Tuesday, January 30, 2007

raja muda johor ketuai tentera india

nasron61

dimensi - tunku ismail ibrahim tunku ibrahim ismail catat sejarah malaysia

Oleh Nasron Sira Rahim
(Yang menyaksikan perbarisan Hari Republik India ke-57 di New Delhi, India, baru-baru ini)

PAGI 26 Januari lalu, seorang anak muda dari Malaysia mencatat sejarah besar negara di India; satu kawasan yang asing sekali dari segi budaya, cuaca, bangsa serta jauh pula dari tanah tumpah darahnya.
Walaupun hadir sebagai warga asing yang berkelana hampir empat tahun di negara itu, prestasi cemerlang menyebabkan anak muda Johor itu dipilih untuk mengepalai lebih 10,000 tentera India sempena perbarisan Hari Republik India ke-57.
Penghormatan yang diberikan menerusi tanggungjawab itu bukan calang-calang. Beliau orang asing, tetapi pada hari perayaan yang terbesar di negara itu; Raja Muda Johor, Tunku Ismail Ibrahim Tunku Ibrahim Ismail menjadi orang pertama memulakan perbarisan bagi pihak Angkatan Tentera Bersenjata India (ATBI).
Di belakang Tunku Ismail yang satu-satunya rakyat asing dalam ATBI, berarak lebih 10,000 tentera India daripada pelbagai unit sepanjang upacara perbarisan yang disaksikan PresidenIndia, Dr APJ Abdul Kalam; Perdana Menteri, Dr Manmohan Singh, menteri, orang kenamaan serta kira-kira 100,000 penduduk watan selain Presiden Rusia, Vladimir Putin sebagai tetamu kehormat.
Kelibat Tunku Ismail pada upacara perbarisan itu sememangnya detik sejarah tidak saja kepada Malaysia tetapi media India turut melaporkan sejarah negara mereka turut dicatat pada hari sama kerana tidak pernah warga asing menyertai perbarisan ATBI Hari Republik, apatah lagi mengepalai seluruh perarakan tentera.
Bagi Tunku Ismail, 22, yang juga seorang daripada pegawai tentera berpangkat Kapten dalam ATBI, kejayaan dipilih mengetuai perbarisan pasukan tentera berkuda Rajimen 61 Kalvari ATBI seterusnya menjadi pegawai tentera pertama melangkah di laluan perbarisan di Rajpath, New Delhi itu, bermula dengan sebaris kalimat daripada ayahandanya yang tercinta iaitu Tunku Mahkota Johor, Tunku Ibrahim Ismail Sultan Iskandar.
“You don’t let me down (awak jangan hampakan saya)!” kalimah itu masih terngiang di benak mindanya, selalu dia mengingati kalimat amanah berkenaan sepanjang berada di negara orang itu dan kalimat itu menyemarakkan semangatnya untuk muncul terbaik dalam ATBI.
“Terus, itu saja (yang diucapkan kepada saya). Saya cium tangan dan junjung titah. Nak kata terperanjat, nak menangis tak boleh menangis. Terlampau lain sangat!
“Budaya lain, dunia lain tak macam Malaysia,” luah rasa Tunku Ismail ketika mengimbau detik pertama beliau ditinggalkan keseorangan di negara itu ketika mula melapor diri sebagai kadet tentera di Akademi Tentera India pada Julai 2003.
Tatkala Tunku Ismail tiba di negara itu, beliau tak pernah ke India seumur hidupnya. Itulah kali pertama dia melihat dunia yang berbeza daripada Malaysia.
Beliau ditinggalkan keseorangan tetapi kecekalan Raja Muda Johor yang bersandarkan kalimat keramat daripada ayahandanya itu menyebabkan dia tabah menghadapi segala cabaran.
“Pada mulanya agak mencabar untuk menyesuaikan diri tetapi selepas dua bulan, Aalhamdulillah.. Saya boleh biasakan diri, ada ramai kawan,” katanya.
Seterusnya berada di negara asing itu bertukar menjadi sesuatu yang menarik kepada dirinya dan perkataan ‘kekok’ dalam kamus kehidupannya bertukar kepada sintek ‘menarik’.
“Selepas dua bulan, pengalaman dan pembelajaran di negara ini bertukar menjadi sesuatu yang menarik kepada saya. Berada di negara asing, kita akan dapat banyak pendedahan dan belajar banyak. Tidaklah pemikiran tertumpu di negara kita saja.
“Pengalaman yang hebat di India. Saya suka pengetahuan daripada penelitian terhadap budaya dan masyarakat yang berbeza dan itulah yang menarik apabila kita ke negara orang,” katanya.
Berada di alam tentera sememangnya mencabar. Tiada lagi rutin hidup seperti berada di Malaysia sebelum ini.
“Di johor dulu, kita boleh buat apa yang kita nak tetapi di sini (tentera) semuanya adalah itu (peraturan). Sama ada kita ikuti peraturan atau kita keluar (dari tentera). Berada di negara yang memiliki populasi teramai dan semua ingin memasuki tentera kerana prestijnya, persaingan sangat hebat.
“Terlalu mencabar untuk berada di dalam tentera dan mengekalkan prestasinya. Tetapi itu semua proses pembelajaran dan kita akan belajar banyak daripada tentera,” katanya.
“Hampir empat tahun, saya mencapai banyak kejayaan termasuk apabila dipilih mengepalai ATBI dalam perbarisan Hari Republik ini. Semua ini pengalaman yang tidak dapat saya lupakan sampai saya tidak percaya mampu capai sebegitu banyak pada usia muda 22 tahun,” katanya.
Mengulas pemilihannya untuk mengepalai tentera India sempena hari perayaan terbesar di negara itu, Tunku Ismail berkata ia satu penghormatan besar dan kejayaan yang tidak dapat dilupakan sepanjang berada dalam ATBI.
“Semua pegawai tentera dalam Rejimen 61 Kalvari kena lakukan (ketuai perbarisan), seorang demi seorang akan dipilih pada setiap tahun untuk tugas ini dan tahun ini ia giliran saya.
“Mulanya ada isu juga sebab saya adalah orang asing tetapi akhirnya pemilihan saya dipersetujui Presiden dan Pemerintah Tentera, saya cuma melakukan apa yang disuruh dan ia adalah tugas saya.
“Saya rasa bangga kerana dilantik memikul tugas ini dan ia bukan tugas biasa, ini tugas luar biasa kerana benda macam ini (melantik warga asing mengepalai perbarisan Hari Republik) tidak pernah dilakukan Tentera India sebelum ini,” katanya.
Tunku Ismail yang mendapat pendidikan awal di Sekolah Sri Utama Johor Bahru dan Sekolah Rendah Kebangsaan St Joseph, melanjutkan pelajaran menengah di Singapura dan kemudian di Australia sebelum menyertai Akademi Tentera India.
Cucunda Sultan Johor, Sultan Iskandar itu kini berkhidmat sebagai Pegawai Tentera di Rejimen 61 Kalvari ATBI selepas menjalani latihan ketenteraan sebagai pegawai kadet di Akademi Tentera India, Dehradun. Selepas tamat latihan, beliau diberikan pangkat leftenan pada 11 Disember 2004 seterusnya Kapten, baru-baru ini.
Detik masa berputar pantas sehingga tarikh yang dihitung di kalendar tiba jua. Tunku Ismail mengenakan pakaian tradisional tentera berkuda Rejimen 61 Kalvari dan naik di atas kudanya.
Di belakangnya terdapat kira-kira 50 tentera penunggang kuda dari rejimennya selain hampir 10,000 tentera daripada pelbagai unit - kereta kebal, tentera darat termasuk pasukan tentera unta.
Dengan tenang, kudanya dipacu perlahan mengikuti Presiden India yang mendahului perbarisan bersama pengawal peribadi dan penerima darjah kehormat negara seterusnya perbarisan tentera yang dikepalainya.
Tunku Ismail bergerak tenang di atas kudanya dan menelusuri laluan Rajpath sejauh kira-kira lima kilometer. Seratus ribu penduduk watan dan rakyat asing menyaksikan bahawa hari itu, sejarah dua negara tercipta - seorang rakyat asing dipilih mengepalai perbarisan tentera India sempena Hari Republik ke-57 negara itu!
HEADING: Rejimen 61 Kalvari
REJIMEN 61 Kalvari, Angkatan Tentera Bersenjata India (ATBI) yang disertai Raja Muda Johor, Tunku Ismail Ibrahim Tunku Ibrahim Ismail adalah satu-satunya pasukan tentera berkuda yang masih wujud di dunia ini.
Tiada lagi pasukan ketenteraan yang berperang atau melakukan tugas ketenteraan menggunakan kuda seperti dilihat pahlawan silam zaman dulu tetapi tradisi itu masih diteruskan ATBI menerusi Rejimen 61 Kalvari.
Tunku Ismail yang bertugas di rejimen itu sebagai pegawai tentera berpangkat Kapten berkata, di United Kingdom (UK) juga terdapat pasukan berkuda tetapi hanya untuk tujuan perarakan perayaan.
“Rejimen 61 Kalvari yang dianggotai kira-kira 400 tentera berkuda adalah satu-satunya tentera yang masih berperang menggunakan kuda di seluruh dunia. Kami melakukan tugas ketenteraan di atas kuda seperti menjalankan pemantauan kawasan di gurun,” katanya.
Beliau berkata, pemilihannya untuk menjalani latihan ketenteraan seterusnya berkhidmat dengan ATBI dilakukan bagi menjunjung titah nendanya, Sultan Johor, Sultan Iskandar yang mahukan tradisi hubungan diplomatik antara Kerajaan Johor yang India berterusan.
“Menjadi tradisi keluarga Kesultanan Johor untuk menghantar kerabat keluarga menjalani latihan ketenteraan. Duli Yang Maha Mulia (Sultan Iskandar) dan Tunku Mahkota Johor (Tunku Ibrahim Ismail) turut melalui benda sama tetapi di Tunku Mahkota di Amerika Syarikat (US).
“Saya dihantar ke sini kerana (Perdana Menteri Malaysia ketiga) Tun Hussien Onn dilatih di ATBI dan pemilihan saya adalah untuk teruskan tradisi itu dan mengeratkan hubungan diplomatik dua hala,” katanya.
Penghantaran Tunku Ismail ke ATBI rupa-rupanya amat bertepatan dengan minat Raja Muda Johor itu yang begitu dekat hatinya dengan kuda. Seawal berusia lapan tahun, beliau sudah didedahkan dengan haiwan berkenaan sehingga meminati sukan polo.
“Saya di sini kerana menjunjung titah tapi buat masa sama, saya bukan saja dapat belajar pelbagai bidang kehidupan tentera tetapi juga dapat main polo mewakili tentera India.
“Saya main polo dari usia lapan tahun. Cita-cita saya hendak ke Argentina dan bermain dengan pemain terhebat mereka. Bagaimanapun saya menjalankan tugas ketenteraan di sini tapi di sini juga saya dapat main sekali polo.
“Setahun ini, saya bersyukur kerana semua benda berjalan dengan baik; saya dianugerah ‘pemain terbaik’ sebanyak dua kali dan memenangi 11 daripada 15 pertandingan polo di India. Kejohanan polo di India amat sengit, ramai pemain dari Argentina dan England nak main di sini.
“Alhamdulillah, saya kena berusaha keras untuk mendapatkannya, bukannya mudah. Paling banyak orang dapat (gelaran ‘pemain terbaik’) sekali setahun kerana ada 89 pemain di India,” katanya yang menyifatkan polo sebagai sukan yang laju dan mencabar menerusi kemahiran tinggi.
Disiplin hidup tentera yang dijalani Tunku Ismail di Rejimen 61 Kalvari meningkatkan kemahirannya dalam sukan polo lantaran aktiviti sukan itu diterapkan di dalam jadual rutin hariannya.
“Kami bangun seawal jam enam pagi, pergi berkawat di atas kuda dalam perbarisan pagi untuk memeriksa kekuatan tentera, periksa berapa ramai hadir atau bercuti. Selepas itu kami kena mengurut kuda untuk mengelakkan kuda sakit.
“Jam sembilan pagi hingga dua petang, kami kena masuk pejabat dan selepas jam dua petang, aktiviti bebas. Kami main polo manakala pegawai yang terbabit dalam sukan ekuestrian akan melakukan latihan lompatan untuk mewakili rejimen dalam upacara akan datang.
“Dan mengikut giliran, jika kami menjadi pegawai bertugas pada hari itu, malam akan diisi dengan tugas meronda kem,” katanya.
Dalam setahun pula, pasukan mereka akan ditugaskan menjalani rondaan selama seminggu di padang pasir pada musim panas dengan kekerapan antara dua hingga tiga kali setahun.
“Saya pernah buat rondaan di gurun dengan suhu 48 darjah celcius. Sungguh panas sehingga boleh masak telur di atas kereta kebal. Kena hadapi cabaran seperti cuaca panas, sejuk, susah tiada makan dan kena bertahan seminggu. Walaupun singkat (seminggu) tapi apabila berada di luar sana (gurun), ia terlalu mencabar,” katanya.
Walaupun tidak pernah menjalani kehidupan tentera empat tahun lalu, Tunku Ismail kini sebati dan cintakan kehidupan dan disiplin tentera sehingga beliau mengungkapkan yang ‘beliau tidak akan keluar dari dunia tentera untuk satu tempoh yang lama’.
“Ini adalah peluang untuk saya belajar sebanyak mungkin, saya mungkin ada setahun lagi di sini dan saya ingin melakukan yang terbaik untuk ATBI; ATBI sudah beri saya banyak sangat - latihan, pengetahuan dan sya nak buktikan yang terbaik sebelum pulang.
“Tetapi jika Duli Yang Maha Mulia (Sultan Johor) titah tinggal lagi di India, saya akan buat kerana setakat ini saya sudah menunjukkan prestasi yang baik, meraih kehidupan yang selesa dan mencapai banyak kejayaan juga di sini,” katanya.
Bagaimanapun jika dititahkan untuk pulang ke tanah air, Tunku Ismail masih menyimpan satu cita-cita.
“Jika boleh, saya hendak sambung latihan ketenteraan di Malaysia. Jika Duli Yang Maha Mulia izinkan, saya hendak masuk komando gerak khas, itu antara cita-cita saya dari kecil.
“Saya rasa saya tidak akan keluar dari dunia askar untuk satu tempoh masa lama. Kalau saya dapat masuk komando selama dua tahun saya akan berasa sungguh gembira. Tugas sebagai tentera memang lasak, ia tanggungjawab besar tetapi ia adalah satu kebanggaan untuk berkhidmat untuk negara sendiri. Tiada yang lebih bermakna daripada berkhidmat untuk negara sendiri,” katanya.
tamat.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home