Tuesday, February 06, 2007

rumah ahadiat

Hias Laman

Oleh Nasron Sira Rahim

INI rumah ke resort? Begitulah tanggapan pertama ketika menjejak kaki di persekitaran kediaman agam milik penulis novel, Ahadiat Akashah Khairuddin Akashah di Gombak, Selangor.
Perjalanan merentas kota batu Kuala Lumpur yang sentiasa sibuk dan hingar-bingar kemudian bagaikan memasuki dunia asing sebaik kaki melangkah menuruni tangga curam ke ruang kediaman penulis itu di pinggir ibu kota.
Hati yang sedikit kepanasan akibat dibakar pelbagai kerenah pemandu sepanjang perjalanan tiba-tiba saja tenang dan sejuk disirami panorama hijau yang indah mengelilingi banglo berkenaan.
Terik panas tengah hari tidak sampai ke kawasan tanah tinggi itu; udara segar dan nyaman semula jadi hasil janaan tumbuhan menghijau yang subur terus menyapa menyambut kehadiran tetamu yang bertandang.
Menyusuri laluan simen di sekeliling kawasan rumah seluas kira-kira 0.6 hektar itu, sukar untuk mempercayai yang di tengah kota batu sesak dengan pembangunan ini masih terdapat sebuah rumah di tengah hutan mini milik Ahadiat.
Ketika itulah hati berdetik - ini rumah atau resort? Tertanya-tanya di minda ketika melihat yang kediaman milik Ahadiat ini tidak seperti kediaman penduduk lain. Ia lebih menyerupai kawasan resort berbanding rumah, fikir saya.
Ini disebabkan, hutan di kaki bukit itu tidak saja menempatkan sebuah rumah untuk istirahat keluarga penulis itu tetapi lengkap dengan pelbagai kemudahan bak taman percutian.
Tidak seperti kediaman lain yang mana pemiliknya menempatkan segala-galanya di dalam rumah, Ahadiat mengatur segala kemudahan keluarganya di sekeliling kawasan kediaman itu.
Justeru tidak hairanlah jika di tepi rumahnya didirikan bangunan surau khusus untuk bersolat; mini zoo; padang; studio latihan muzik dan karaoke; gimnasium; garaj letak kenderaan; tandas dan bilik mandi; air terjun; kolam renang dan sauna; bar; stor; pejabat; tempat makan dan barbeku selain chalet kecil untuk kunjungan taulan dan saudara.
Begitulah keadaannya di laman luas banglo Ahadiat. Tidak hanya rumah tetapi banyak ruang dan bangunan didirikan khusus untuk tujuan tertentu manakala kawasan kosong antara bangunan itu dihiasi taman dan kolam kecil.
Ahadiat, 41, berkata konsep rumah dalam taman ini dibina secara berperingkat dan mengambil masa lima tahun untuk disiapkan. Lebih memberikan kepuasan kepada dirinya adalah arkitek, tukang kebun dan tukang rumah bagi banglo digelar ‘Pesta Taman’ itu adalah dirinya sendiri selain bantuan ahli keluarga terdekat.
“Memang saya memilih untuk membina rumah yang dikelilingi taman kerana ia bersesuaian dengan jiwa saya yang cintakan alam semula jadi dan minat berkebun,” katanya yang diiktiraf Buku Rekod Malaysia sebagai penulis yang paling banyak menghasilkan novel.
Beliau berkata, ketika mula bercadang untuk membina rumah di tanah bukit berkenaan, dia sememangnya sudah merancang untuk mengagihkan kawasan luas itu dengan pelbagai bangunan dan kemudahan.
Kemudian, dimulai bangunan rumah ala kotej Eropah yang berkeluasan 6,500 kaki persegi, Ahadiat bersama saudara terdekatnya mula membina bangunan lain seperti surau, bilik mandi, studio sehinggalah chalet.
Mengenai landskap taman yang mengelilingi rumah itu pula, Ahadiat memilih konsep ‘hutan semula jadi’ dengan menanam pokok hutan asal yang liar tumbuh di bukit itu dan bukannya bunga-bungaan seperti kebanyakan pemilik rumah lain.
“Saya juga mewujudkan mini zoo dengan membela burung, ayam, itik, ular, kura-kura, musang, monyet, kambing dan anjing untuk menjaga keselamatan. Bagaimanapun banyak haiwan berkenaan sudah dilepaskan,” katanya.
Ahadiat kemudian menamakan taman kediamannya itu sebagai ‘Pesta Taman’ bagi menggambarkan kegembiraannya menerima kunjungan tetamu untuk berpesta di taman yang dibinanya.

tamat.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home