Tuesday, February 13, 2007

misteri kehilangan Jim Thompson

nasron67
Jejak - Ghaib di Cameron Highland
- Jim Thompson masuk ke hutan dan tidak keluar-keluar lagi

Oleh Nasron Sira Rahim

DUA puluh enam Mac 1967. Jam menunjukkan sekitar 2.30 petang apabila usahawan sutera Thailand, James Harrison Wilson Thompson atau Jim Thompson, memutuskan untuk keluar berjalan-jalan di kawasan hutan berhampiran banglo percutiannya di Cameron Highlands, Pahang.
Lalu dengan mengenakan baju lengan panjang berwarna putih dan seluar berwarna kelabu, hartawan digelar ‘Raja Sutrera Thailand’ itu mula melangkah meninggalkan kediaman menuju kawasan hutan tanpa memberitahu sesiapa.
Sehinggalah matahari beredar jauh ke ufuk Barat, cuaca cerah petang mula bertukar kelam tetapi lelaki itu masih belum pulang. Ketika jam menunjukkan angka 6, Dr Ling yang mempelawa Thompson bercuti di banglo itu mula diasak resah.
Kelibat tetamunya itu tidak kelihatan di mana-mana sejak mereka menikmati makan tengah hari tadi. Lelaki yang baru menyambut ulang tahun ke-61, lima hari lalu itu hilang tanpa meninggalkan pesan. Hatinya walang memikirkan pelbagai kemungkinan yang menimpa sahabatnya itu.
Cemas membuatkan Dr Ling tidak betah menunggu saja di banglo berkenaan. Penantian dalam kerisauan selama beberapa jam sebentar tadi masih belum menghilangkan kegalauan di jiwa; kelibat Thompson yang dinanti masih belum kelihatan di hadapan mata.
Pada mulanya dia menenangkan hati dengan menganggap Thompson hanya bersiar-siar sekitar banglo untuk seketika. Ini disebabkan lelaki Inggeris itu tidak membawa bersama rokok dan pil ubatan bagi sakit pundi hempedunya yang ditinggalkan di dalam bilik.
Dr Ling tidak sabar lagi, dia mencapai kunci kereta dan keluar dari rumah itu. Sebaik enjin dihidupkan, Dr Ling mula memandu di kawasan sekitar bagi mencari Thompson.
Pencarian hampir dua jam masih menemui kegagalan, akhirnya Dr Ling membuat laporan polis mengenai kehilangan Thompson di Balai Polis Tanah Rata yang berhampiran sekitar jam 7.30 malam.
Seterusnya pasukan mencari disertai anggota polis, askar British, penjejak di kalangan orang asli, penduduk setempat digerakkan meredah semak belukar hutan bagi mencari lelaki duda itu.
Selama beberapa hari, gerakan mencari masih menemui kehampaan dan jasad lelaki warga asing itu terus ghaib dalam hutan tebal itu tanpa dapat dikesan.
Keadaan itu menimbulkan tanda tanya di kalangan pelbagai pihak termasuk Dr Ling. Tetamunya itu hilang ketika memenuhi undangan Dr Ling dan isterinya yang juga peniaga barang antik dari Singapura, Helen Ling, untuk bercuti di kotej di pusat peranginan berkenaan.
Undangan diterima dan Thompson tiba di banglo itu dengan ditemani rakan rakyat Thai, Constance Mangskau. Kedua warga asing itu tiba dengan kereta pada Jumaat, 24 Mac dan merancang untuk bercuti selama empat hari.
Masih diingat di layar fikiran Dr Ling yang mereka menghabiskan masa dengan meninjau kawasan hutan berhampiran dan berehat di rumah pada Sabtu manakala sehari selepas itu, mereka berkelah di Gunung Brinchang iaitu puncak tertinggi di Cameron Highlands.
Seterusnya pada hari ketiga, selepas menikmati makan tengah hari, lelaki warga Amerika itu masuk ke dalam hutan dan tidak keluar-keluar lagi.
Operasi mencari kemudian disertai kira-kira 300 anggota daripada pelbagai pihak termasuk sebuah helikopter Amerika berangkat dari Bangkok untuk memantau kawasan hutan Cameron Highlands dari udara.
Selepas sebulan operasi mencari masih diselubungi kebuntuan, ganjaran berbentuk wang ditawarkan kepada sesiapa yang menjumpai hartawan itu. Syarikat diasaskan Thompson, Thai Silk Company menawarkan US$25,000 kepada sesiapa yang menjumpai pengasasnya.
Tawaran lumayan itu menyebabkan terdapat pihak luar mula membabitkan diri dalam gerakan mencari tetapi berdasarkan anggapan pengaruh mistik terbabit dalam kes kehilangan itu.
Bomoh di kalangan Melayu, India dan Cina selain psikik Amerika dan Australia mencuba kebolehan masing-masing untuk mencari Thompson tetapi ternyata masih gagal.
Selepas tujuh tahun gagal ditemui, Thompson diklasifikasikan sebagai sudah mati pada 1974 mengikut akuan berkanun tetapi nasib sebenar lelaki itu sama ada masih hidup atau sudah mati, masih tidak diketahui sesiapa. Riwayat hidupnya selepas itu amat misteri.
Dan kehilangan tidak disangka-sangka itu terus menjadi misteri yang sering bermain-main di minda pasukan pencari; tiada jawapan yang dapat diberikan bagi menyelesaikan teka-teki kehilangan hartawan itu.
Lebih membingungkan apabila Thompson pernah memberitahu Helen Ling yang jika seseorang sesat di dalam hutan itu, maka mereka hanya perlu mengikuti arah laluan aliran sungai untuk keluar dengan selamat.
Kenyataan itu membuktikan bahawa Thompson adalah seseorang yang berpengalaman di dalam hutan yang tidak memungkinkan dia sesat, tambahan pula lelaki itu seorang yang bersemangat dan cergas malah bekas tentera.
Entah di mana lelaki itu berada kini, tiada diketahui. Ia menjadi sebuah misteri yang tidak terungkai selama 40 tahun dan jika lelaki itu masih hidup sehingga kini, Jim Thompson akan berusia 101 tahun!

HEADING:

KEHILANGAN usahawan sutera Thailand, Jim Thompson, menyebabkan timbul pelbagai teori konspirasi mengenai kejadian yang menimpa dirinya.
Sesetengah pihak percaya Thompson dibaham harimau atau binatang buas manakala sesetengah pihak lain percaya dia dibunuh musuhnya berikutan sejarah silam Thompson sebagai bekas perisik Agensi Perisikan Amerika (CIA).
Terdapat juga teori yang lelaki warga asing itu merancang sendiri kehilangannya, dengan latar belakang sebagai perisik, Thompson dianggap mahir bermain dengan penyamaran dan tipu helah.
Beginilah lebih kurang plot kisah kehilangan lelaki penuh misteri itu dalam teori-teori yang tidak dapat dipastikan kesahihannya.
Sekitar waktu kehilangannya, Amerika sedang terdesak berperang dengan Vietnam. Dikatakan Amerika ketika itu memerlukan tapak untuk pangkalan ketenteraan mereka dan mengutuskan Thompson yang mungkin masih bertugas sebagai ejen CIA, untuk mencari lokasi itu di Thailand.
Bagaimanapun, penyamaran dan tugas rahsia lelaki itu terbongkar menyebabkan nyawanya kini berada dalam bahaya. Thompson mula diburu musuh menyebabkan dia mula tergesa-gesa meninggalkan Thailand kononnya untuk bercuti di Cameron Highlands.
Bagaimanapun, pelariannya itu berjaya dihidu pihak musuh yang menjejak lelaki itu sehingga ke Cameron Highlands. Di sebalik hutan tebal yang mengelilingi banglo percutian itu, pihak musuh mengintip kelibat lelaki terbabit dan menunggu peluang yang sesuai.
Akhirnya, peluang dinanti muncul di hadapan mata pada petang 26 Mac 1967 apabila Thompson dilihat sedang leka menikmati keindahan panorama alam secara keseorangan.
Plot teori ala filem aksi arahan John Woo itu berakhir dengan pasukan musuh menculik Thompson dan membawanya ke satu lokasi rahsia. Jejak Thompson akhirnya lenyap tanpa diketahui umum.
Mungkin juga babak akhir kisah kehilangan Thompson boleh diakhiri dengan satu lagi teori yang tidak kurang mendebarkan:
Menyedari operasi rahsia yang dijalankannya di Thailand sudah bocor dan nyawanya kini terancam, Thompson merancang kehilangannya di hutan Cameron Highlands sehingga ramai pihak mula menggeladah setiap pelusuk hutan itu bagi mencari kelibatnya.
Bagaimanapun, dengan kemahiran menyusup dan menyembunyikan diri, Thompson bersembunyi di satu lokasi rahsia dan sentiasa mengelak bertembung dengan pasukan pencari. Dia mendiamkan diri dan menunggu sesuatu.
Selepas beberapa hari pasukan pencari masih gagal menemui jasad lelaki itu, operasi mencari diperhebatkan dengan beberapa helikopter termasuk helikopter Amerika berlegar di udara bagi memantau dari udara.
Ketika ramai pihak mencari di seluruh kawasan hutan, tiada siapa pun yang menyedari bahawa satu daripada helikopter itu bukan berlegar bagi membantu gerakan mencari sebaliknya diutuskan untuk membawa keluar Thompson dari Malaysia ke satu lokasi rahsia.
Tanpa disedari sesiapa, operasi ‘menyelamat’ Thompson dari buruan musuh berjaya dilakukan dan lelaki itu dibawa pulang ke Amerika dan diberikan identiti baru bagi ‘menghaibkan’ identiti asalnya selaku perisik.
Bagaimanapun, seperti ditegaskan, semua itu hanyalah teori yang tidak dapat dipastikan kesahihannya; sama seperti satu kenyataan tanpa bukti yang boleh dikatakan kononnya lelaki itu mungkin diculik ke alam bunian.
Sesuatu yang pasti adalah tiada siapa yang mengetahui nasib sebenar dialami lelaki itu selepas dia melangkah kaki memasuki hutan Cameron Highlands dan kehilangan Jim Thompson akan terus menjadi misteri.

PROFIL:
James Harrison Wilson Thompson
Gelaran: Jim Thompson; Raja Sutera Thailand
Tarikh lahir: 21 Mac 1906
Tempat lahir: Greenville, Delaware, Amerika Syarikat.
Tarikh hilang: 26 Mac 1967
Tempat hilang: hutan Cameron Highlands.
Latar belakang:
- memperoleh Ijazah Seni Bina dari Universiti Pennsylvania.
- meninggalkan kerjaya arkiteknya untuk menyertai tentera sekitar 1940-an.
- Pada perang dunia kedua, Thompson menjadi perisik Pejabat Perkhidmatan Strategik (OSS) yang kemudian dikenali sebagai CIA pada 1947
- Selepas Jepun menyerah kalah dalam perang dunia kedua, Thompson ditugaskan menjadi Pegawai Pemerintah OSS cawangan Bangkok, Thailand.
- Selepas bersara daripada OSS pada 1946, dia terus tinggal di Bangkok dan mengasaskan Thai Silk Company setahun kemudian. Bagaimanapun ada pihak percaya yang dia masih menjalankan aktiviti perisikan secara tersembunyi selepas bersara.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home