Tuesday, February 06, 2007

tragedi Ringlet 1961

Jejak - 16 mangsa ditanam hidup-hidup.
- Tragedi Ringlet pada 1961 catat sejarah hitam negara

Oleh Nasron Sira Rahim

DALAM ruang kedai kopi itu, penduduk sekitar Ringlet, sebuah pekan kecil di Pahang masih leka dengan aktiviti rutin mereka saban hari - bermain mahjong, daun terup dan mencicip secangkir kopi dengan gembira dan tenang bersama rakan.
Sehinggalah sekitar jam 4 petang, deretan buah mahjong di atas meja mula bergerak bertaburan. Tenang air kopi di dalam cawan mula berkocak dan permukaan tapak kedai yang mereka diami mula bergegar. Bunyi dengung menusuk corong telinga semakin kuat!
Pengunjung mula panik dan tertanya-tanya tetapi belumpun jawapan diperoleh, sesuatu yang menggemparkan berlaku. Mereka tidak sempat berfikir panjang, sejurus selepas gegaran itu, tanpa sempat berbuat apa-apa termasuk berlari meninggalkan kawasan itu, kedai berkenaan runtuh.
Jeritan mungkin kedengaran seketika sebelum tiang dan bahan binaan kedai menghempap mereka. Kemudian, buat seketika, segala-galanya sunyi.
Kelam. Seorang daripada pengunjung di dalam kedai kopi itu tidak dapat melihat apa-apa, keadaan sekeliling menjadi gelita. Dia cuba menggerakkan tangan dan kakinya tetapi gagal berbuat demikian. Posisi kedudukannya terhad.
Apa yang sudah berlaku? Dia tertanya-tanya sendirian dalam keadaan yang tidak dapat dipastikan itu. Sekelilingnya gelap, ruang pergerakannya terhad, pendengarannya tuli dan nafasnya semakin sesak.
Tiba-tiba fikirannya terbayang sesuatu yang ngeri. Dia kembali cemas. Lelaki itu menelan liur yang perit tatkala mengenangkan yang keadaannya bagaikan di dalam kubur! Dia tertanam hidup-hidup!
Di luar, keadaan mula riuh rendah. Raungan dan tangisan terutama di kalangan penduduk wanita berterusan di mana-mana. Suasana cemas dan kelam kabut.
Hari itu - 11 Mei 1961, beribu tan tanah runtuh di atas sederet kedai yang berada di kaki bukit tanpa disangka. Enam daripada lapan kedai tertimbus sepenuhnya bersama pelanggan yang masih tidak dikenal pasti jumlahnya. Pastinya, semua pelanggan terbabit tertimbus hidup-hidup!
Bagi mereka yang terselamat iaitu tidak berada di dalam enam premis itu, raungan dan jeritan bak histeria kedengaran berterusan sebaik melihat kejadian itu. Lebih-lebih lagi tatkala mengenangkan ada antara saudara, suami, isteri, anak atau ahli keluarga yang sudah tertimbus dalam timbunan tanah itu.
Dan raungan dan jeritan kuat itu bertebaran luas sekeliling bandar berkenaan. Ia menarik perhatian beberapa pihak berdekatan sehingga sekelip mata saja kawasan bandar kecil Ringlet dipenuhi ramai orang.
Lebih 700 orang datang dari segala pelusuk alam dan mula mengerumuni timbusan tanah itu. Antara mereka adalah sekumpulan tentera British yang sedang beristirahat berhampiran selain jurutera Jerman yang mengendalikan projek berhampiran.
Mereka mula mengorek dengan harapan masih ada mangsa yang dapat diselamatkan. Selain penduduk setempat, ratusan pekerja projek empangan hidroelektrik berhampiran bergegas menghulurkan bantuan.
Kerja-kerja pengorekan dimulai dengan kudrat manusia sehingga peluh berjuraian dari dahi hingga ke kaki. Pasukan penyelamat daripada pihak berkuasa tiba dengan pantas dan menyertai usaha sukarela penduduk itu.
Seterusnya dua jentera bulldozer dikejarkan untuk mengorek tanah bagi mencari mangsa yang masih tertimbus. Kerja itu bukan mudah lantaran timbunan tanah ribuan tan itu meliputi kawasan luas.
Dianggarkan masih ada kira-kira lebih 20 pelanggan di dalam masing-masing tiga kedai kopi, dua kedai runcit dan satu kedai daun teh berkenaan ketika tragedi mula berlaku. Sebuah teksi yang membawa penumpang juga dilaporkan tertimbus. Kini semuanya masih ditelan tanah.
Dua jam kemudian, seorang daripada penyelamat sukarela itu melihat sesusuk tubuh di sebalik timbunan tanah itu. Dia terus menggali lebih bersemangat. Beberapa rakan turut menggali di tempat sama.
Selepas dua jam, kerja menggali mereka mengeluarkan enam kanak-kanak Cina dan empat India yang sudah tidak lagi bernyawa. Seorang wanita Cina yang juga seorang daripada pemilik kedai berkenaan berjaya dibawa keluar hidup-hidup tetapi dua anaknya maut dalam tragedi itu.
Kira-kira 30 pengunjung lain berjaya diselamatkan walaupun mengalami kecederaan. Sebahagian mangsa yang kritikal terus dikejarkan ke Hospital Ipoh dan Hospital Tapah yang berdekatan.
Jam melewati kira-kira empat jam dari permulaan masa tragedi apabila satu keajaiban berlaku - seorang kanak-kanak berusia tujuh tahun dijumpai selamat walaupun sudah lebih tiga jam tertimbus hidup-hidup.
Kanak-kanak itu terselamat kerana ketika runtuhan, dia sempat berbaring dan berlindung berhampiran tembok yang menghalang tanah berat itu daripada menimbusinya.
Jam berganti dan hari bersilih, tanah terus diangkut dan kerja-kerja pengorekan diteruskan tanpa henti. Menjelang petang hari kedua, sebanyak kira-kira 13 mayat tercatat dalam senarai mangsa maut tragedi Ringlet.
Perdana Menteri ketika itu, Tun Abdul Razak dan jemaah menteri kabinet turut melawat dan memantau operasi gerakan mencari berikutan tragedi Ringlet adalah tragedi yang dicatat sebagai sejarah hitam negara. Tidak pernah tanah runtuh berlaku dengan sebegitu teruk dan mengorbankan mangsa yang ramai sebelum ini.
Menjelang petang, tanah yang menutupi enam premis di pekan kecil itu berjaya dibersihkan. Enam premis itu kini tiada lagi, tiada dinding, tiada atap; yang tinggal hanyalah tapak simennya saja.
Ketika semua premis itu runtuh, serpihannya turut menghempap beberapa rumah berhampiran dan menyebabkan kerosakan.
Seterusnya pada hari ketiga, dua lagi mayat ditulis dalam senarai mangsa maut selepas dijumpai dalam timbunan tanah itu menjadikan jumlah mangsa seramai 15 orang.
Hari itu juga, akhbar melaporkan penafian Lembaga Letrik Pusat yang kejadian tanah runtuh itu berpunca daripada projek empangan hidroelektrik bernilai jutaan ringgit yang dijalankan berhampiran pekan itu.
Hari keempat, satu lagi berita sedih disebarkan apabila seorang kanak-kanak perempuan yang pada mulanya ditemui selamat, meninggal dunia di hospital pada pagi 14 Mei. Itulah mangsa terakhir yang menjadi korban tragedi Ringlet 1961, 35 orang cedera dan 16 mangsa menemui maut ditanam hidup-hidup!
HEADING:
Sebelum tragedi tanah runtuh itu, tiada pihak yang mengenali atau mempedulikan pekan kecil Ringlet yang terletak berhampiran Cameron Highland.
Bagaimanapun, selepas meragut 16 nyawa, pekan itu menjadi terkenal dan dikunjungi ramai pihak yang ingin melihat kesan tragedi walaupun tragedi tanah runtuh itu sudah dua bulan berakhir.
Keadaan itu menyebabkan Ringlet menjadi tumpuan melebihi pekan Tanah Rata yang lebih kerap menjadi persinggahan sebelum pengunjung meneruskan perjalanan ke Cameron Highland, sebelum tragedi itu.
Ringlet hanyalah pekan kecil yang mengandungi kira-kira 20 bangunan termasuk rumah. Ketika itu, sesiapa yang ingin ke kawasan tanah tinggi pelancongan itu, mereka perlu melalui Ringlet terlebih dulu.
Bagaimanapun, kawasan jalan rayanya agak berbahaya dengan gaung curam yang dipenuhi hutan tebal menunggu di bawah jalan berkenaan.
Selepas tragedi itu, rumah penduduk yang rosak digantikan dengan 10 kediaman baru yang dibina ehsan daripada kerajaan masing-masing satu rumah untuk satu keluarga yang mengalami kejadian berkenaan.
Rumah seluas kira-kira lima meter lebar dan 10 meter panjang itu dibina serta merta iaitu pada hari ketiga kejadian dan 17 lori tentera digunakan untuk mengangkut pelbagai peralatan dan kelengkapan pembinaan.
Sepuluh rumah aluminium itu siap dibina dan diduduki 10 keluarga mangsa tiga hari kemudian.
Menerusi tragedi Ringlet juga, dapat dilihatkan tradisi keprihatinan kerajaan dan rakyat Malaysia terhadap mangsa yang kurang bernasib baik.
Derma bagi meringankan beban mangsa diterima tidak putus-putus sehingga mencecah lebih RM10,000, satu jumlah besar ketika zaman awal kemerdekaan.
Kerajaan sendiri memberi wang pendahuluan RM50 bagi setiap mangsa untuk memberi keperluan selain antara RM100 dan RM200 untuk mengebumikan mayat mangsa.
Selain sumbangan kewangan, bantuan berbentuk pakaian, perubatan dan makanan turut disertakan ketika operasi menyelamat dijalankan.

tamat.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home