Wednesday, May 16, 2007

abdul rahman limbong

nasron31

Jejak - ‘Peguam Melayu’ yang digeruni British.
- Haji Abdul Rahman Limbong, mengetuai perjuangan menentang penjajah di Terengganu.

Oleh Nasron Sira Rahim

SELAIN sebagai ulama, pedagang dan pengembara; tokoh pejuang menentang penjajah di Terengganu, Haji Abdul Rahman Limbong, dipercayai menjadi antara peguam Melayu pertama di negara ini.
Tujuan tokoh yang nama sebenarnya Haji Abdul Rahman Abdul Hamid itu menjadi peguam pada 1921 adalah untuk menentang penjajah di kamar mahkamah iaitu pada 1921.
Malah kehebatan hujah Abdul Rahman juga ulama terkenal di Terengganu ketika itu menyebabkan pendakwa raya dan British terkedu tanpa dapat membalas sebarang kata seterusnya 43 penduduk setempat yang diwakilinya diputuskan tidak bersalah dan dibebaskan.
Kisah perjuangan Haji Abdul Rahman Limbong menentang penjajah bermula dengan kehadiran British di Terengganu pada awal 1920-an. Sebaik bertapak, Britih mula ‘besar kepala’ dan menganggap seolah-olah semua kawasan tanah di negeri itu adalah milik mereka.
Malah penduduk watan yang mengusahakan tanah di negeri mereka sendiri, mula diminta membayar cukai kepada British yang berlagak bagaikan ‘tuan rumah’ padahal mereka cuma ‘menumpang’ di negeri itu.
Penduduk yang kebanyakannya petani miskin semakin tertekan apabila pelbagai syarat dan peraturan baru yang menyekat mata pencarian mereka digubal rakyat asing itu.
Antara syarat yang diperkenalkan British adalah masyarakat tempatan tidak boleh bebas membuka tanah untuk bercucuk tanam dan setiap penduduk yang ingin berbuat demikian perlu membayar 50 sen kepada British.
Jumlah itu dianggap tinggi dan membebankan pada zaman berkenaan tambahan pula kebanyakan penduduk terdiri daripada mereka yang hidup umpama ‘kais pagi makan pagi, kais petang makan petang’.
Bagaimanapun British tidak mempedulikan kesusahan orang kampung sebaliknya sesiapa yang melanggar peraturan itu akan disaman, didenda dan didakwa di mahkamah.
Itulah yang terjadi kepada 43 petani di Kuala Telemong apabila mereka disaman dan dihadapkan ke mahkamah kerana membuka tanah baru tanpa mendapatkan pas kebenaran daripada British.
Menyedari petani itu ditindas, Haji Abdul Rahman Limbong yang juga ulama terkenal di Terengganu ketika itu, tampil memohon lesen untuk menjadi peguam bagi mewakili penduduk.
Keperibadiannya selaku ulama yang dianggap luas pengetahuan termasuk dalam aspek perundangan menyebabkan British bersetuju mengeluarkan lesen guaman kepada tokoh terbabit seterusnya bermulalah perjuangannya membela penduduk daripada ditindas British di Terengganu.
“Tanah adalah hak Allah dan bukannya hak negeri!” hujah tokoh itu membuatkan pihak pendakwa raya di Mahkamah Rendah Kuala Terengganu, terkedu. Haji Abdul Rahman Limbong menegaskan persoalan itu berdasarkan hadis Rasulullah SAW: “Sesiapa yang mengusahakan tanah yang tidak dimiliki oleh sesiapa maka dia lebih berhak terhadapnya,” (Hadis riwayat Imam Ahmad, Malik dan Bukhari).
Akhirnya kebolehan berhujah dan kepintaran Haji Abdul Rahman Limbong dalam pembicaraan itu menyebabkan hakim memutuskan yang semua petani terbabit tidak bersalah dan mereka dibebaskan.
Kebolehan Haji Abdul Rahman Limbong sebagai peguam menyebabkan British gentar dan khuatir rancangan mereka untuk menjajah serta mentadbir Terengganu akan gagal. Justeru, mereka menarik balik lesen guaman tokoh itu.
Walaupun Haji Abdul Rahman Limbong berjaya membuktikan yang tanah adalah hak Allah dan penduduk bebas meneroka tanpa perlu membayar satu sen pun kepada British, penjajah tetap melaksanakan peraturan berkenaan dan memaksa penduduk membayar cukai.
Bagaimanapun, ramai penduduk enggan menurut kehendak British dengan anggapan British adalah penjajah dan tidak berhak memungut sebarang cukai tanah.
“Mengapa pula orang asing yang datang ‘menumpang’ di tanah kita, berlagak seolah-olah tanah ini tanah mereka sehingga memaksa penduduk membayar cukai untuk mengusahakan tanah sendiri?” Begitulah pendapat mereka yang jelas tidak berpuas hati dengan tindakan rakyat asing itu.
Pada 1924, British mengetatkan lagi undang-undang berhubung tanah dengan syarat - sesiapa yang ingin membuka tanah baru, mereka terpaksa mendapatkan surat kebenaran atau pas daripada pemerintah.
Undang-undang itu semakin menekan penduduk yang sememangnya sudah miskin tetapi berbekalkan pegangan yang ‘tanah adalah hak Allah’ serta ‘penjajah tiada hak ke atas tanah penduduk tempatan’, ramai antara mereka tidak menghiraukan peraturan baru itu. Bagi mereka, tindakan British jelas bertentangan dengan syariat Islam.
Tanpa mengendahkan British, Haji Abdul Rahman Limbong terus mengetuai antara 300 hingga 500 petani untuk membersihkan tanah milik Tengku Haji Nik Maimunah di Kuala Telemong, tanpa memohon surat kebenaran pada 1925.
Tindakan itu menyebabkan British semakin bengang dan rasa tercabar. Satu lagi perintah dikeluarkan British menerusi Pegawai Daerah Kuala Berang, Tengku Lela meminta penduduk mematuhi peraturan yang ditetapkan mereka.
Bagaimanapun penduduk masih enggan menuruti kehendak penjajah malah tanpa mempedulikan perintah itu, mereka terus bertani tanpa mendapatkan surat kebenaran serta enggan membayar cukai kepada British.
Tindakan itu menyebabkan British yang merasakan kedudukan dan hasrat mereka untuk ‘menakluk’ Terengganu tergugat, bertindak menghantar beberapa anggota polis untuk menyaman penduduk.
Berlakulah pertengkaran antara polis dengan penduduk di mana penduduk bertegas menyatakan mereka berada di pihak yang benar dan enggan menuruti kehendak British manakala polis pula membela penjajah.
Daripada pertengkaran, ketegangan menyebabkan tercetusnya pergaduhan bersenjata yang natijahnya mengakibatkan dua anggota polis terbunuh.
British semakin marah dan menuduh Haji Abdul Rahman Limbong menghasut penduduk supaya menentang mereka. Bagaimanapun mereka tidak berani bertindak terhadap tokoh itu kerana tiada bukti kukuh.
Pada 1926, banjir besar dikenali ‘bah merah’ melanda Kuala Terengganu menyebabkan banyak tanaman dan harta benda penduduk rosak tetapi walaupun penduduk dalam kesusahan, penjajah masih berkeras memaksa penduduk membayar cukai dan perlu mendapat surat kebenaran membuka tanah daripada mereka.
Tekanan British terhadap penduduk akhirnya menyebabkan gerakan menentang penjajah mencapai kemuncaknya pada 1928. Penduduk yang dizalimi mula bersatu padu di bawah pimpinan Haji Abdul Rahman Limbong untuk meneruskan gerakan perjuangan.
Selain Haji Abdul Rahman Limbong, perjuangan turut diketuai beberapa lagi tokoh antaranya Haji Musa Minangkabau dan Sayyid Al-Sagof, Abu Bakar Cinting, Penghulu Saleh Pasir Nyiur, Tahir Pasir Padang, Mamat Tok Pintas dan Ismail Kuala Por.
Pada April tahun itu, satu perhimpunan raksasa membabitkan kira-kira 4,000 penduduk diadakan di kampung kediaman Haji Abdul Rahman Limbong iaitu Kampung Alor Limbat untuk membincangkan nasib mereka dan merancang untuk menentang penjajah.
Tidak lama selepas itu, kira-kira 1,000 penduduk berhimpun di Marang, Kuala Telemong dan Kuala Berang. Dengan bersenjatakan parang, pisau, tombak dan senapang; mereka menyerang balai polis Kuala Berang dan bangunan pemerintah serta menaikkan bendera merah di sana. Dari Kuala Berang mereka kemudian bergerak pula ke Kuala Terengganu.
Pihak British mengarahkan pasukan polis dari Kuala Terengganu yang diketuai Inspektor Tengku Abdullah, dihantar mengekang kemaraan penduduk. Pasukan polis menunggu kumpulan penduduk yang sedang mara di Padang Kacong, Kuala Telomong dan penduduk sampai di situ, berlakulah pertempuran antara kedua-dua pihak.
Dengan semangat jihad, penduduk terus meluru menentang anggota polis tanpa rasa gentar. Polis yang gentar melihat serbuan itu segera melepaskan tembakan.
Bumi Padang Kacong pada hari itu digegarkan dengan bunyi letupan senjata api polis dan dentingan parang dan keris penduduk setempat.
Kedua-dua pihak bertempur hebat sehingga ada yang cedera dan terbunuh. Selepas mendapati 12 pemimpin dan rakan mereka mati ditembak, akhirnya kumpulan penduduk mengambil keputusan untuk berundur.
British kemudian menuduh yang Haji Abdul Rahman Limbong bertanggungjawab menghasut rakyat sehingga tercetusnya pertempuran di Padang Kacong. Beberapa pemimpin dan Haji Abdul Rahman Limbong ditangkap dan dibicarakan.
Kebanyakan mereka dikenakan hukuman penjara. Di Istana Maziah, Haji Abdul Rahman Limbong dibicara dan diputuskan bersalah menyebarkan ajaran sehingga mencetuskan kebangkitan rakyat.
Di atas nasihat Datuk Seri Amar Di Raja Haji Ngah Muhammad, Haji Abdul Rahman Limbong dihukum buang negeri ke Singapura, seterusnya ke Makkah pada 1928.
Setahun kemudian, ulama pejuang Islam dan bangsa Melayu itu meninggal dunia akibat sakit pada 6 November 1929 seterusnya meninggalkan namanya kekal sebagai antara tokoh pejuang jihad bagi mempertahankan agama, bangsa dan tanah air, sehingga kini.

HEADING:

SIKAP warak dan tingginya ilmu agama Haji Abdul Rahman Limbong menyebabkan tokoh itu
turut digelar ‘Orang Keramat’ oleh penduduk Terengganu berikutan terdapat beberapa kisah aneh yang diceritakan berlaku membabitkan dirinya.
Antaranya ialah ketika Abdul Rahman berada di Kemaman, seorang pelombong Cina bertindak membanjiri tanah milik tokoh itu serta mengeluarkan kata-kata kesat kepada beliau. Keesokan hari, didapati tanah lombong milik pelombong Cina itu dipenuhi air dan rosak.
Di suatu ketika lain, Abdul Rahman pernah berkata kepada sekumpulan penduduk yang terdapat seekor ikan di dalam buah kelapa yang berada berhampiran mereka.
Kata-kata aneh itu menyebabkan kumpulan penduduk berkenaan sangsi dan tidak percaya. Lalu Haji Abdul Rahman Limbong menyuruh seorang daripada mereka memanjat dan memetik sebiji kelapa bagi membuktikannya.
Kemudian kelapa itu dibelah dan benar, didapati di dalam air buah berkenaan terdapat seekor ikan seluan.
Selain itu, Haji Abdul Rahman Limbong juga didakwa pernah ghaib di Pulau Manis dan muncul di hadapan anak muridnya di Kuala Terengganu.
Demikianlah beberapa cerita berhubung ‘kekeramatan’ tokoh itu yang terkenal warak dan tinggi ilmu agamanya.
Seperti juga gurunya iaitu Tok Ku Paloh, Haji Abdul Rahman Limbong, ialah seorang ahli sufi yang mengamalkan Tarekat Sammaniyah. Sungguhpun Haji Abdul Rahman Limbong seorang ahli sufi, beliau juga bijak dalam seluk belok persoalan dunia.
Ini dapat dibuktikan apabila beliau berhujah di mahkamah untuk membela rakyat yang disaman British. Haji Abdul Rahman Limbong juga dipercayai antara peguam terawal di kalangan bangsa Melayu.
Mengenai peribadinya, beliau terkenal berakhlak mulia. Zikir sentiasa meniti di mulut sementara tangannya selalu membilang biji tasbih. Jalannya dengan pandangan tertunduk merendah diri dan hanya sesekali diangkat ketika bertemu dengan penduduk.
Akhlak mulianya menyebabkan tokoh ulama itu amat dihormati sesiapa saja sehingga apabila bertembung di jalanan, penduduk akan berhenti bagi memberi jalan kepada ulama itu.
Di sebalik sikap merendah diri yang menghiasi akhlak mulianya, Haji Abdul Rahman Limbong nyata tegas membela kebenaran bersandarkan perintah Allah SWT dan Rasulullah SAW. Di mahkamah, lisannya fasih menentang undang-undang ciptaan manusia yang bercanggah dengan syariat.
Di gelanggang medan laga pula, beliau handal bersilat dan bermain senjata. Hidup di dunia ini, tiada suatu apapun yang ditakutinya melainkan kemurkaan Allah SWT dan melanggar ajaran rasul serta suruhan-Nya.
Haji Abdul Rahman Limbong mendapat pendidikan asas ilmu Islam sejak kecil di Makkah. Peribadinya ketika kanak-kanak banyak dicorak bapa saudaranya iaitu Haji Tun Muhammad.
Ketika pulang ke Terengganu, beliau mendapat pendidikan dari Haji Ya’qub dan Haji Musa dari Paya Bunga seterusnya peribadi Haji Abdul Rahman Limbong dibentuk menjadi seorang sufi dan pejuang jihad oleh tokoh ulama terkenal Terengganu, Tok Ku Paloh.
Selepas bertahun mempelajari ilmu agama, Haji Abdul Rahman Limbong aktif menyebarkan pengetahuannya dengan mengajar masyarakat di Hulu Terengganu menelusuri bidang nahu Arab, tauhid, fekah dan ilmu tasawuf.
Selain mengajar, Haji Abdul Rahman adalah seorang ulama yang suka merantau dan berdagang ke beberapa buah negeri. Beliau dikatakan pernah mengembara di Pahang, Kelantan, Patani, Kedah sehinggalah ke seberang laut iaitu Sambas, Jambi, Riau dan Brunei.
Bagaimanapun, selepas mengetahui rakyat Terengganu ditindas penjajah, Haji Abdul Rahman memutuskan untuk tidak lagi kerap mengembara dan ingin berada di sisi rakyat untuk menentang kezaliman British.

FAKTA
- Haji Abdul Rahman Limbong ialah seorang ulama yang sangat dihormati oleh masyarakat tempatan selain guru agama dan peniaga yang kerap merantau ke luar Terengganu.
- Nama sebenarnya ialah Haji Abdul Rahman bin Haji Abdul Hamid.
- Beliau digelar Haji Abdul Rahman Limbong kerana selalu pergi ke Limbong dan Kemaman untuk mengajar agama Islam di samping menjalankan perniagaan.
Faktor kebangkitan penentangan penjajah di Terengganu:
-Peraturan British menekan penduduk iaitu Undang-undang Kawalan Binatang Buas 1923 melarang penduduk memburu binatang liar dan mereka yang ingkar didenda 500 dolar dan senapang dirampas;
-Peraturan tanah 1921 mengkehendaki penduduk yang ingin membuka dan mengusahakan tanah selain mengutip hasil hutan mendapatkan pas kebenaran dengan bayaran 50 sen manakala peraturan tanah 1924 mewajibkan penduduk mendaftar tanah dengan bayaran 2.50 ringgit seorang.

PROFIL
HAJI ABDUL RAHMAN BIN HAJI ABDUL HAMID
GELARAN: Haji Abdul Rahman Limbong
Tempat lahir: Kampung Jengok Tong, Beladau Kolam, Kuala Terengganu.
Tahun lahir: 1868
Tempat meninggal dunia: Makkah
Tahun meninggal dunia 1929 (61 tahun)
Sumbangan dan khidmat: Pejuang kemerdekaan tanah air di Terengganu, peguam, ulama terkemuka, peniaga dan pengembara.

tamat.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home