Friday, May 11, 2007

rekabentuk rumah Islam

nasron19

Dekor - Dekor mengikut Islam

Oleh Nasron Sira Rahim
nasron@bharian.com.my

INDAHNYA Islam. Konsep syumul iaitu ajarannya meliputi semua perkara di dunia menyebabkan Islam turut menyediakan garis panduan kepada manusia dalam merekabentuk ruang serta menghias sesebuah kediaman.
Tujuannya adalah untuk menjamin keselamatan keluarga, mengutuskan kebahagiaan dalam kerukunan rumah tangga, memupuk keharmonian sesama ahli rumah dan masyarakat setempat, mendidik anak-anak supaya membesar menjadi insan mulia seterusnya mencapai titik kemuncak iaitu memperoleh keredaan Allah SWT dan keberkatan hidup di dunia.
Berbanding pelbagai konsep hiasan dalaman dan reka bentuk rumah, konsep seni bina atau dekorasi Islam berteraskan kepada hukum syariat antaranya batasan hubungan antara lelaki dan wanita; hak dan hubungan kejiranan; hak tetamu, kehendak ibadat dan adab dalam Islam.
Pengurus Galeri Kelopak Nipah, Abdul Ghafur Tahir, berkata selain hukum teras berkenaan, reka bentuk dan pemilihan hiasan dalaman dalam Islam pula bersandarkan kepada perkara yang mampu memperoleh pahala sunat serta mengelakkan perbuatan makruh dan haram.
“Seni bina dan dekorasi Islam tidak bermaksud sesuatu bangunan itu memiliki berbentuk kubah, tulisan khat atau berkonsepkan seni bina kerajaan Islam silam seperti Abasiyah dan Uthmaniah sebaliknya ia berteraskan hukum syariat untuk menjaga kemaslahatan manusia,” katanya yang berpengalaman selama 25 tahun dalam industri dekorasi dan reka bentuk dalaman Islam.
Beliau berkata, konsep reka bentuk serta hiasan kediaman sudah ada dalam Islam dan dinyatakan menerusi al-Quran dan sunnah Rasulullah SAW tetapi ia kurang dipraktikkan.
Antaranya berdasarkan hadis Rasulullah SAW seperti sabda Baginda: “Sesungguhnya malaikat tidak akan masuk suatu rumah yang dalamnya ada patung," (riwayat Bukhari dan Muslim).
Mengulas kepentingan hadis berkenaan dalam dijadikan asas dekorasi kediaman, Abdul Ghafur berkata, kehadiran malaikat dalam rumah akan membawa bersama rahmat serta keberkatan Allah SWT dan jika malaikat tidak masuk ke kediaman, maka keluarga terbabit akan terlepas memperoleh kurniaan Tuhan itu.
Katanya, sekiranya sesebuah keluarga itu diberkati dan diredhai Allah SWT, maka mereka akan menjadi insan cemerlang, beriman dan sentiasa berasa bahagia dalam hidup.
Penekanan terpenting dalam merekabentuk ruang rumah pula bersandarkan kepada hukum aurat antara lelaki dan wanita seperti banyak difirmankan Allah SWT antaranya menerusi surah an-Nur, ayat ke-30 dan 31:
“Katakanlah kepada lelaki yang beriman: Hendaklah mereka menahan pandangannya, dan memelihara kemaluannya; yang demikian itu adalah lebih suci bagi mereka, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang mereka perbuat.
“Serta katakanlah kepada wanita yang beriman: Hendaklah mereka menahan pandangan mereka, dan memelihara kemaluan mereka dan janganlah mereka menampakkan perhiasan mereka kecuali yang nampak dari mereka.
“Dan hendaklah mereka menutupkan kain tudung ke dada mereka dan janganlah menampakkan perhiasan mereka, kecuali kepada suami mereka; atau ayah mereka; atau ayah suami mereka; atau putera mereka; atau putera suami mereka; atau saudara mereka; atau putera saudara lelaki mereka; atau putera saudara perempuan mereka; atau wanita Islam, atau budak yang mereka miliki atau pelayan lelaki yang tidak mempunyai keinginan (terhadap wanita); atau anak yang belum mengerti tentang aurat wanita.
“Dan janganlah mereka menghentak kaki mereka agar diketahui perhiasan yang mereka sembunyikan. Dan bertaubatlah kepada Allah, wahai orang yang beriman supaya kamu beruntung.”
Beliau berkata, selepas selesai mengambil kira panduan utama dalam merekabentuk ruang rumah berdasarkan syariat Islam, hiasan dalaman boleh dilakukan bertujuan meningkatkan motivasi untuk meneruskan hidup selaku hamba Allah SWT serta mendekatkan diri dengan Islam.
“Adalah lebih baik jika kita memilih hiasan dalaman yang secara tidak langsung kita boleh memperoleh pahala sunat daripada meletakkan hiasan yang kita tidak mendapat apa-apa pahala langsung.
“Begitu juga dengan persoalan makruh; adalah lebih baik kita menghindari hiasan atau mereka bentuk ruang rumah yang hukumnya makruh bagi memperoleh pahala,” katanya.
Abdul Ghafur bagaimanapun berkata, berbanding di kebanyakan negara Arab, rumah di Malaysia masih kurang dibina mengikut garis panduan ditetapkan Islam. Antara panduan dianjurkan Islam dalam merekabentuk ruang rumah dan hiasan dalaman adalah:

*Bilik
Bilik bagi anak lelaki dan perempuan serta ibu bapa haruslah dipisahkan. Sabda Rasulullah SAW: “Perintahkanlah anak kamu supaya menunaikan solat apabila usia mereka tujuh tahun. Apabila usianya 10 tahun, pukullah mereka seandainya mereka ingkar dan pisahkanlah tempat tidur mereka (antara anak lelaki dan perempuan),” (Riwayat Abu Daud).
Tempat tidur juga sebaiknya membolehkan seseorang itu tidur di atas rusuk kanan dan menghadap kiblat.

*Ruang tamu dan ruang legar
Ruang tamu seharusnya memisahkan antara ruang bagi menyambut tetamu yang terdiri daripada mereka yang ajnabi (boleh dikahwini) dengan ruang bagi ahli keluarga berlegar. Ia juga sebaiknya dibina bagi mengelakkan percampuran antara lelaki dan wanita bagi menjaga batasan aurat berlainan jantina seperti ditetapkan syarak.
Di kebanyakan negara Arab, jika tetamu terutama lelaki yang ajnabi hadir; mereka hampir tidak dapat mendengar suara dan melihat kelibat ahli keluarga yang perempuan.
Lebih baik juga disediakan satu ruang khas untuk beribadat kerana Rasulullah SAW menyifatkan rumah laksana masjid bagi kaum perempuan menunaikan solat fardu dan kaum lelaki menunaikan solat sunat.

*Bilik tetamu
Islam membenarkan sesebuah keluarga menerima seseorang tetamu untuk menginap selama tiga hari di rumah mereka. Justeru, sebaiknya sebuah bilik tetamu ajnabi dipisahkan dengan ruang untuk ahli keluarga. Bilik tamu juga sebaiknya memiliki bilik air dan bilik mandi yang sendiri.

*Reka bentuk rumah
Reka bentuk rumah seharusnya mengambil kira hak jiran antaranya tidak menganiaya jiran seperti menutup jalan mereka atau lebih tinggi daripada kediaman mereka.
Ia juga harus dibina dengan mengambil kira beberapa hukum syariat lain antaranya seorang isteri tidak dibenarkan keluar rumah tanpa izin suami. Ahli rumah terutama perempuan harus selesa berlegar tanpa dapat pihak di luar rumah melihat aurat mereka dan mudah untuk pihak di dalam rumah mendengar salam atau menyedari kehadiran tetamu.
Rumah juga harus mampu menjadi tempat perlindungan peribadi di mana Rasulullah SAW pernah memberi amaran akan menyucuk mata sesiapa yang mengintai ke dalam rumah orang.

*Ruang lapang
Ruang lapang harus dibina untuk ahli keluarga yang perempuan melakukan aktiviti seperti menyidai baju atau sebagainya, tanpa perlu mereka keluar dari rumah atau mendedahkan aurat. Ruang lapang dibina sehingga pihak di luar rumah tidak dapat melihat ke dalamnya.

*Tandas
Tandas harus dibina dengan konsep penggunanya tidak menghadap ke arah kiblat atau membelakanginya ketika menunaikan hajat. Hadis daripada Abu Hurairah, ertinya: "Sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda: Jika seseorang antara kamu duduk untuk buang hajat, maka janganlah dia mengadap kiblat atau membelakanginya," (Riwayat Ahmad dan Muslim).
Elakkan juga membina tandas di tempat yang sama dengan dengan tempat mandi seperti sabda Baginda: “Jangan sekali-kali seseorang antara kamu kencing di tempat mandinya, kemudian dia berwuduk di situ, kerana umumnya (penyakit) was-was datang dari sana.”
Ia juga sepatutnya dibina di dalam rumah bagi mengelak ahli keluarga terdedah kepada dilihat individu ajnabi.

*Hiasan dalaman
Sebaiknya mendekatkan diri dengan Allah SWT seperti menggantung ayat suci al-Quran dan pemandangan alam.
Elakkan menghias dengan sesuatu yang haram seperti meletakkan patung, gambar yang mendedahkan aurat atau merangsang syahwat, reka bentuk yang membentuk salib selain hiasan yang mendorong kepada sifat riak dan sombong.
Allah berfirman: “Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah, hati menjadi aman tenteram,” (ar-Ra’d: 28).

tamat.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home