, di rumah nombor 74, Blok 5, Rumah Panjang, Kampung Seri Budiman, Jalan Kuchai Lama antara jam 9.30 malam 22 Jun 1991 dan 7.42 pagi 24 Jun 1991.
Lelaki bertubuh kecil dan rendah dengan ketinggian kira-kira 1.63 meter itu didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.
Tertuduh yang ditahan pada 1 Julai 1991, tiba di mahkamah pada jam 9 pagi dengan diiringi anggota polis manakala tiada saudara-mara tertuduh yang hadir di mahkamah.
Seterusnya perjalanan kes perbicaraan membabitkan lelaki itu terus mendapat liputan hangat dan menjadi tumpuan masyarakat yang ingin mengetahui sama ada benar lelaki itu bersalah serta apa sebenarnya yang berlaku pada malam pembunuhan.
Mahkamah pada 28 Oktober diberitahu yang siasatan awal mendapati punca kematian kedua-dua mangsa adalah akibat kecederaan teruk di kepala sehingga berlakunya pendarahan otak, berikutan dipukul senjata tumpul.
Selain di kepala, kedua beranak itu tidak mengalami kecederaan di bahagian lain tubuh mereka. Mangsa juga dipercayai meninggal dunia, dua atau tiga hari sebelum mayat mereka dijumpai.
Turut dimaklumkan kepada mahkamah adalah bedah siasat ke atas Hanizah yang berlumuran darah pada sebelah kiri tubuhnya, menemui lima koyakan dan dua lebam akibat dipukul di bahagian telinga kiri. Kepalanya pula retak di tiga bahagian akibat gegaran di sebelah kanan.
Bedah siasat mayat Intan pula merekodkan beberapa lebam di kepala dan leher selain pendarahan di luar kulitnya. Ada tidak kurang daripada empat lebam dan beberapa calar di muka dan leher Intan selain lima luka di sebelah kiri kepala dan telinganya.
Tengkorak Intan pula berkecai di beberapa tempat dan otaknya mengalami pendarahan secara menyeluruh berikutan dipukul benda tumpul. Kesan lebam turut dikesan pada paha dan tepi kemaluan Intan tetapi ujian sperma ke atas kedua-dua mayat itu adalah negatif.
Sidang mahkamah 29 Oktober 1991 diberitahu saksi pendakwa yang tertuduh mengaku kepada polis yang dia membunuh kedua-dua beranak itu. Pengakuan itu dibuat di Balai Polis Brickfields ketika disoal siasat kira-kira jam 12.30 tengah hari, 2 Julai 1991.
Tertuduh juga dikatakan bersetuju menunjukkan tempat beliau menyembunyikan senjata yang digunakan dalam kejadian itu lalu membawa polis ke rumahnya di Jalan Kuchai Lama.
Tertuduh kemudian membawa polis ke sebuah bilik belakang rumah itu lalu menunjukkan sebatang besi paip di bawah almari serta sehelai baju T biru yang dipakai ketika dia melakukan pembunuhan itu.

Minggu depan: Mahkamah menolak pengakuan bersalah tertuduh.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home