Friday, May 11, 2007

news azalina - 5 juta belia tak daftar mengundi

BH (12.05.2007)

Oleh Nasron Sira Rahim

KUALA LUMPUR: Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Azalina Datuk Othman Said, semalam melahirkan rasa kesal berikutan lima juta belia di negara ini masih tidak mendaftar sebagai pengundi.
Sehubungan itu, pihaknya akan bekerjasama dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk mengatasi masalah itu dengan membuka kaunter pendaftaran pengundi di setiap program yang dianjurkan Kementerian Belia dan Sukan (KBS).
Beliau berkata, keengganan belia untuk mendaftar sebagai mengundi secara tidak langsung menunjukkan yang golongan itu masih tidak menyedari yang mereka sebagai penduduk juga memiliki tanggungjawab untuk mengundi di negara ini.
“Ramai belia hari ini tidak mahu daftar sebagai pengundi. Bagi saya dan rakan di kementerian, kita tidak faham mengapa belia tidak mahu mengundi.
“Bagi Kementerian Belia dan Sukan (KBS), bukan saja prinsip rukun negara yang kita belajar di sekolah, kita bawa sampai kita jadi dewasa tapi tanggungjawab kita sebagai pengundi perlu menjadi satu daripada tujuan kita sebagai rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Karnival Remaja Rakan Muda di Stadium Putra Bukit Jalil, dekat sini, pagi semalam.
Karnival kali kedua diadakan selepas tahun lalu itu dilancarkan sempena Sambutan Hari Belia Negara 2007 dan dihadiri lebih 5,000 remaja bagi menyertai pelbagai aktiviti antaranya sukan, pertandingan tarian dan kugiran, ekspo keusahawanan belia dan pameran kemahiran serta mini konsert.
Azalina berkata, menerusi kerjasama dengan SPR, pihaknya optimis lebih ramai belia yang menghadiri program KBS secara tidak langsung dapat mengambil kesempatan dengan mendaftar sebagai pengundi.
“Saya menerima hakikat yang salah satu daripada sebab belia tidak mendaftar adalah masalah masa kerana daripada sistem (pendaftaran pengundi) sedia ada, mereka kena hadir sendiri dan tanda tangan.
“Generasi muda ini, masanya terhad kepada kerja dengan keluarga. Bagi saya jika kita membuat program demikian, ramai akan mendaftar,” katanya.
Azalina berkata, sempena 50 tahun negara mencapai kemerdekaan, KBS kini merangka pendekatan bagi mewujudkan kesedaran dan semangat nasionalis di dalam diri remaja.
“Kita mahu belia menjadi nasionalis dan ada semangat nasionalis. Mereka tidak boleh lagi hanya nak ‘horey’ (ingin bersuka ria), rasa tak bertanggungjawab dan tidak mahu buat komitmen kepada kerajaan.
“Saya lihat sudah tiba masanya mereka sebagai pewaris (negara pada masa akan datang) mewujudkan kematangan mereka sebagai rakyat yang bertanggungjawab,” katanya.

FAKTA NOMBOR
# 17 juta
belia di negara ini

# 5 juta
belia tidak mendaftar mengundi

# 14.5 juta
belia tidak menyertai persatuan


tamat.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home